Skip to main content

Singapura

Metro akan tutup cawangan di Paragon, Causeway Point dalam rombakan operasi runcit

Anggaran Waktu Membaca:
Metro akan tutup cawangan di Paragon, Causeway Point dalam rombakan operasi runcit

Cawangan gedung serbaneka Metro di Paragon. (Gambar: laman web Metro)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 09:52AM
SINGAPURA: Metro Holdings akan menghentikan operasi di Paragon dan Causeway Point apabila tempoh pajakan sewa semasa tamat, selaras dengan hasrat syarikat itu untuk beralih secara berperingkat operasi runcitnya.

Dalam makluman kepada Bursa Singapura pada Isnin (20 Julai), Metro menyatakan, langkah itu dibuat menyusuli "semakan strategik" terhadap operasi runcitnya untuk menyesuaikan perniagaan dengan perubahan cita rasa pengguna, tabiat membeli-belah dan trend pasaran.

Cawangan di Paragon dan Causeway Point merupakan dua gedung serbaneka berskala besar terakhir Metro yang masih beroperasi di Singapura.

Syarikat itu merancang untuk beralih secara berperingkat daripada model gedung serbaneka yang telah lama diamalkan, kepada pendekatan runcit yang lebih fleksibel, bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, memperkukuh kecekapan operasi serta meneroka peluang pertumbuhan baharu.

"Sehubungan itu, kumpulan ini tidak akan meneruskan operasi gedung serbaneka berskala besar sedia ada di Metro Paragon dan Metro Causeway Point selepas tamatnya perjanjian pajakan sewa semasa bagi lokasi berkenaan," menurut syarikat tersebut.

Sebagai sebahagian daripada perubahan dalam strategi runcitnya, Metro sedang meneroka pelbagai konsep lain, termasuk format kedai lebih kecil, kedai pelbagai keistimewaan, pengalaman membeli-belah yang dipilih susun dan inisiatif-inisiatif kedai pop-up.

Metro menyatakan, syarikat itu kini sedang berbincang dengan pemilik premis sedia ada dan premis lain berhubung pelaksanaan kedai runcit pelbagai konsep.

Pihak pengurusan Metro juga telah mula menilai beberapa lokasi berpotensi dengan mengambil kira kesesuaian lokasi, kadar sewa, daya maju kewangan, tempoh pelaksanaan serta faktor operasi.

Menurut Metro, garis masa dan skop peralihan itu masih dalam penelitian serta tertakluk kepada perancangan pelaksanaan yang terperinci.

JANGKAAN PELANGGAN SEMAKIN BERUBAH

Dalam lagi satu makluman kawal selia yang difailkan pada Isnin (20 Jul), Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Metro Yip Hoong Mun berkata, persekitaran operasi yang semakin mencabar serta jangkaan pengguna yang kini jauh berbeza menjadi antara faktor utama syarikat itu merombak strategi runcitnya.

"Strategi runcit baharu kami dirangka bagi memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah, di samping memberikan lebih banyak fleksibiliti untuk memperkenalkan konsep, jenama dan kerjasama baharu," katanya.

Pengerusi Metro Tan Soo Khoon turut berkata, landskap runcit sedang mengalami perubahan dan syarikat perlu berkembang seiring dengan perubahan itu.

"Selepas semakan menyeluruh, lembaga pengarah percaya penyusunan semula strategik ini akan meletakkan Metro pada kedudukan yang lebih kukuh untuk mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang, melalui wadah runcit yang lebih tangkas serta mampu membuat penyesuaian dengan perubahan jangkaan pengguna dan merebut peluang-peluang baharu," katanya.

Syarikat itu masih menilai implikasi kewangan daripada peralihan tersebut dan belum dapat menganggarkan kesan sepenuhnya terhadap pendapatan.

Bagaimanapun, lembaga pengarah menjangkakan langkah itu tidak akan memberi kesan material terhadap aset ketara bersih yang terkumpul atau pendapatan untuk setiap saham bagi tahun
kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2027. Saham Metro ditutup pada harga S$0.46 pada Isnin (20 Jul).

Syarikat itu juga akan terus meneroka peluang-peluang menerusi Grand Brands Asia, syarikat usaha sama pengurusan jenamanya yang memberi tumpuan kepada jenama runcit antarabangsa serta kedai berkonsep pengalaman.

Metro menambah, pihaknya akan mengumumkan perkembangan lanjut sekiranya terdapat perubahan penting berkaitan pelaksanaan strategi runcit baharunya.

Pengendali runcit tempatan itu menutup gedung utama enam tingkatnya di The Centrepoint pada 2019. Sebelum ini, Metro turut mengendalikan cawangan di City Square serta Compass Point di Sengkang.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita