Skip to main content

Singapura

MFA hubungi hampir 100 warga, PR SG di Nepal dan Tibet susuli banjir dahsyat

Kementerian Ehwal Luar (MFA) sudah menghubungi hampir 100 warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang berada di Nepal dan Tibet untuk memastikan keselamatan serta keadaan mereka menyusuli banjir dahsyat pada 26 Ogos lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
MFA hubungi hampir 100 warga, PR SG di Nepal dan Tibet susuli banjir dahsyat

Penduduk mendapatkan semula barangan mereka menyusuli banjir kilat di Devighat, daerah Nuwakot di Nepal pada 8 September 2026. (Gambar fail: AFP/Pedro Pardo)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 06:19PM
  • Kementerian Ehwal Luar Singapura menghubungi hampir 100 warga dan PR di Nepal serta Tibet selepas banjir dahsyat pada 26 Ogos untuk memastikan keselamatan mereka.
  • MFA memberi bantuan konsular kepada keluarga sembilan warga Singapura yang masih hilang dan bekerjasama dengan pihak asing jika tiada perwakilan diplomatik di lokasi bencana.
  • Singapura kini mempunyai lebih 50 misi diplomatik di luar negara, termasuk duta bukan pemastautin dan konsul jeneral kehormat untuk memperluas liputan dan bantuan konsular.
  • MFA sentiasa menyemak keperluan memperluas rangkaian diplomatik, dengan pembukaan kedutaan dan konsulat baru di beberapa negara, sambil mengambil kira kekangan sumber negara kecil.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Luar (MFA) sudah menghubungi hampir 100 warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang berada di Nepal dan Tibet untuk memastikan keselamatan serta keadaan mereka menyusuli banjir dahsyat pada 26 Ogos lalu.

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata MFA turut memberikan bantuan konsular kepada keluarga sembilan warga Singapura yang masih hilang.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen pada Khamis (10 Sep) kepada pertanyaan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied Fadli Fawzi.

Encik Fadli bertanya mengenai jumlah warga Singapura yang meminta dan menerima bantuan MFA berhubung banjir kilat di Nepal dan Tibet.

Beliau turut bertanya sama ada MFA sudah menilai keperluan untuk memperluaskan rangkaian misi konsular Singapura di luar negara bagi meningkatkan keupayaan untuk bertindak balas dan membantu warga Singapura apabila berlaku bencana.

LEBIH 50 MISI SINGAPURA DI LUAR NEGARA

Dalam jawapannya, Dr Balakrishnan berkata Singapura kini mempunyai lebih 50 misi diplomatik di luar negara, disokong rangkaian duta bukan pemastautin dan konsul jeneral kehormat.

Duta bukan pemastautin mempunyai kuasa penuh sesebuah misi diplomatik dan berperanan meluaskan perwakilan Singapura di negara-negara yang tiada misi tetap Singapura.

Konsul jeneral kehormat pula merupakan warga asing yang dilantik pemerintah Singapura untuk mewakili kepentingan negara serta memberikan bantuan konsular kepada warga Singapura di luar negara.

Menurut Dr Balakrishnan, apabila berlakunya satu krisis di tempat yang tiada perwakilan diplomatik Singapura, MFA bekerjasama dengan pemerintah asing dan rakan kongsi lain untuk memberikan bantuan konsular kepada warga Singapura yang memerlukannya.

Singapura juga boleh mengerahkan pasukan tindak balas krisis bagi insiden besar, seperti yang dilakukan menyusuli banjir di Nepal dan Tibet.

Dr Balakrishnan berkata MFA kerap menyemak rangkaian diplomatik Singapura bagi mengimbangi keperluan untuk memperluaskan liputan dengan kekangan sumber sebagai sebuah negara kecil.

Beliau menarik perhatian Singapura membuka sebuah kedutaan di Mexico City pada awal tahun ini.

Singapura juga akan membuka kedutaan di Addis Ababa, ibu kota Habsyah, serta konsulat di Sabah dan Sarawak, Malaysia.

LEBIH 1,410 MAUT, 5,651 MASIH HILANG

Banjir dahsyat pada 26 Ogos lalu tercetus akibat runtuhan gunung glasier, yang menyebabkan gelombang air, lumpur dan serpihan seperti tsunami melanda kawasan sempadan Nepal dengan China.

Bencana itu meragut lebih 1,410 nyawa, manakala 5,651 orang masih hilang.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita