Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHA arah 9 individu minta maaf; betulkan kenyataan palsu terhadap ucapan Shanmugam di Parlimen

MHA mengeluarkan surat kepada sembilan individu yang mengarahkan mereka supaya meminta maaf dan memperbetulkan kenyataan palsu yang memberikan gambaran yang salah tentang apa yang disampaikan oleh Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam tentang peraturan undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
MHA arah 9 individu minta maaf; betulkan kenyataan palsu terhadap ucapan Shanmugam di Parlimen

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Oct 2021 08:51AM Dikemas Kini : 08 Oct 2021 08:53AM

SINGAPURA: Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) mengeluarkan surat kepada sembilan individu yang mengarahkan mereka supaya meminta maaf dan memperbetulkan kenyataan palsu yang memberikan gambaran yang salah tentang apa yang disampaikan oleh Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam baru-baru ini tentang peraturan undang-undang.

Melalui aktiviti online mereka, para individu itu menerbitkan semula atau merujuk kepada rencana dari laman Mothership, yang melaporkan di luar konteks apa yang disampaikan oleh Encik Shanmugam di Parlimen baru-baru ini. Rencana itu sudah pun dibetulkan.

Mereka yang menerima surat berkenaan adalah:

- Peguam dan pemimpin parti pembangkang Lim Tean

- Pembuat filem Martyn See dan Lynn Lee

- Bekas editor The Online Citizen, Andrew Loh

- Wartawan Kirsten Han

- Penulis Julie O' Connor

- Aktivis Jolovan Wham dan Kokila Annamalai

Dalam kenyataannya, MHA turut mendedahkan pada lewat Khamis (7 Okt) bahawa ia juga menghantar surat kesembilan kepada Wake Up, Singapore - sebuah kumpulan yang menyifatkan diri mereka sebagai "sekumpulan aktivis muda" yang aktif di Facebook - namun tidak mendedahkan kepada siapa surat itu ditujukan.

Dalam rencana yang diterbitkan pada Rabu, Mothership "memberikan gambaran yang salah" tentang apa yang disampaikan oleh Encik Shanmugam, menurut MHA.

Yang lain juga melakukan perkara yang sama apabila mereka memuat naik catatan online yang "sangat bercanggah" dengan apa yang disampaikan di Parlimen pada Selasa (5 Okt), semasa Rang Undang-undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing dibahaskan panjang lebar di Parlimen, yang merupakan satu undang-undang baru bagi menangani campur tangan asing dalam aktiviti politik Singapura.

Sekurang-kurangnya empat individu, termasuk Encik Wham, Cik Lee, Cik Kokila dan Cik O'Connor berkongsi rencana asal Mothership sama ada di akaun Facebook atau Twitter, manakala Encik See dan Wake Up, Singapore nampaknya sudah memadamkan catatan asal mereka di Facebook.

Apa yang ditegaskan oleh Encik Shanmugam di Parlimen adalah peraturan undang-undang penting bagi Singapura dan kejayaannya, dan Singapura selama ini sentiasa komited kepada peraturan undang-undang dan akan terus komited untuk berbuat demikian.

Beliau juga berkata terdapat negara-negara di mana "peraturan undang-undang merupakan satu konsep untuk para peguam, namun ia tidak diamalkan di dunia sebenar".

Menurut MHA, Encik Shanmugam menggunakan ini sebagai perbandingan untuk menunjukkan bagaimana peraturan undang-undang digunakan di Singapura.

Encik Shanmugam menyampaikan ucapan itu sebagai respons kepada beberapa anggota Parti Pekerja (WP) yang bercakap panjang lebar tentang saranan utamanya - iaitu pengawasan kehakiman terhadap undang-undang baru.

Selepas MHA menghantar surat kepada sembilan individu yang "memerlukan mereka untuk memperbetulkan kenyataan palsu dan meminta maaf", tujuh daripada mereka sudahpun berbuat demikian.

Mothership turut menerbitkan nota editor untuk "menjelaskan dan memperbetulkan gambaran yang salah itu", menurut MHA.

Setakat pukul 11.20 malam pada Khamis, Encik Lim dan Encik Wham belum lagi membetulkan catatan atau mengeluarkan catatan bagi memohon maaf di akaun Facebook dan Twitter masing-masing.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan