Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meta diberi arahan POFMA; dakwaan palsu kumpulan antihukuman mati dimuat naik semula

Anggaran Waktu Membaca:
Meta diberi arahan POFMA; dakwaan palsu kumpulan antihukuman mati dimuat naik semula

(Gambar fail: Lionel Bonaventure/AFP)

Diterbitkan : 05 Nov 2024 02:41PM Dikemas Kini : 05 Nov 2024 04:20PM
SINGAPURA: Syarikat induk Facebook dan Instagram, Meta akan dikenakan arahan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) berhubung tindakan beberapa pengguna memuat naik semula dakwaan palsu yang dibuat oleh kumpulan antihukuman mati, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa (5 Nov).

MHA menyatakan pihaknya sedia maklum tentang 10 catatan Facebook dan 30 lain di Instagram yang dibuat oleh beberapa individu pada 23 Oktober dan 24 Oktober, yang memuat naik semula kenyataan palsu yang dibuat oleh Transformative Justice Collective (TJC) pada 2 Oktober.

Kenyataan palsu itu diterbitkan dalam rencana di laman TJC dan dimuat naik ke laman Facebook, Instagram, TikTok dan X.

Ia berkaitan menjadualkan dan mengekalkan hukuman mati terhadap individu yang didakwa atas pengedaran dadah.

Arahan pembetulan dikeluarkan kepada TJC pada 5 Oktober. TJC mematuhi arahan itu pada keesokan hari dan menyertakan notis pembetulan di catatannya, dengan menjelaskan ia mengandungi kenyataan palsu.

TJC juga sebelum ini diberi dua arahan pembetulan POFMA kerana membuat kenyataan palsu serupa mengenai banduan yang menjalani hukuman mati.

"Dengan memuat naik semula catatan TJC pada 23 Oktober dan 24 Oktober, individu-individu itu memilih untuk menyampaikan kepalsuan yang mereka tahu, atau sepatutnya tahu, mengandungi kenyataan palsu," jelas MHA.

Kementerian itu mengarahkan Pejabat POFMA untuk memberikan arahan pembetulan yang disasarkan kepada Meta Platforms, yang memiliki Facebook dan Instagram.

Arahan pembetulan itu memerlukan Meta Platforms untuk memaklumkan pengguna yang sudah melihat catatan yang dimuat naik semula itu bahawa ia mengandungi kenyataan palsu, menurut MHA.

Arahan pembetulan bersasar itu juga memerlukan pengguna untuk disediakan pautan kepada penjelasan pemerintah.

"Penjelasan ini menetapkan kepalsuan dan fakta bagi orang ramai untuk memeriksa, tanpa memerlukan catatan asal diturunkan. Pembaca boleh membaca kedua-dua catatan asal dan faktanya, dan membuat keputusan sendiri tentang perkara yang benar," tambah kementerian itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan