Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHA usul hukuman lebih berat bagi pemilikan dadah yang besar, kawalan ketat bagi bahan psikoaktif

Anggaran Waktu Membaca:
MHA usul hukuman lebih berat bagi pemilikan dadah yang besar, kawalan ketat bagi bahan psikoaktif

60 gram bahan psikoaktif baru (NPS) yang disyaki. (Gambar: CNB)

Diterbitkan : 24 Feb 2023 02:52PM Dikemas Kini : 24 Feb 2023 03:14PM
SINGAPURA: Pesalah yang memiliki dadah terkawal tertentu, seperti kokain dan ganja, dalam jumlah yang besar mungkin berdepan dengan hukuman lebih berat jika pindaan yang diusulkan terhadap undang-undang dadah Singapura diluluskan di Parlimen.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) juga sedang mengorak langkah untuk memperketatkan perundangan dalam membanteras penggunaan bahan psikoaktif baru (NPS) yang kian bertambah. Di samping itu, MHA juga ingin mengurangkan keperluan bagi pihak berkuasa sentiasa bertindak pantas menangani kemunculan dadah-dadah baru yang semakin pesat.

Pada Jumaat (24 Feb) MHA membentangkan Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah (Pindaan) dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan) di Parlimen.

Antara usulan utama yang dibentangkan kementerian itu termasuk satu rangka kerja perundangan baru untuk menangani ancaman NPS dengan lebih baik, yang menghasilkan kesan yang sama atau serupa dengan dadah terkawal.

Di bawah rangka kerja demikian, bahan tidak akan dikawal berdasarkan struktur kimianya, tetapi bergantung kepada keupayaannya dalam menghasilkan kesan psikoaktif.

MHA turut mengusulkan pindaan terhadap Perlembagaan bagi membolehkan pihak berkuasa menangkap dan menahan penyalahguna NPS agar mereka boleh dirawat dan menjalani pemulihan.

HUKUMAN LEBIH BERAT BAGI PEMILIKAN DADAH

Dalam satu kenyataan media, MHA menyatakan bahawa hukuman yang diusulkan bagi pemilikan dadah terkawal terpilih - yang mana "menyebabkan kemudaratan yang paling serius" - melebihi berat tertentu akan menyertakan hukuman dirotan.

Dadah-dadah itu termasuk:

- Methamphetamine
- Morfin
- Diamorphine (heroin tulen)
- Candu
- Kokain
- Ganja
- Resin ganja
- Campuran ganja

MHA menyatakan rangka kerja hukuman yang sedia ada bagi pemilikan dadah "tidak mengambil kira secukupnya tentang kemungkinan bahaya" oleh mereka yang memiliki jumlah dadah yang banyak.

Buat masa ini, mereka yang didapati memiliki dadah terkawal berdepan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya sekali. Tidak terdapat hukuman minimum ditetapkan bagi sebarang jumlah dadah itu.

Jika pindaan perundangan yang disarankan diluluskan, mereka yang memiliki sekurang-kurangnya 10 gram tetapi kurang daripada 15 gram diamorphine akan menghadapi hukuman penjara minimum selama 10 tahun dan dikenakan lima sebatan. Hukuman maksimum pula seganda yang ditetapkan itu.

MHA menarik perhatian bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Biro Narkotik Pusat (CNB) mendapati sindiket-sindiket dadah berurus niaga dalam jumlah dadah terkawal yang besar.

LEBIH BANYAK PENYALAHGUNA BAHAN PSIKOAKTIF

Bagi bahan psikoaktif seperti ganja tiruan, MHA menyatakan jumlah penyalahguna melonjak dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak tahun 2018, seramai 235 orang ditangkap kerana menyalah gunakan NPS berbanding hanya 11 orang pada dalam masa empat tahun sebelumnya.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah, sekurang-kurangnya 1,150 NPS dilaporkan di seluruh dunia setakat April 2022, naik daripada 166 yang dicatat pada akhir 2009.

Pengambilan NPS dikaitkan dengan reaksi fizikal dan psikologi yang teruk, termasuk paranoia, sawan, halusinasi dan kematian, kata MHA.

PESALAH BERULANG

MHA juga mengusulkan agar pesalah yang sebelum ini mengedar dadah terkawal, dan telah disabitkan kesalahan mengedar NPS, harus dianggap sebagai pesalah berulang dan tertakluk kepada hukuman pengedaran yang dipertingkatkan.

Jika diluluskan, Rang Undang-undang Penyalahgunaan Dadah (Pindaan) akan memberi pengarah CNB kuasa untuk mengarahkan pesalah guna NPS yang disyaki untuk menjalani pemeriksaan atau pemerhatian perubatan; diletakkan di bawah bawah pengawasan rapi; dan dihantar untuk menjalani rawatan dan pemulihan.

Ia sejajar dengan kuasa pengarah CNB yang sedia ada berhubung dadah terkawal, menurut MHA.

Anggota Parlimen akan membahaskan kedua-dua Rang Undang-Undang itu di sesi seterusnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan