Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHC, butik Ratianah ganding bahu sedia 200 pelitup batik bagi kanak-kanak memerlukan

Sifat ihsan dan murah hati dalam kalangan masyarakat Islam bertambah menyerlah semasa bulan Ramadan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sifat ihsan dan murah hati dalam kalangan masyarakat Islam bertambah menyerlah semasa bulan Ramadan.

Semangat menghulurkan bantuan kepada sesama anggota masyarakat juga semakin menebal di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang melanda Singapura sekarang.

Bagi membantu kanak-kanak memerlukan, Taman Warisan Melayu (MHC) berganding bahu dengan syarikat busana tempatan, Ratianah untuk menghasilkan 200 pelitup.

Kain batik yang menjadi lambang kebanggaan masyarakat Melayu dijadikan ilham untuk menghasilkan pelitup istimewa itu.

BATIK SEBAGAI PELITUP MUKA

(Gambar ihsan: Ratianah)

Dalam masa seminggu saja, pengurus butik Ratianah, Cik Ratianah Tahir, berhasil menjahit 300 pelitup yang diperbuat daripada kain batik.

200 daripada hasil jahitannya itu akan dihadiahkan kepada kanak-kanak memerlukan daripada Pusat Khidmat Keluarga Ang Mo Kio dan Cheng San, Pusat Berbilang Khidmat Loving Heart dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

"Saya memilih corak-corak batik yang mengumpamakan bahan kapas agar mereka boleh pakai dengan selesa, selain corak dan warna yang menarik dan ada unsur-unsur warisan batik kita.

"Orang Melayu kita memang sinonim dengan batik, kalau orang dulu menggunakan batik sebagai gendongan dan sarung pakaian tapi dalam era pandemik ini batik digunakan sebagai pelitup," kongsi beliau.

USAHA SAMA MHC

Inisiatif itu merupakan satu kerjasama dengan Taman Warisan Melayu (MHC) yang mengendalikan sesi pengagihan sepanjang minggu ini.

"Dalam kita sama-sama melalui waktu sukar ini sebagai sebuah negara, kami di Taman Warisan juga terpanggil untuk sama-sama membantu menangani wabak COVID-19 ini terutama sekali pada bulan Ramadan ini apabila masyarakat Melayu/Islam digalakkan untuk membantu antara satu sama lain.

(Gambar ihsan: Ratianah)

"Jadi kami ingin menyokong usaha Pemerintah yang telah pun membahagi-bahagikan pelitup untuk mereka yang dewasa, jadi pelitup-pelitup ini kami berikan khas kepada kanak-kanak," jelas Cik Asmah Alias, Pengurus Besar MHC.

150 PEK BARANGAN SEMPENA LEBARAN

Sempena Lebaran yang bakal menjelang, MHC juga akan mengagihkan 150 pek barangan runcit kepada badan kebajikan For The People & Community.

Kedua-dua pengagihan itu merupakan sebahagian daripada kegiatan #OnxOnRayaFest MHC, yang antara lain, turut mengetengahkan program-program yang bertemakan Ramadan dan Syawal menerusi wadah digitalnya.

"Jadi pengagihan pelitup muka dan pengagihan makanan ini adalah sebahagian daripada kempem kami #OnxOnRayaFest jadi kami akan mengetangahkan beberapa aktiviti digital di laman facebook dan instagram kami.

"Ini termasuk beberapa segmen seperti memasak, ada juga segmen fesyen di mana mereka boleh mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang baju kurung, kebaya dan pelbagai lagi dan bagaimana juga untuk cara-cara mengikat samping," tambah Cik Asmah lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa