Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

#MesraBergongxi bawa keceriaan kepada penduduk East Coast, eratkan hubungan antara kaum

Anggaran Waktu Membaca:
#MesraBergongxi bawa keceriaan kepada penduduk East Coast, eratkan hubungan antara kaum

(Gambar: Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA)

SINGAPURA: Musim perayaan boleh jadi satu peluang untuk masyarakat berbilang kaum di negara ini mendalamkan lagi kefahaman tentang budaya dan agama satu sama lain.

Demikian cuba dilakukan menerusi satu usaha sempena Tahun Baru Cina oleh Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC East Coast yang dipanggil "Festive Joy CNY" di bawah inisiatif #MesraBergongxi pada Ahad (29 Jan).

Acara tersebut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan sediakan peluang berinteraksi yang bermakna dengan pelbagai persatuan berbilang kaum dan pada masa yang sama, menyemarakkan lagi perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.

Antara persatuan dan pertubuhan yang dijemput untuk hadir pada acara itu adalah Persatuan Pekerja Hijrahan, Pertubuhan Melayu-Islam, Pertubuhan bangsa India dan 50 penerima bantuan dari kawasan GRC East Coast.

Para peserta juga berpeluang mempelajari adat dan tradisi budaya Cina daripada wakil dari Persekutuan Persatuan-persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA).
(Gambar: Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA)
Acara tersebut turut dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman yang juga merupakan Penasihat Akar Umbi Pertubuhan Akar Umbi (GRO) East Coast dan Penasihat PA MESRA.

"Saya rasa hari ini kita lihat bagaimana PA MESRA boleh menjadi pemangkin di mana kita membawa semua para penduduk kita tak kira latar belakang mereka sama ada mereka daripada kaum Cina, kaum India, kaum Serani dan sebagainya untuk sama-sama merayakan Hari Raya Cina kita pada tahun ini," kata Dr Maliki yang juga menyandang jawatan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.

"Di Singapura kita berbilang kaum di mana kita sering memberi peluang kepada semua untuk merayakan perayaan-perayaan masing-masing. Kita juga memberi peluang untuk meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap perayaan tersebut. Saya harap lebih banyak lagi perayaan seperti ini yang dapat dilakukan supaya kita dapat terus mengeratkan lagi silaturahim di antara kaum-kaum di Singapura," tambah beliau.
(Gambar: PA MESRA)
Peserta dan ahli sukarelawan PA MESRA juga berbesar hati kerana dapat menimba ilmu mengenai budaya dan adat kaum Cina di acara tersebut.

"Saya ada mempelajari tradisi dan budaya mereka dan bagaimana mereka merayakan Tahun Baru Cina. Dari segi makanan pun saya sebenarnya tidak tahu pucuk bawang putih membawa tuah dan kami tidak boleh meminta hutang pada perayaan itu," ujar salah seorang peserta, Cik Norami Aliza.

Di samping itu, peserta dan sukarelawan juga mengagihkan pek habuan Tahun Baru Cina yang mengandungi kuih, limau dan baucar membeli-belah kepada 50 golongan berpendapatan rendah di kawasan GRC East Coast.
(Gambar: PA MESRA)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan