Skip to main content

Singapura

MHA selar ulasan 'penuh fakta tidak tepat' Nikkei Asia tentang KTV di S'pura

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyelar komentar yang diterbitkan oleh akhbar kewangan NIkkei Asia dengan menyatakan ia mengandungi "penuh dengan fakta-fakta yang tidak tepat".

Anggaran Waktu Membaca:
MHA selar ulasan 'penuh fakta tidak tepat' Nikkei Asia tentang KTV di S'pura

Gambar fail: TODAY

Diterbitkan : 29 Jul 2021 10:24AM Dikemas Kini : 29 Jul 2021 10:29AM

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyelar komentar yang diterbitkan oleh akhbar kewangan NIkkei Asia dengan menyatakan ia mengandungi "penuh dengan fakta-fakta yang tidak tepat".

Ulasan itu membidas agensi-agensi penguat kuasa undang-undang Singapura atas "kegagalan" mereka membanteras kegiatan-kegiatan maksiat di KTV yang dituduh menjadi punca kelompok aktif COVID-19.

Bertajuk "Kegagalan institusi di sebalik penularan terkini COVID di Singapura", ia diterbitkan pada 23 Julai.

Ditulis oleh Encik Andy Wong yang disifatkan sebagai "penganalisis politik dan perniagaan yang berpangkalan di Singapura", ia mendakwa KTV-KTV itu turut menyembunyikan pengubahan wang haram dan adalah "sarang pelacuran" yang dikendalikan oleh kumpulan-kumpulan jenayah terancang.

Dalam responsnya kepada Nikkei Asia, yang dikirimkan pada Rabu (28 Jul), Encik Sam Tee, pengarah kanan operasi bersama di MHA, menegaskan bahawa dakwaan-dakwaan itu tidak benar.

Beliau berkata bahawa Singapura adalah salah satu tempat yang paling tidak mungkin sindiket-sindiket jenayah terancang menjalankan operasi-operasi maksiat kerana negara ini mempunyai undang-undang yang ketat bagi membanteras jenayah terancang, pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

Meskipun pemerintah sedia maklum bahawa pekerja seks pergi ke KTV untuk mendapatkan pelanggan, ia tidak boleh menyekat mereka daripada bertemu di tempat-tempat sedemikian, jelas Encik Tee.

Sungguhpun demikian, sebarang kegiatan seks melanggar syarat-syarat pelesenan.

Encik Tee menambah bahawa polis memeriksa sekitar 3,000 tempat hiburan malam antara 2018 dengan 2020 dan memberkas lebih 1,000 orang.

Beliau juga menegaskan bahawa memasuki Singapora untuk tujuan pekerjaan seks tidak dibenarkan sama sekali.

Meskipun kakitangan imigresen menolak "pelawat yang diragui", beliau berkata bahawa tidak ada cara yang sempurna untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu adalah pekerja seks.

Encik Wong juga mendakwa KTV dibenarkan dibuka "tanpa sebarang penjelasan diberikan".

Dakwaan itu, tegas Encik Tee, adalah tidak benar.

Sejak perniagaan-perniagaan hiburan malam tidak dibenarkan beroperasi sejak Mac tahun lalu, ia menjejas banyak mata pencarian, dan pemerintah memperkenalkan satu skim yang membolehkan sesetengah perniagaan F&B dibuka semula, jelas Encik Tee.

Pemerintah turut menerangkan pertimbangan-pertimbangannya di Parlimen dan ia juga sudah mengeluarkan kenyataan-kenyataan secara terbuka pada November tahun lalu.

Encik Tee menekankan: "Koresponden anda membuat kenyataan yang tidak berasas, tanpa usul periksa".

Beliau juga menyangkal dakwaan Encik Wong bahawa pemerintah "lembap melakukan serbuan" menyusuli penularan COVID-19 di KTV sambil menarik perhatian kepada lebih 200 operasi yang dijalankan pihak polis sejak Oktober tahun lalu.

Encik Tee juga menolak dakwaan Encik Wong tentang kategori di bawah skim Laluan Ikatan Keluarga yang membenarkan rakyat Singapura untuk membawa masuk teman lelaki atau teman wanita mereka dibatalkan secara mendadak tanpa sebarang penjelasan.

Encik Tee berkata bahawa pihak berkuasa sudahpun memberi penjelasan pada 16 Julai dan 20 Julai.

Ia dibatalkan pada Mac tahun ini kerana ia disalah guna, jelas Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Isnin.

Merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai artikel "agak berat sebelah" oleh Nikkei Asia, Encik Shanmugam juga berkata bahawa pihak berkuasa "tidak bekerjasama dengan pengendali KTV mahupun tidak tahu-menahu langsung tentang kegiatannya seperti yang didakwa sesetengah orang".

Dalam responsnya, Encik Tee juga berkata bahawa kelompok KTV sudahpun "dibendung dengan pantas" dengan sekitar lima kes baru COVID-19 dikaitkan dengan kelompok itu setiap hari antara 22 Julai dengan 26 Julai.

Beliau juga menekankan apa yang sudah didedahkan oleh pihak berkuasa sebelum ini iaitu Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dikuatkuasakan semula disebabkan oleh penularan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong, yang menjejas banyak pasar makanan segar di merata negara.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita