Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHF lancar lelongan amal sebuah lukisan; lantik tiga Teman Warisan

Buat julung-julung kalinya, Yayasan Warisan Melayu (MHF) mengadakan satu lelongan amal bagi menjual sebuah lukisan khas. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Yayasan Warisan Melayu (MHF) mengadakan satu lelongan amal bagi menjual sebuah lukisan khas. 

Ia dilancarkan di acara Hari Warisan 2022 pada Sabtu (10 Dis). 

Lelongan amal itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai sebilangan program MHF pada tahun-tahun mendatang. 

LELONG AMAL LUKISAN WARISAN DENGAN HARGA SERENDAH S$16,500

Semasa pelancaran acara Hari Warisan tahun lalu, pelukis mural, Encik Shafyre menghasilkan sebuah lukisan yang diberi nama "The Heritage" atau Warisan.

Lukisan itu turut disempurnakan dengan sentuhan kreatif Presiden Halimah Yacob. 

''

Setahun kemudian iaitu pada edisi Hari Warisan 2022, lukisan menggunakan cat akrilik itu mula "dilelongkan" kepada orang awam. 

Usaha sedemikian merupakan yang pertama seumpamanya pernah dilakukan pihak MHF.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha mengumpul dana yayasan itu untuk membawa lebih banyak program bermutu pada tahun-tahun akan datang.

''

Pengurus Besar MHF, Cik Julina Khusaini berkata: "Usaha meneruskan program-program seni dan warisan ini akan terus menjadi mencabar dan kami perlu mengumpul dana untuk membiayai program kami pada masa depan. Kami berhasrat untuk menyerantaukan program-program ceramah kami untuk menjemput para penceramah dari Malaysia, Indonesia untuk menyumbang wacana mereka." 

"Jadi kami memerlukan tambahan supaya kami dapat menyediakan program lebih meluas dan jangkauannya lebih, bukan sahaja di Singapura tetapi di rantau ini juga," tambah Cik Julina. 

Selain itu, usaha tersebut diharap dapat menarik minat para citrawan atau mereka yang mengumpul karya-karya seni. 

Bidaan bagi lukisan selebar 48 inci itu dimulakan dengan harga lelongan serendah S$16,500 dan tempoh lelongan amal akan dijalankan bermula hari ini (10 Dis) hingga 14 Januari tahun depan. 

Sehingga ke hujung tempoh itu, lukisan tersebt akan dipamerkan di Restoran Permata yang terletak di Sultan Gate bermula 2 Januari depan.
  
PELANTIKAN 3 LAGI TEMAN WARISAN 

Acara Hari Warisan 2022 turut menyaksikan pelantikan tiga Teman Warisan yang bergiat aktif dalam bidang budaya dan warisan Melayu di negara ini.

''

Antara yang terpilih tahun ini adalah Cik Nur Shireen Marican. 

Masa lapang Shireen sering digunakan untuk memulakan kerjasama dengan persatuan-persatuan seni secara bebas untuk mereka bentuk dan mengatur program yang berteraskan isu-isu global, seni, dan budaya. 

''

Malah, pengurus budaya dan pendidik itu terdorong untuk memajukan penglibatan budayanya untuk mewujudkan persekitaran dan masyarakat yang adil dan saksama.

Gelaran 'Teman Warisan' diberikan kepada individu-individu bawah usia 35 tahun yang bergiat aktif dalam bidang budaya dan warisan, di samping mempamerkan potensi kepimpinan.

Cik Shireen berkata, "Dengan pelantikan ini, ia juga bermakna ia bukan sahaja wadah untuk penganugerahan tetapi satu tanggungjawab dan dengan pengaruh yang saya ada sekarang ini untuk terus berbual dengan orang lain tentang budaya dan warisan kita mahupun falsafah Melayu."

"Saya ingin melibatkan diri dalam perbincangan tentang falsafah Melayu tradisional, tradisi budaya dan warisan supaya kita boleh memperkukuhkan kajian sosio budaya untuk menyelesaikan isu-isu global, kontemporari dan kritikal dalam zaman ini," tambah Cik Shireen. 

Menurut Cik Shireen, masih ada lagi banyak ruang untuk meneroka tentang tradisi, amalan dan falsafah budaya Melayu untuk mencipta huraian-huraian baru bagi isu-isu kontemporari global. 

Selain Cik Shireen, mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang, Ahmad Hasif Mohammad Amran juga dilantik sebagai Teman Warisan tahun ini. 

Hasif merupakan anggota Panel Belia Lembaga Warisan Negara di mana beliau terlibat dalam pelbagai acara berkenaan warisan tanah air. 

Beliau baru-baru ini terlibat dalam Projek Penglibatan Warga Kampong Gelam NHB-URA, di mana beliau merupakan sebahagian daripada 47 sukarelawan yang menemubual para pemilik perniagaan warisan di kawasan itu untuk membukukan kisah-kisah mereka. 

Seorang lagi Teman Warisan yang dilantik adalah Cik Rosemainy Buang, 34 tahun. 

''

Komposer lagu dan pendidik itu mula berkecimpung dalam bidang muzik 10 tahun lalu dan berbekalkan falsafah gamelan, Cik Rosemainy ingin bekerjasama dengan artis-artis muzik berlainan yang melibatkan jenis bunyi berbeza-beza serta menggabungkan elemen tradisionalnya dengan muzik elektronik.

Cik Julina berkata: " Penting juga untuk kita menampilkan golongan pelapis, siapakah yang akan menerajui tugas untuk melestarikan warisan kita di tahap seterusnya."

"Dengan pelantikan mereka, ini memberi mereka peluang supaya mereka dapat memberi sumbangan seni warisan ini di arena berbeza-beza. Kami melihat mereka mempunyai kepakaran daripada bidang seni yang kami rasa perlukan sumbangan golongan muda untuk merancakkan lagi dan memberi kan daya tenaga baru," tambah beliau. 

Para hadirin Acara Hari Warisan yang diadakan di Wisma Geylang Serai hari ini (10 Dis) turut menyertai perbincangan panel yang berjudul "Pendigitalan - Kesan dan Peluang untuk sektor Seni dan Budaya Melayu" pada sebelah petang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan