Skip to main content

Singapura

MFA sedia pertahankan kedaulatan Singapura ke atas Pedra Branca

Dalam satu kenyataan pada Oktober tahun lalu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan negara ini bersedia untuk "mempertahankan dengan teguh" kedaulatannya ke atas Pedra Branca.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jan 2024 08:42PM Dikemas Kini : 25 Jan 2024 07:56AM
SINGAPURA: Dalam satu kenyataan pada Oktober tahun lalu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan negara ini bersedia untuk "mempertahankan dengan teguh" kedaulatannya ke atas Pedra Branca.

Ia menekankan bahawa kedua-dua Singapura dan Malaysia juga mengumumkan mereka akan menerima dan mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di mana ia adalah muktamad.

Mediacorp telah pun menghubungi MFA untuk mendapatkan komen berhubung perkembangan terkini.

GARIS MASA PERTIKAIAN PEDRA BRANCA

Pedra Branca terletak 24 batu nautika dari Singapura, 7.7 batu nautika dari Johor, Malaysia dan 7.6 batu nautika dari Bintan, Indonesia.

Ketegangan berhubung pulau yang dipertikaikan itu menjangkau beberapa dekad.

Berikut garis masa bagaimana bermulanya pertikaian ke atas Pedra Branca.

Pertikaian ke atas Pedra Branca bermula pada 1979.

Pada tahun itu, Malaysia menerbitkan peta yang mendakwa pulau itu sebagai miliknya.

Singapura mengemukakan bantahan formal pada tahun seterusnya sambil menyatakan ia tidak boleh diterima dan Pedra Branca adalah milik Singapura.

Pertikaian itu berlarutan sehingga ke dekad selanjutnya sebelum Singapura mengusulkan untuk menyerahkan kes kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Malaysia menerima usulan itu lima tahun kemudian pada 1994 dan kedua-dua pihak mencatatnya secara bertulis pada 2003.

Pada 2005, terdapat tiga pusingan rayuan bertulis sebelum kedua-dua negara membuat hujahan secara lisan dua tahun kemudian.

Perbicaraan itu dibuka kepada orang awam di Peace Palace di The Hague, Belanda.

Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Pedra Branca adalah milik Singapura.

Kedua-dua negara bersetuju untuk mematuhi keputusan mahkamah.

Sungguhpun begitu, hampir dua dekad kemudian, Malaysia mengemukakan dua permohonan.

Satu untuk menyemak penghakiman itu sambil menukil bukti baharu dan satu lagi untuk menterjemahkan penghakiman yang sama.

Namun kerajaan Malaysia baharu yang dibentuk pada tahun seterusnya menarik balik permohonan tersebut dan tempoh 10 tahun untuk memohon semakan penghakiman telah berlalu.

Isu tersebut timbul sekali lagi pada 2022.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengarahkan peguam negara itu supaya menyemak kes tersebut selepas kepimpinan sebelum ini menarik perhatian kepada kecuaian dan kesilapan yang dibuat semasa penarikan balik kes pada 2018.

Sungguhpun begitu, Encik Anwar berkata beliau tidak mahu ia menyebabkan timbul isu-isu antara kedua-dua negara jiran tersebut.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita