MFA: Pertikaian perairan sebaiknya dilerai melalui rundingan
Pertikaian sempadan perairan sebaiknya dihuraikan melalui rundingan, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Khamis (13 Dis).
SINGAPURA: Pertikaian sempadan perairan sebaiknya dihuraikan melalui rundingan, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Khamis (13 Dis).
Menjawab pertanyaan media berhubung pemfailan Singapura bagi perisytiharan di bawah Artikel 298 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), kementerian itu menyatakan Singapura percaya bahawa pertikaian sebegini sebaiknya dileraikan melalui rundingan demi mencapai persetujuan yang dapat diterima oleh kesemua pihak.
"Namun, jika ini tidak dapat dicapai, Singapura bersedia untuk menghuraikan pertikaian sedemikian dengan merujuk kepada prosedur perantara pihak ketiga antarabangsa yang wajar, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh kesemua pihak," menurut jurucakap MFA.
Bagi memastikan agar rujukan kepada pengantara antarabangsa boleh dibuat berdasarkan persetujuan kesemua pihak yang terlibat, Pemerintah Singapura pada Rabu memfailkan perisytiharan di bawah UNCLOS.
"Perisytiharan ini bermakna negara yang menyokong UNCLOS tidak boleh secara sepihak memulakan penimbangtaraan atau memutuskan penghukuman terhadap Singapura berhubung pertikaian sempadan perairan.
"Pada masa yang sama Singapura juga tidak boleh secara sehala memulakan tindakan sedemikian ke atas negara lain bagi pertikaian seumpama itu," tambah jurucakap itu.
Jika sesuatu pertikaian tidak dapat dileraikan menerusi rundingan, Singapura menurut MFA, akan bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk mencapai persetujuan bagi pilihan forum dan isu khusus yang perlu diputuskan agar perkara itu boleh difailkan untuk penimbangtaraan atau proses keputusan mahkamah.
"Ini lebih baik daripada satu pihak secara sehala mengenakan tindakan penimbangtaraan atau keputusan mahkamah ke atas pihak lain tanpa mempersetujui isu-isu penting dahulu."
Negara-negara seperti Perancis, Kanada, Itali, Sepanyol, Australia dan Thailand juga pernah memfailkan perisytiharan UNCLOS yang serupa, menurut MFA.
"Singapura sudah memberitahu Malaysia bahawa ia sudah memfailkan perisytiharan ini," kata jurucakap itu.
Para wakil Singapura dan Malaysia akan bertemu pada minggu kedua Januari depan untuk membincangkan isu had pelabuhan Johor Bahru.
"Singapura berharap dengan berhubungan antara satu sama lain, kedua-dua pemerintah dapat mencapai huraian secara persahabatan yang pantas berdasarkan undang-undang antarabangsa," menurut MFA, yang menambah bahawa Singapura tetap komited kepada usaha meleraikan pertikaian secara damai sejajar dengan undang-undang antarabangsa.
Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan pada Rabu berkata bahawa Malaysia sudah mengambil langkah untuk mengendurkan ketegangan di kawasan itu dan tinggal sebuah kapal Malaysia yang masih berada di perairan Singapura.
Pada Jumaat lalu, terdapat tiga kapal kerajaan Malaysia di perairan berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.