MHPA sambut ulang tahun ke-20, lancar buku 'Hikmah Senja' untuk beri panduan tentang penuaan
Apabila suaminya disahkan menghidap penyakit ginjal tahap akhir pada 2019, Cik Norsidah Mohd Sa'at menjadi penjaga utama suaminya.
SINGAPURA: Apabila suaminya disahkan menghidap penyakit ginjal tahap akhir pada 2019, Cik Norsidah Mohd Sa'at menjadi penjaga utama suaminya.
Warga emas berusia 67 tahun itu menguruskan segala keperluan seharian suami tercintanya sendiri sehinggakan keadaan menjadi bertambah sukar dan beliau terpaksa mengambil pembantu.
Namun begitu, pelbagai pahit getir sebagai penjaga masih terpaksa ditempuhi.
"Orang sakit ini dia banyak kerenah, dia banyak meradang dan kadang dia benda yang dia suka tak semestinya dia suka. Perubahan 'mood' dia itu boleh tukar lima hingga enam kali sehari," kata Cik Norsidah kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Gambar: Syawal Yusoff, Cik Norsidah Mohd Sa'at bersama Pengurus Eksekutif MKAC, Encik Firdaus Mohammad Abdullah)
Menurut Cik Norsidah, pengalaman menjaga ibu dan adik beradik yang sakit sebelum ini sedikit sebanyak membantu beliau untuk menguruskan suaminya.
Selain itu, bekas petugas di sebuah syarikat logistik itu juga rajin mengambil membaca dan mendapatkan maklumat di wadah online.
"Kita mesti nak faham. Kalau dia marah-marah, kita tak boleh marah dia, tengking, kita pun tak boleh lawan. Kita cuba cakap cara baik, pujuk dia. Kalau dia tak boleh juga, kita undurkan diri. Lepas itu kita datang balik kita pujuk dia," ujarnya.
Setelah empat tahun bertarung dengan penyakitnya itu, suami Cik Norsidah meninggal dunia pada September 2023.
Kesan daripada menjaga suaminya turut menjejas kesihatannya sendiri.
Cik Norsidah juga disahkan mengalami penyakit ginjal.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, kesan daripada menguruskan pergerakan suaminya itu turut menyebabkan tulang belakangnya menjadi bengkok dan kini memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
Sungguhpun begitu, Cik Norsidah menghadapi dugaan itu dengan penuh ketabahan dan sentiasa bersikap positif.
Sambil menahan sebak: "Saya redha, saya halalkan apa yang saya jaga dari dunia hingga akhirat, Itu kewajipan saya sebagai seorang isteri."
'HIKMAH SENJA' KUPAS ISU-ISU PENUAAN DARI SUDUT KESIHATAN DAN AGAMA
Kisah penuh inspirasi Cik Norsidah sebagai penjaga itu antara yang terakam dalam buku baharu terbitan Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA).
Berjudul 'Hikmah Senja' buku itu bertujuan memberi panduan tentang penuaan dari perspektif perubatan dan agama.
Kandungan buku dwibahasa setebal 243 muka surat itu hasil sumbangan karyawan jagaan kesihatan dan dari pelbagai bidang lain.
"Kita mendapatkan idea untuk membuat buku untuk kumpulkan idea, kumpulkan kefahaman mengenai penuaan yang anggun dan juga nasihat-nasihat daripada masyarakat untuk masyarakat," kata editor bersama buku itu, Dr Muhammad Faisal Johandi yang juga merupakan seorang pakar geriatrik.
(Gambar: Syawal Yusoff, Dr Muhammad Faisal Johandi bersama Menteri Masagos Zulkifli)
Buku tersebut dilancarkan oleh Menteri Kedua Kesihatan, Masagos Zulkifli di majlis sambutan Hari Raya MHPA pada Sabtu (27 Apr).
Bagi memberi gambaran menyeluruh tentang penuaan, buku itu turut merangkumi topik-topik yang disumbangkan oleh golongan asatizah, pakar kewangan dan peguam.
