Skip to main content

Singapura

MHA timbang pelbagai saranan bantu mangsa penipuan

Pelbagai saranan sedang dipertimbangkan untuk melihat cara terbaik untuk memulangkan hasil penipuan yang berhasil didapatkan semula kepada mangsa, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling pada Jumaat (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
MHA timbang pelbagai saranan bantu mangsa penipuan

Sekurang-kurangnya S$1.1 bilion lesap akibat penipuan pada 2024. (Gambar fail: iStock/ArisSu)

Diterbitkan : 28 Feb 2025 01:53PM Dikemas Kini : 17 Mar 2025 10:43AM
SINGAPURA: Pelbagai saranan sedang dipertimbangkan untuk melihat cara terbaik untuk memulangkan hasil penipuan yang berhasil didapatkan semula kepada mangsa, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling pada Jumaat (28 Feb).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Anggota Parlimen Gerald Giam (WP-Aljunied) mengenai sama ada pemerintah telah mempertimbangkan untuk menubuhkan dana pampasan bagi mangsa penipuan yang ditampung melalui hasil rampasan daripada kes-kes pengubahan wang haram baru-baru ini.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pada 26 Feb bahawa aset-aset yang diserahkan kepada pemerintah sebagai sebahagian daripada kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion sedang dibubarkan secara berperingkat dan dikembalikan kepada pemerintah.

Sebanyak 54 hartanah, 33 kenderaan dan 11 keahlian kelab eksklusif telah dibubarkan dan setakat Disember 2024, dan hasil daripada pembubaran aset bukan tunai akan disalurkan ke dalam dana yang disatukan pemerintah, katanya di Parlimen.

Menyediakan dana sedemikian untuk mangsa mendapatkan semula wang mereka yang hangus akibat penipuan menimbulkan cabaran operasi, kata Cik Sun pada Jumaat (28 Feb).

Sebagai contoh, pihak berkuasa tidak dapat memastikan bahawa semua wang yang diperolehi oleh Pusat Antipenipuan semuanya daripada hasil penipuan, tambah Cik Sun.

Sindiket-sindiket yang mendalangi penipuan ini sering menjalankan perniagaan jenayah lain juga, termasuk pinjaman wang haram, kata Cik Sun.

"Mungkin terdapat hasil lain yang berkaitan dengan bentuk jenayah lain, dan oleh itu terdapat mangsa lain yang mungkin juga merasakan mereka boleh menuntut hasil tersebut," katanya.

Mengesan sama ada wang yang diperoleh semula adalah wang yang sama hilang oleh mangsa juga sukar untuk dikenal pasti, kata Cik Sun.

Ini terutama sekali bagi kes-kes di mana mata wang kripto terlibat, selalunya amat sukar untuk memastikan dari mana wang itu ditipu, katanya.

Akibatnya, dengan dana pampasan yang disatukan, adalah sukar untuk memberitahu mangsa mana yang mempunyai hak ke atas wang yang diperoleh semula, kata Cik Sun.

Wang yang diperoleh daripada penipuan adalah sebahagian kecil daripada jumlah yang hilang akibat penipuan, kata Cik Sun.

Sekurang-kurangnya S$1.1 bilion lesap akibat penipuan pada 2024, dan Pasukan Polis Singapura (SPF) berjaya mendapatkan semula lebih S$182 juta daripada kerugian yang dialami akibat penipuan pada 2024, menjadikan kerugian bersih kira-kira S$930 juta.

"Akan ada lebih banyak penuntut untuk wang itu daripada jumlah sebenar, dari segi wang yang diperoleh semula," kata Cik Sun.

Sekalipun mangsa boleh mendapatkan semula sebahagian daripada wang mereka, ia hanya sebahagian kecil daripada apa yang hilang akibat penipuan, tambahnya.

Jika para penipu tahu tentang dana tersebut, mereka mungkin akan menggunakannya untuk memikat keldai wang untuk menyertai aktiviti penipuan dan kemudian berpotensi cuba mendapatkan semula wang daripada dana itu, kata Cik Sun.

“Hakikatnya, dari segi prinsip … kita harus melakukan yang terbaik untuk memikirkan cara untuk mendapatkan semula wang akibat penipuan dan sudah tentu memberi pampasan kepada mangsa,” tambahnya.

Sejak Disember 2024, satu rangka kerja telah menetapkan cara kerugian yang dialami akibat penipuan pancingan data akan dikongsi dalam kalangan institusi kewangan, syarikat telko dan pengguna.

Institusi kewangan akan menjadi yang pertama untuk menanggung kerugian penuh jika tugas mereka yang diperlukan - seperti menyediakan pemberitahuan transaksi masa nyata - dilanggar.

Telko berada di barisan kedua. Ini bermakna jika institusi kewangan telah memenuhi semua tugas yang diperlukan dan syarikat telekomunikasi itu dinilai telah melanggar kewajipannya, maka itu syarikat telekomunikasi dijangka akan menanggung kerugian sepenuhnya.

Sekiranya kedua-dua institusi kewangan dan syarikat telko telah menjalankan tugas yang diperlukan, pengguna akan menanggung kerugian sepenuhnya.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita