MFA keluarkan notis perjalanan ke timur laut India susuli bantahan ganas
Kementerian Ehwal Luar MFA hari ini (14 Dis) mengeluarkan notis perjalanan ke timur laut India yang menasihatkan rakyat Singapura yang menuju ke sana supaya ‘terus berwaspada dan berhati-hati’.
(Gambar: Anuwar Hazarika/Reuters)
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini (14 Dis) mengeluarkan notis perjalanan ke timur laut India yang menasihatkan rakyat Singapura yang menuju ke sana supaya ‘terus berwaspada dan berhati-hati’.
Bantahan-bantahan ganas di sana terhadap undang-undang kerakyatan India yang baru bagi kaum minoriti dari negara-negara jiran sudah membawa maut di wilayah Assam.
Perintah berkurung yang waktunya tidak ditetapkan sudah dikuatkuasakan di Guwahati, sebuah bandar utama di Assam.
Perintah berkurung turut dikuatkuasakan di daerah-daerah lain di Assam dan Meghalaya.
Menurut MFA, keadaan perjalanan menjadi sulit disebabkan oleh bantahan-bantahan jalanan, pembatalan sebilangan penerbangan dan khidmat kereta api.
Data mudah alih juga disekat di sesetengah daerah.
Disebabkan keadaan yang bergolak itu, rakyat Singapura perlu mendapatkan maklumat tentang perkembangan terkini melalui berita tempatan.
Selain itu, mereka juga harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga keselamatan peribadi, termasuk menjauhi kawasan-kawasan yang penuh sesak.
Rakyat Singapura di India digalak supaya mendaftar secara online dengan MFA.
Bagi sesiapa yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pejabat Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi, India atau menghubungi pejabat petugas 24-jam MFA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.