"Kita bukan hanya memberi tumpuan mengenai kesihatan sahaja kerana proses penuaan menjejas bukan sahaja kesihatan anda, tapi ia hal sosial juga. Jadi buku ini juga bincang mengenai perancangan warisan anda. Misal kata mengenai Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Penjagaan Lanjutan. Kita juga bincang mengenai perancangan kewangan bila kita lanjut usia dan juga bincang mengenai kepentingan kerohanian juga daripada pandangan Islam apa itu proses penuaan," tambah Dr Faisal.
(Gambar: Syawal Yusoff, Dr Muhammad Faisal Johandi bersama Cik Norsidah Mohd Sa'at)
MHPA juga merancang untuk edarkan buku tersebut kepada para asatizah untuk dikongsikan kepada masyarakat.
Dr Faisal berharap, penyebaran maklumat dalam buku tersebut dapat diluaskan menerusi sesi-sesi 'bedah buku' di seminar atau ceramah yang bakal dianjurkan pada masa hadapan.
"Saya berharap yang masyarakat kita boleh menggunakan buku ini untuk mendapatkan dorongan di mana bila kita mengalami usia yang lanjut tidak maksudnya kita harus berhenti apa yang kita mahu lakukan. Kita masih boleh menyumbang untuk keluarga untuk masyarakat dan sebagainya. Saya harap masyarakat kita dapat menggunakan informasi dalam buku ini untuk berasa yakin yang mereka juga ada kebolehan dan didorong untuk terus menyumbang kepada masyarakat," ujarnya.
Bagi Cik Norsidah sendiri yang berkongsi pengalamannya menerusi pertubuhan Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), beliau teruja dan berharap kisahnya dapat dijadikan iktibar oleh mereka yang senasib.
"Saya nak berkongsi supaya orang yang ada menghidap sakit ginjal ini, siapa yang menjaga mereka, kita tak boleh putus asa. Satu kita mesti banyak bersabar dan kita tak boleh putus asa dan kita mesti usaha dan pemikiran kita yang terbuka," jelas Cik Norsidah.
MHPA ALU-ALUKAN LEBIH BANYAK USAHA SAMA DENGAN PERTUBUHAN MELAYU/ISLAM
Pelancaran buku tersebut juga bersempena sambutan ulang tahun ke-20 MHPA.
Sejak ditubuhkan pada 18 Oktober 2004, persatuan itu telah banyak menyumbang kepada landskap jagaan kesihatan dalam usaha membina masyarakat Islam setempat yang lebih peka tentang kesihatan.
Mengimbas kembali pencapaian MHPA sepanjang dua dekad, Naib Presiden dan juga anggota pengasasnya, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, berharap golongan karyawan jagaan kesihatan dapat terus menggembleng tenaga untuk berbakti pada masyarakat.
"Kalau kita sama-sama kadang-kadang dapat datang berjumpa, mungkin kita boleh bertukar fikiran dan kita ada sokongan untuk satu sama lain. Mungkin kita boleh membuat aktiviti dan juga bergabung dengan agensi-agensi lain atau pertubuhan Melayu yang lain kerana kalau kita bersatu hati, saya rasa kita mungkin boleh dapat buat lebih banyak," kata Dr Nurhidayati, seorang Pakar Obstetrik dan Sakit Puan.
(Naib Presiden MHPA, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan)
Dalam ucapan pembukaannya, Presiden MHPA, Dr Norhisham Main juga mengingatkan para karyawan kesihatan yang hadir agar sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang.
"Landskap untuk penjagaan kesihatan sentiasa berubah. Bukan sahaja di Singapura malah sudah tentu di peringkat serantau mahupun antarabangsa. Kami melihat isu bukan sahaja berkaitan dengan penuaan, tetapi kesan alam sekitar terhadap kesihatan. Bencana baru-baru ini akibat gempa bumi, banjir dan sudah tentu peperangan yang berterusan di Eropah dan Timur Tengah mengingatkan kita tentang pentingnya sentiasa bersedia," kata Dr Norhisham.
Majlis sambutan Hari Raya MHPA dihadiri sekitar 150 tetamu termasuk para doktor, jururawat serta penuntut bidang perubatan.
(Presiden MHPA, Dr Norhisham Main)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.