Skip to main content

Singapura

MHA, ELD kenal pasti warga asing cuba pengaruhi GE2025; Meta diarah sekat akses kepada akaun tersebut

Anggaran Waktu Membaca:
MHA, ELD kenal pasti warga asing cuba pengaruhi GE2025; Meta diarah sekat akses kepada akaun tersebut

Gambar Fail Jabatan Pilihan Raya Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengeluarkan arahan kepada Meta untuk menyekat akses kepada beberapa contoh Iklan Pilihan Raya Online (OEA) yang dimuat naik ke Facebook oleh warga asing.

Menekankan betapa pentingnya untuk tidak mencampuradukkan agama dan politik, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) menyatakan dalam satu kenyataan pada Jumaat (25 Apr) bahawa mereka telah mengenal pasti “sebilangan warga asing” yang cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum ini (GE2025), yang akan menyaksikan rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei.

"Kita tidak boleh mencampuradukkan agama dan politik. Singapura adalah sebuah negara sekular," tambah kenyataan bersama itu.

"Membawa masuk agama ke dalam politik akan menjejaskan perpaduan dan keharmonian sosial, seperti yang kita lihat di negara-negara lain dengan politik berasaskan kaum atau agama."

MHA dan ELD menambah bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) untuk warga asing menyertai aktiviti pilihan raya atau menerbitkan OEA.

Di bawah PEA, sebarang bahan yang diterbitkan secara online yang boleh "secara munasabah" dianggap sebagai bertujuan untuk mempromosi atau menjejaskan kejayaan pilihan raya atau kedudukan parti politik atau calon ditakrifkan sebagai OEA.

“Orang asing tidak boleh mengarah, membiayai atau dalam apa cara sekalipun mempengaruhi pilihan raya Singapura,” tegas kenyataan itu.

"Politik Singapura mestilah ditentukan sendiri oleh rakyat Singapura yang perlu membuat keputusan mereka sendiri."

Dalam kenyataannya, kedua-dua pihak berkuasa menyatakan bahawa OEA yang Meta telah diarahkan untuk menyekatnya telah dimuat naik oleh:

- Bendahari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Iskandar Abdul Samad.

- Pengguna Facebook “Zai Nal”, yang dikenal pasti sebagai Zulfikar Mohamad Shariff.

- Ketua Belia PAS Selangor Mohamed Sukri Omas, yang memuat naik semula catatan Zulfikar.

Catatan-catatan itu, yang tidak lagi boleh dilihat oleh para pengguna di Singapura, menyatakan sokongan kepada calon tertentu yang bertanding dalam GE2025 dan mengkritik keputusan yang dibuat oleh pemerintah.

MHA dan ELD juga merujuk kepada dua artikel yang diterbitkan dalam makalah PAS, salah satunya menamakan beberapa calon pembangkang Melayu yang bertanding dalam GE2025, menonjolkan latar belakang pendidikan dan kerjaya mereka. Yang lain pula mengkritik dasar perumahan Singapura, mengaitkannya dengan imigresen.

Menurut pihak berkuasa, Zulfikar ialah warga Australia yang melepaskan kerakyatan Singapura pada 2020.

Pada 2016, Zulfikar telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana "mempromosikan keganasan" dan mengagung-agungkan kumpulan pengganas ISIS secara online, menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa tindakannya "menyumbang kepada radikalisasi sekurang-kurangnya dua lagi warga Singapura".

Zulfikar telah menyeru umat Islam supaya "menolak negara berperlembagaan, sekular dan berdemokrasi dan sebaliknya menyokong negara Islam yang ditadbir oleh undang-undang Syariah" dan menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat tersebut jika perlu, menurut kenyataan itu lagi.

Bagi catatan yang dimaksudkan itu, Zulfikar menuduh beberapa Anggota Parlimen Melayu/Islam gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam, dan berkata masyarakat Islam tempatan tidak memerlukan AP Melayu lain yang tidak mewakili pandangan mereka.

"Catatan-catatan itu telah disasarkan kepada rakyat Singapura. Mereka campur tangan dalam politik negara kita, yang dikhaskan untuk rakyat kita. Mereka juga menggesa rakyat Singapura supaya mengundi berlandaskan kaum dan agama, dan telah mendorong lebih banyak catatan media sosial yang serupa," tambah pihak berkuasa.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa catatan di Facebook, Reddit, Instagram dan Threads telah mencampuradukkan agama dan politik.

Satu catatan Facebook oleh guru agama Noor Deros, misalnya, membuat senarai tuntutan untuk parti-parti politik di Singapura. Dia mendakwa bahawa Parti Pekerja (WP) adalah satu-satunya parti yang memberi respons kepadanya.

Selepas itu, dia mendakwa dalam catatan lain bahawa jika WP "tidak bertindak balas terhadap tuntutan meluas masyarakat Islam untuk menolak LGBT dan menangani kebimbangan utama lain, maka saya menggesa kita mengundi calon, bukan parti".

Dalam catatan lain, dia mendakwa Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zukifli gagal melindungi hak dan kepentingan masyarakat Melayu/Islam.

Terdapat juga catatan di Reddit yang dimulakan oleh netizen "queenkard" yang berkongsi catatan Facebook, yang ditulis oleh orang lain, yang menyeru penduduk Tampines supaya menyokong calon WP Faisal Manap untuk "memperjuangkan masyarakat Islam di sini".

Walaupun dasar awam kadangkala melibatkan "perkara yang menjadi keprihatinan agama", pemerintah akan terus "melibatkan diri secara meluas", tambah MHA dan ELD.

Semua institusi memberi perkhidmatan sama rata kepada semua rakyat Singapura, kata MHA dan ELD.

"Kami menggesa semua parti politik dan calon-calon mereka, serta pertubuhan agama, pemimpin dan orang ramai untuk memainkan peranan kita menjaga keharmonian yang sangat berharga ini di Singapura."
Sumber : CNA/MT/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita