Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHF lancarkan 'Hari Warisan', hargai sumbangan karyawan seni tempatan

Buat pertama kalinya, Yayasan Warisan Melayu (MHF) melancarkan Hari Warisan hari ini (13 Nov) bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan tidak ternilai para penggiat seni dan budaya dalam mencorakkan industri seni tanahair.

Anggaran Waktu Membaca:
MHF lancarkan 'Hari Warisan', hargai sumbangan karyawan seni tempatan

Majlis pelancaran Hari Warisan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF) pada 13 Nov. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, Yayasan Warisan Melayu (MHF) melancarkan Hari Warisan hari ini (13 Nov) bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan tidak ternilai para penggiat seni dan budaya dalam mencorakkan industri seni tanahair.

"Kami memperkenalkan Hari Warisan sebagai inisiatif untuk menghargai pengamal budaya dan aktivis yang bekerja keras tanpa mengenal erti penat mewujudkan kandungan kebudayaan di belakang tabir. Mereka sudah banyak menyumbang kepada warisan kebudayaan. Sebagai penjaga warisan kebudayaan, mereka adalah nadi yang terus menghidupkan warisan dan budaya kita.

"MHF juga berharap untuk memudahkan pemindahan ilmu daripada satu generasi ke satu generasi yang lain dan menggalak lebih ramai aktivis muda, peminat warisan dan para artis untuk tampil ke hadapan," kata pengerusi MHF, Dr Norshahril Saat.

Penghargaan tertinggi acara itu, Hadiah Warisan, disampaikan kepada pelukis mapan, Encik Idris Mohamed Ali yang sudah mengabdikan dirinya lebih 50 tahun kepada bidang seni lukisan.

Tunas Warisan pula dianugerahkan kepada Cik Nurul Shaza Mohd Ishak, antara tulang belakang yang menghidupkan Teater Ekamatra sebagai Pengarah Pengurusan.

Dalam pada itu, MHF turut melantik tiga Teman Warisan yang merupakan individu-individu bawah usia 35 tahun, yang bergiat aktif dalam bidang budaya dan warisan, di samping mempamerkan potensi kepimpinan.

Acara itu yang diadakan secara hibrid di Taman Warisan Melayu dan juga di laman Facebook dan YouTube MHF dihadiri Presiden Halimah Yacob sebagai tetamu terhormat.

Bermula jam 2.00 petang, acara diteruskan dengan satu sesi perbincangan yang bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik di samping mempelajari daripada pengalaman-pengalaman pengamal dan aktivis daripada pelbagai latar belakang seni dan disiplin.

Ia terdiri daripada barisan panelis, penari dan Dr Noramin Farid dan pendidik Bahasa Melayu, Encik Muhammad Andi Mohammed Zulkepli.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan