MHA akan kendalikan 'ujian sosial terkawal' pada Jun bagi nilai tahap waspada awam
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan menjalankan siri "ujian sosial terkawal" di kawasan kejiranan mulai awal hingga pertengahan Jun bagi menilai tahap kewaspadaan orang awam dan tindak balas kepada ancaman keganasan.
Seorang lelaki bersenjata mengancam para pengunjung di Pusat Penjaja Marsiling Mall dalam satu simulasi yang diadakan pada 15 Februari 2025. (Gambar: CNA/Lan Yu)
Ujian sosial itu yang dilaksanakan di bawah gerakan SGSecure, akan melibatkan beberapa senario terancang dengan penggunaan watak dan prop yang realistik, dan ia akan dilaksanakan dengan "pemantauan teliti" untuk memastikan ia dijalankan dengan selamat, menurut MHA dalam satu kenyataan media pada Khamis (29 Mei).
Ia menambah ujian itu akan menimbulkan "sedikit kesulitan" dan pihak berkuasa bersedia untuk memastikan keselamatan orang awam semasa ujian itu dijalankan.
Rakaman reaksi orang awam terhadap ujian sosial itu akan digunakan untuk menghasilkan siri web pendidikan bagi meningkatkan kesedaran kepada protokol kecemasan SGSecure seperti "Lari-Sembunyi-Beritahu" (run, hide and tell) dan "Tekan, Ikat dan Beritahu" (press, tie and tell).
Protokol pertama membimbing orang awam mengenai tindakan segera yang perlu dilakukan sekiranya berlaku serangan, manakala protokol kedua adalah panduan kemahiran pertolongan kecemasan yang mendidik orang awam mengenai barang mudah didapati yang boleh digunakan utuk membantu mereka yang cedera semasa berlaku serangan.
Izin orang ramai akan dimohon atau langkah-langkah sewajarnya akan diambil, seperti menyembunyikan identiti mereka sebelum sebarang rakaman reaksi awam digunakan, menurut MHA.
Episod pertama siri web itu akan diterbitkan pada 30 Julai, bersama dengan maklumat lanjut tentang keputusan uji kaji sosial itu.
Orang awam digalakkan supaya terus berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa dengan serta-merta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.