Skip to main content

Singapura

MFA gesa rakyat SG di Mexico tingkatkan tahap waspada

Rakyat Singapura di Mexico dinasihatkan supaya "meningkatkan tahap waspada" dan elakkan melakukan perjalanan ke wilayah-wilayah berisiko tinggi menyusuli insiden keselamatan yang dilaporkan di beberapa bahagian negara itu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (24 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
MFA gesa rakyat SG di Mexico tingkatkan tahap waspada
Anggota keselamatan berada di luar Pejabat Pendakwa Raya Khas bagi Jenayah Terancang (FEMDO), tempat di mana jenazah Nemesio Oseguera, yang dikenali sebagai “El Mencho”, dipercayai ditahan pihak berkuasa selepas dia terbunuh dalam satu operasi ketenteraan, di Mexico City, Mexico, pada 22 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Luis Cortes)
Diterbitkan : 25 Feb 2026 09:54AM
SINGAPURA: Rakyat Singapura di Mexico dinasihatkan supaya "meningkatkan tahap waspada" dan elakkan melakukan perjalanan ke wilayah-wilayah berisiko tinggi menyusuli insiden keselamatan yang dilaporkan di beberapa bahagian negara itu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (24 Feb).

Ini berlaku di tengah-tengah keganasan meluas menyusuli pembunuhan ketua kartel Nemesio Oseguera, yang juga dikenali sebagai El Mencho.

Dalam nasihat perjalanannya, MFA merujuk kepada insiden-insiden keselamatan di beberapa wilayah Mexico termasuk Jalisco, Tamaulipas, Michoacan, Guerrero dan Nuevo Leon.

Rakyat Singapura digesa supaya terus berwaspada, mengikuti perkembangan berita tempatan, mematuhi nasihat pihak berkuasa setempat serta mengelakkan tempat-tempat dikunjungi ramai orang, tunjuk perasaan dan perhimpunan.

“Mereka juga perlu mengambil setiap langkah berjaga-jaga sewajarnya, memahami undang-undang tempatan serta membeli insurans perjalanan dan perubatan yang komprehensif,” menurut MFA.

“Rakyat Singapura sangat digalakkan untuk membuat pendaftaran online dengan Kementerian Ehwal Luar … dan terus berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.”

Oseguera, dalang di sebalik Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG) yang berpengaruh, meninggal dunia dalam tahanan selepas cedera dalam operasi ketenteraan oleh pasukan khas Mexico.

Kartel itu bertindak balas dengan ganas, melaksanakan pertempuran bersenjata dengan pasukan keselamatan yang mengorbankan berpuluh-puluh orang di seluruh Mexico - termasuk anggota tentera dan ahli kartel - selain memaksa para pelancong dan penduduk untuk mencari perlindungan.

Bekas pegawai polis itu mengasaskan dan menyelia kebangkitan pesat CJNG - salah satu kartel paling berkuasa di Mexico, yang terkenal dengan taktik ganas, penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia serta penipuan kewangan yang kompleks.

Menyusuli laporan mengenai kematiannya, anggota-anggota kartel menyekat lebuh raya dengan kenderaan-kenderaan yang dibakar. Mereka juga turut membakar premis-premis perniagaan di lebih enam wilayah, sekali gus melumpuhkan sebahagian daripada negara itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita