MHA pinjamkan pegawainya kepada HSA bantu tangani pesalah guna etomidate: K Shanmugam
Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) akan meminjamkan beberapa pegawainya kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sebagai sebahagian daripada kempen Singapura membasmi vape yang mengandungi etomidate, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pada Rabu (30 Jul).
HSA adalah badan berkanun di bawah Kementerian Kesihatan (MOH), yang menangani dan mengkaji situasi etomidate serta memutuskan tindakan yang perlu diambil pada masa hadapan, kata Encik Shanmugam kepada wartawan.
"Saya telah meminta Kementerian Ehwal Dalam Negeri supaya menyokong MOH dan membantu mereka," kata Encik Shanmugam, yang juga menteri ehwal dalam negeri, sambil menambah pegawai MHA itu akan membantu dalam pengawasan, rawatan dan pemulihan para pesalah guna etomidate.
Pada awal bulan ini, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengumumkan Singapura sedang berusaha menyenaraikan etomidate, sejenis bahan anestetik yang ditemui dalam vape, sebagai dadah terlarang.
Menyenaraikannya sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah membolehkan langkah-langkah penguatkusaan lebih tegas diambil terhadap para pesalah guna, kata Encik Shanmugam pada Rabu.
"Para pesalah guna dadah tidak lagi hanya akan dikenakan denda. Mereka boleh dikenakan pengawasan wajib dan rejim pemulihan.
"Mereka yang mengimport, menjual, mengedarkan vape yang mengandungi etomidate dapat menjangkakan hukuman lebih berat berbanding sekarang."
Namun ia hanya langkah sementara, kata Encik Shanmugam.
Kementerian Kesihatan juga sedang "meneliti perundangan baharu yang boleh dikuatkuasakan bagi menangani pengambilan etomidate dan bahan-bahan lain yang serupa".
PESALAH GUNA LEBIH MUDA
Encik Shanmugam berkata kes-kes pesalah guna etomidate yang dilaporkan 'sangat membimbangkan'.
"Mereka hilang kawalan diri, mereka meletakkan diri dalam keadaan berbahaya, mereka menjadi mudah terdedah, mereka menjadi seperti zombie," katanya.
Beliau berkata ramai adalah golongan muda yang mempunyai masa depan cerah, tetapi berisiko kehilangan semuanya gara-gara pengambilan bahan itu.
Menjawab soalan Mediacorp tentang sama ada demografi pengguna yang lebih muda bermakna akan ada usaha penguatkuasaan dan pendidikan yang berbeza berbanding dadah lain yang lebih keras, Encik Shanmugam berkata pendidikan awam di Singapura mengenai penyalahgunaan dadah bermula pada usia yang muda.
"Kita perlu melakukannya di sekolah. Kita perlu melakukannya bersama ibu bapa. Ia serupa, cuma untuk vape, kanak-kanak mula mengambilnya pada usia lebih muda," katanya.
Encik Shanmugam berkata hal itu akan dibincangkan bersama MOH, yang kemudian akan menentukan bagaimana untuk menyampaikan mesej itu kepada kanak-kanak lebih muda.
Beliau menarik perhatian kepada persamaan antara etomidate dengan dadah lebih keras, sambil menukil laporan media mengenai bahaya yang dialami oleh para pesalah guna etomidate.
"Untuk dadah, kesan akibatnya, jika kita ambil pendekatan ringan, ia akan berlaku berlipat ganda berbanding apa yang anda lihat berlaku dengan etomidate."
Encik Shanmugam berkata selagi rakyat Singapura menyokong dasar-dasar Singapura, ia akan terus mengambil pendekatan tegas terhadap dadah, termasuk hukuman mati bagi para pengedar dadah.
"Pendekatan tegas itu bantu menyelamatkan lebih banyak nyawa, memastikan jalan-jalan kita bebas dari kancah dadah dan ibu bapa boleh membesarkan anak-anak mereka dengan fikiran yang tenang," kata Encik Shanmugam.
"Kami percaya ia adalah perkara yang betul untuk lakukan ... kami lakukan apa yang kami secara jujur percaya adalah dalam kepentingan rakyat Singapura."
RESPONS MASYARAKAT
Pada Rabu, Encik Shanmugam turut menghadiri pelancaran siri web baharu SGSecure yang bertajuk 'What Would You Do When Terror Strikes' (Apa yang akan anda lakukan apabila berlaku kecemasan).
Rancangan tiga episod itu bertujuan mendidik para penonton tentang bagaimana untuk bertindak balas jika berlaku insiden dan juga memperkukuhkan kepetingan kewaspadaan masyarakat.
Gerakan SGSecure dilancarkan pada 2016 untuk memberi kesedaran, melatih dan mendorong rakyat Singapura supaya memainkan peranan dalam mencegah dan menangani serangan pengganas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.