MHA akan terus sokong pembangunan kemahiran; kesejahteraan para pegawai: Josephine Teo
SINGAPURA: Membangunkan tenaga kerja yang berdedikasi dan berkemahiran akan sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Oleh itu, kementerian itu akan membuat pelaburan tinggi dalam latihan bagi melengkapi para pegawainya dengan kemahiran, menjaga kebajikan para pegawainya dan merekrut pegawai yang mempunyai minat yang mendalam serta berbakat.
Demikian kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah Biasiswa dan Tajaan MHA pada Jumaat (15 Jul).
Seramai 148 pegawai cemerlang Home Team dianugerahkan dengan biasiswa dan tajaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dan Pos-Siswazah, dalam pelbagai bidang, di dalam dan luar negara.
Ia antara usaha MHA untuk menyokong kemajuan akademik para pegawainya.
"Diberikan biasiswa atau tajaan adalah pengiktirafan di atas khidmat cemerlang, dan bukti kepercayaan kami dalam potensi anda untuk menyumbang kepada MHA dalam cara-cara yang lebih besar," kata Cik Teo.
KEJAYAAN PADA KALI KETIGA
Salah seorang daripada penerima tahun ini ialah Mohamed Iskandar Mohamed.
Kecemerlangan Inspektor Pusat Pemeriksaan, CI (1) Iskandar daripada Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) turut menarik perhatian Cik Teo.
Sebagai seorang Penganalis dalam Divisyen Perisikan, beliau senantiasa mencari peluang untuk memperbaiki dan mempertingkat dirinya dalam tugasnya.
Sepanjang tujuh tahun berkhidmat di ICA, beliau juga banyak menerima pengiktirafan atas prestasinya.
Beliau juga antara 23 pegawai yang menerima Biasiswa Sarjana Muda tahun ini dan antara puluhan yang mengambil jurusan yang sama sejak ia diperkenalkan pada 2019.
Beliau bakal mengikuti jurusan Keselamatan Awam dan Sekuriti di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Cik Teo berkata, kursus itu yang dibangunkan bersama-sama MHA dan SUSS pada 2019, sudah menyaksikan lebih 70 penerima biasiswa sarjana muda MHA yang sedang atau akan menyertai program tersebut.
Kejayaan mendapat biasiswa itu sebenarnya tidak datang bergolek kerana ini merupakan percubaan ketiga CI (1) Iskandar.
Namun ia sesekali pun tidak mematahkan semangatnya.
Sebaliknya, ia menguatkan lagi azamnya untuk bekerja lebih keras dan terus mencuba.
Menurut CI (1) Iskandar, meskipun akur akan kesibukan mengimbangi pelajaran dan tugas, bapa berusia 31 tahun itu didorong kerana mahu untuk menjadi contoh yang baik buat anaknya.
PENANTIAN 20 TAHUN UNTUK SAMBUNG BELAJAR
Seorang lagi pegawai yang akan melanjutkan pelajaran di SUSS, ialah Inspektor Stesen (SI) Mansor Zaiman, 44 tahun daripada Biro Narkotik Pusat (CNB).
Beliau akan mengikuti jurusan Sarjana Muda Sains, Faktor Manusia dalam Keselamatan di SUSS.
Keinginan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda sebenarnya sudah lama berputik sejak beliau menyertai CNB pada 2001 lagi.
Namun, niat itu terpaksa ditangguhkan demi tanggungjawab kepada keluarga.
Walaupun sudah lebih 10 tahun 'tidak masuk kelas', SI Mansor menganggap ia adalah satu pencapaian hebat baginya sekiranya dapat menggenggam ijazah pada usianya sekarang.
Beliau antara 82 pegawai yang menerima Tajaan Sarjana Muda MHA tahun ini.
Dalam pada itu, majlis turut menyampaikan Biasiswa Pos-siswazah kepada 21 pegawai tahun ini.
Dalam ucapannya, Cik Teo juga berkongsi kisah salah seorang penerima biasiswa itu, Superintendan 1A (SUPT1A) Chee Chin Lin yang bertugas di Pasukan Polis Singapura (SPF).
Meskipun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perhubungan, Penolong Pengarah itu mencabar dirinya untuk memperoleh kemahiran yang praktikal dan memilih untuk mengambil Sarjana Sains dalam Pengurusan Perhubungan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Cik Teo memuji kesungguhan SUPT 1A Chee itu yang juga seorang ibu dua orang anak yang boleh dijadikan inspirasi bagi yang lain.
KERJASAMA, KESEDIAAN PENTING UNTUK MENGHARUNGI CABARAN
Dalam kesempatan itu, Cik Teo turut memuji pencapaian dan pengorbanan para pegawai dalam mempertahankan negara meskipun di tengah-tengah pandemik.
Ini termasuk memastikan kadar jenayah terus rendah sehingga Singapura disenaraikan sebagai antara negara terselamat di dunia buat tujuh tahun berturut-turut.
Meskipun kedudukan pertahanan negara baik sekarang, Cik Teo mengingatkan para pegawai akan pentingnya untuk bekerjasama bagi mengekalkan kedudukan itu sedang pelbagai cabaran melanda.
"Persekitaran beroperasi kita adalah dinamik dan rumit dan semakin tidak menentu. Kita perlu sentiasa bersedia dan perlu cuba yang terbaik untuk maju ke hadapan dalam menangani ancaman yang berkembang seperti keganasan, penipuan, kempen-kempen maklumat yang mencetuskan permusuhan dan perpecahan masyarakat yang lain.
"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan tenaga buruh dalam kalangan penduduk yang semakin mengecil, situasi fiskal dan tenaga manusia kita sangat ketat. Justeru, kita perlu sentiasa mencari cara untuk mengubah cara kita mendekati misi kita," jelas Cik Teo.
Dalam pada itu, Cik Teo turut memberi jaminan, MHA akan terus mengambil para pegawai yang berkongsi nilai-nilai serupa untuk melindungi Singapura.
"Kami akan terus mengambil individu-individu yang berkongsi nilai-nilai kehormatan, integriti dan keberanian serta berminat untuk memainkan peranan mereka untuk mempertahankan Singapura. Individu-individu seperti anda," ujar beliau.
Anugerah-anugerah berikut disampaikan dalam majlis tahun ini:
- 7 anugerah Tajaan Pos-Siswazah
- 15 anugerah Pembelajaran MHA
- 8 anugerah Anugerah Buku MHA
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.