Mesti berehat setidak-tidaknya 30 minit sebelum pemandu lori dibenar angkut pekerja lain

(Gambar: Grace Yeoh/CNA)
SINGAPURA: Para majikan tidak lama lagi perlu menyediakan tempoh berehat selama sekurang-kurangnya 30 minit bagi para pekerja yang turut menjalankan tugas sebagai pemandu.
Ini sekiranya mereka sudah bekerja sekurang-kurangnya enam jam di tapak kerja. Selepas berehat selama sekurang-kurangnya 30 minit, barulah mereka boleh mengangkut pekerja lain di bahagian belakang lori.
Para majikan juga perlu memperuntukkan seorang 'kelindan' bagi kesemua lori yang mengangkut para pekerja di bahagian belakang kenderaan tersebut. Mereka mestilah diberikan taklimat tentang peranan mereka dan mereka juga seharusnya memastikan pemandu sesuai untuk memandu dan kekal berwaspada semasa memandu.
Langkah-langkah yang sudah dikemas kini itu dijangka akan dikuatkuasakan menjelang 1 Januari 2023. Ia bagi mempertingkatkan keselamatan pengangkutan para pekerja.
Demikian diumumkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Polis Trafik (TP) pada Rabu (19 Okt).
MOM juga akan mengeluarkan makluman mengenai Pengangkutan Yang Selamat Untuk Pekerja yang akan merangkumi saranan-saranan mengenai bagaimana majikan, pemandu, 'kelindan' dan penumpang lori boleh memainkan peranan masing-masing.
"Keselamatan pekerja adalah keutamaan nombor satu dan adalah perlu untuk menetapkan langkah-langkah yang praktikal dan berkesan dan boleh dilaksanakan dengan tegar dan meluas," ujar Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Amy Khor.
PELINDUNG HUJAN BAGI LORI
Bagi mempertingkatkan lagi kebajikan para pekerja, LTA akan mewajibkan kesemua lori yang digunakan untuk mengangkut para pekerja dilengkapi dengan pelindung hujan.
"Pelindung hujan ini, yang biasanya adalah kain terpal, mesti dipasang pada kanopi semua bahagian yang tidak tertutup di bahagian belakang lori, termasuk celah-celah yang terbuka, bagi melindungi para pekerja daripada cuaca buruk," menurut agensi-agensi tersebut dalam satu kenyataan media bersama.
Bukan itu sahaja, sekurang-kurangnya satu bahagian kanopi itu juga mesti dipasang dengan pelindung hujan yang lut sinar untuk "menyediakan persekitaran yang cukup terang" bagi para pekerja yang berada di bahagian belakang lori.
Bagi memberikan masa untuk syarikat-syarikat membuat penyesuaian, peraturan dan syarat-syarat bagi pelindung hujan itu akan dilaksanakan melalui tiga fasa:
- Lori baru daftar mulai 1 Januari 2023
- Lori muatan ringan (berat muatan maksimum tidak melebihi 3,500 kilogram, mulai 1 Julai 2023
- Lori muatan berat (berat muatan maksimum tidak melebihi 3,500 kilogram, dari 1 Januari 2024
Dr Khor juga menarik perhatian kepada pemasangan tali pinggang keledar di bahagian belakang lori, yang mana pemasangan tali pinggang keledar "yang boleh menjejaskan integriti struktur dan kestabilan lori" dan boleh menimbulkan bahaya kepada keselamatan pemandu dan penumpang.
PENGHAD KELAJUAN LORI DIPERLUKAN
Polis Trafik juga akan mewajibkan semua lori dengan berat muatan maksimum (MLW) melebihi 3,500 kilogram dilengkapi dengan penghad kelajuan.
Penghad kelajuan sudahpun diwajibkan bagi semua kenderaan muatan dengan MLW melebihi 12,000kilogram dan alat amaran kelajuan diperlukan bagi semua kenderaan muatan dengan MLW tidak melebihi 3,500 kilogram.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.