Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHA: Polis dikerah ke dormitori Jalan Tukang atas "potensi berlaku keganasan"

SPF mengerahkan para pegawainya ke dormitori pekerja hijrahan Westlite Jalan Tukang pada Oktober setelah menerima maklumat mengenai sekumpulan pekerja "berkelakuan agresif yang berpotensi mencetuskan keganasan", kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan pada Isnin (1 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
MHA: Polis dikerah ke dormitori Jalan Tukang atas "potensi berlaku keganasan"

Para pegawai polis di dormitori Westlite Jalan Tukang pada 13 Okt 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 01 Nov 2021 02:47PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 02:53PM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) mengerahkan para pegawainya ke dormitori pekerja hijrahan Westlite Jalan Tukang pada Oktober setelah menerima maklumat mengenai sekumpulan pekerja "berkelakuan agresif yang berpotensi mencetuskan keganasan", kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan pada Isnin (1 Nov).

Encik Tan berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen He Ting Ru (WP-Sengkang) mengenai sama ada keadaan di dormitori berkenaan pada 13 Oktober lalu mewajarkan pihak polis untuk mengerahkan para pegawainya ke sana.

Para pekerja ketika itu merungut tentang pelanggaran protokol kesihatan COVID-19, kekurangan akses kepada sokongan perubatan dan mutu makanan yang teruk di dormitori tersebut.

Para pekerja yang tidak berpuas hati turut mengongsi gambar yang menunjukkan serangga dan rambut ditemui dalam makanan mereka melalui artikel online di Weixin, iaitu versi domestik WeChat yang digunakan di China.

Sebilangan pekerja yang dinukil dalam artikel itu juga berkata mereka tidur di atas lantai di luar bilik mereka untuk mengelak daripada menjangkiti orang lain yang berkongsi bilik dengan mereka dan terpaksa menunggu lama sebelum menerima rawatan perubatan.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) kemudian mengakui bahawa ia mengerahkan "sumber yang tidak mencukupi" untuk menangani peningkatan COVID-19 yang tidak dijangkakan di dormitori berkenaan di Jurong, mengakibatkan kelengahan untuk memindahkan kes-kes jangkitan ke kemudahan jagaan atau pemulihan.

APA BERLAKU PADA 13 OKT

Pada petang 13 Okt, ramai anggota keselamatan dikerahkan ke dormitori tersebut, dengan kenderaan Markas Operasi Khas (SOC) dan beberapa kenderaan berperisai yang diletakkan di sepanjang jalan di luar dormitori tersebut.

Berpuluh-puluh pegawai polis dilihat memakai alat pelindung, bersama dengan pegawai lain yang memakai beret merah.

Polis memberikan respons terhadap panggilan meminta bantuan di dormitori itu pada 13 Okt, kata Encik Tan di Parlimen pada Isnin.

“Maklumat yang diterima adalah sekumpulan pekerja berkelakuan agresif, berpotensi mencetuskan keganasan,” tambahnya.

Para pegawai polis dari Divisyen Polis Jurong dikerahkan ke dormitori berkenaan, di mana para pegawai MOM sudahpun mendampingi para pekerja itu, kata Encik Tan.

"Para pegawai dari Divisyen Polis Jurong, bersama dengan kakitangan dormitori dan pegawai MOM, berhasil meleraikan keadaan," kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri itu.

"Meskipun para pegawai dari Divisyen Polis Jurong terlibat sama, mereka juga berpendapat bahawa unit-unit polis yang lain perlu bersiap sedia jika keadaan bertukar ganas," katanya.

"Dan unit-unit tambahan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia. Bagaimanapun, unit tambahan itu tidak perlu dikerahkan.

“Tiada penangkapan dibuat oleh pihak polis menyusuli kejadian itu.”

Cik He dari Parti Pekerja (WP) juga bertanya berapa kerap dan keadaan yang bagaimana yang mewajarkan pihak polis untuk mengerahkan para pegawainya bertindak balas terhadap situasi seumpama itu sejak lima tahun lalu.

"Polis tidak memantau berapa kali pasukan kecemasannya diaktifkan untuk bertindak balas terhadap insiden ketenteraman awam," kata Encik Tan.

"Ia bergantung kepada situasi yang berbeza-beza, termasuk pengurusan orang ramai yang tiba-tiba boleh bertukar menjadi tidak teratur, bantahan atau rusuhan."

Para pegawai dari SOC sebelum ini dikerahkan untuk menangani insiden di Singapore Boys' Home pada September 2016 dan September 2018, dedah Encik Tan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan