MFA: S'pura belum terima sebarang maklumat dari M'sia berhubung projek hab perkapalan
Pemerintah Singapura belum lagi menerima sebarang bentuk komunikasi atau maklumat daripada Malaysia berhubung projek hab perkapalan baru di Selat Johor, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura pada Jumaat (5 Apr).

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Pemerintah Singapura belum lagi menerima sebarang bentuk komunikasi atau maklumat daripada Malaysia berhubung projek hab perkapalan baru di Selat Johor, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura pada Jumaat (5 Apr).
Pada awal minggu ini, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menyaksikan majlis penandatanganan bagi projek itu, yang disebut-sebut sebagai hab pemindahan dari kapal ke kapal yang terbesar di dunia.
Dr Mahathir yang menegaskan bahawa projek tersebut akan dibangunkan dalam kawasan perairan Malaysia, turut menambah bahawa Singapura sudah dimaklumkan mengenai projek berkenaan.
"Pemerintah Singapura belum lagi menerima sebarang bentuk komunikasi mahupun maklumat daripada Malaysia berhubung pembinaan hab pemindahan dari kapal ke kapal di Selat Johor oleh KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Ltd," menurut seorang jurucakap MFA semasa menjawab pertanyaan media.
"Kami sedang meminta lebih banyak maklumat dari Malaysia berhubung projek ini, termasuk lokasi tepat, serta sebarang kesan projek ini terhadap tanggungjawab Malaysia dalam hubungan dua hala dan antarabangsa, termasuk berhubung isu keselamatan pengemudian di kawasan itu dan kesan alam sekitar rentas sempadan," tambah jurucakap itu.
"Singapura sudah meminta maklumat tersebut dari Malaysia untuk menilai kesannya ke atas Singapura."
Singapura mengeluarkan kenyataan itu di tengah-tengah kekeliruan berhubung projek tersebut dalam kalangan para pemimpin Johor.
Awal minggu ini, Tengku Mahkota Johor membidas Dr Mahathir kerana mendakwa bahawa para pemimpin dan kerajaan negeri Johor maklum tentang projek itu.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata Dr Mahathir bertindak tanpa mengikut perlembagaan berhubung projek itu dan menambah bahawa hal tanah dan air adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Pembinaan hab seluas 1,214 hektar itu dijangka akan dimulakan dalam tempoh 12 bulan dan dijangka menelan belanja antara AS$150 juta hingga AS$180 juta (S$203 juta hingga S$243.7 juta).
Hab berkenaan akan memudahkan pemindahan kargo cecair seperti minyak mentah, gas asli cecair dan produk berasaskan petroleum, serta dijangka menambah RM18 bilion (S$6.0 bilion) kepada GDP Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.