Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MESRA lancar '60 for 60: Menghubungkan Generasi, Merangka Masa Depan', pupuk kepimpinan belia Melayu/Islam

Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) telah melancarkan program '60 untuk 60: Menghubungkan Generasi, Merangka Masa Depan" sebuah inisiatif yang mencerminkan semangat sambutan SG60.
 

Anggaran Waktu Membaca:
MESRA lancar '60 for 60: Menghubungkan Generasi, Merangka Masa Depan', pupuk kepimpinan belia Melayu/Islam

(Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) telah melancarkan program '60 untuk 60: Menghubungkan Generasi, Merangka Masa Depan" sebuah inisiatif yang mencerminkan semangat sambutan SG60.

Demikian diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman dalam ucapannya di acara MESRA Lebaran 2025 di M Hotel pada Khamis (17 Apr).

Di bawah pimpinan Persatuan Rakyat (PA) MESRA, program tersebut akan mengenal pasti 60 pelajar Melayu/Islam berpotensi dari 60 sekolah menengah kawasan kejiranan, dengan menawarkan peluang yang melangkaui konsep bimbingan tradisional.

"Intipati program ini terletak pada hubungan antara generasi. Kami menghimpunkan 60 karyawan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan gemilang Singapura sepanjang enam dekad, bersama pelajar-pelajar menengah dari kawasan kejiranan yang berpotensi dan mewakili masa depan negara.

"Individu-individu ini, dengan pengalaman luas dan kepakaran yang pelbagai, akan membentuk persekitaran pembelajaran yang memperkayakan, serta meraikan pelbagai bentuk kecemerlangan – sama ada dalam pencapaian akademik, bakat seni, atau potensi kepimpinan," jelas Dr Maliki.

Dari Mei hingga Ogos 2025, 60 pelajar Melayu/Islam akan menyertai program pembangunan komuniti yang menyeluruh.

Menerusi enam sesi latihan dan lawatan pembelajaran, para peserta akan dibimbing untuk membangunkan kemahiran praktikal dalam kepimpinan komuniti dan pengurusan projek.

Sebanyak 10 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) terpilih akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar-pelajar tersebut.

Pendekatan berasaskan pengalaman itu akan memperkasakan pelajar untuk merancang dan melaksanakan projek akar umbi mereka sendiri, yang diharap dapat memberi impak bermakna kepada masyarakat setempat.

Selain memperkukuh potensi individu, inisiatif ini juga dijangka mengeratkan hubungan antara sekolah dan organisasi komuniti.

"Saya mengajak anggota masyarakat Melayu/Islam untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan bermakna ini. Sama ada melalui perkongsian kepakaran, sukarelawan masa, atau menyumbang sumber, setiap bentuk sokongan memberi perbezaan. Penyertaan anda bukan sahaja akan memperkaya program-program ini, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memupuk dan memperkasa belia kita untuk menjadi pemimpin komuniti yang yakin dan berdaya saing pada masa hadapan," tambah Dr Maliki lagi.

SAMBUTAN SG60

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 Singapura, inisiatif-inisiatif yang digerakkan oleh PA MESRA dan MAEC dilihat benar-benar mencerminkan semangat SG60.

"Nilai Prihatin, Perpaduan dan Sumbangan bukan sekadar kata-kata. Ia adalah prinsip yang membimbing tindakan kami dan membentuk impak kami," kata Dr Maliki.

Salah satu contoh kukuh semangat ini adalah melalui respons pantas dan empati masyarakat terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, menerusi inisiatif ‘M³ in SG60 Action: Connecting, Collaborating and Caring – Aid for Gaza’

Dr Maliki memuji usaha luar biasa yang digerakkan oleh M³@Bandar dan MAEC dalam mengumpul dana bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dr Maliki memberi tanda penghargaan kepada anggota majlis MESRA. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Sebagai sebahagian daripada sambutan SG60, Kumpulan Penglibatan Persatuan Rakyat turut memperkenalkan Geran Penglibatan SG60 PA.

"Melalui geran ini, setiap MAEC layak menerima sehingga S$3,000 bagi projek yang selaras dengan tema SG60 – Prihatin, Hubung dan Sumbang. Saya gembira melihat sambutan yang penuh semangat daripada MAEC kita.

Dalam tempoh hanya dua bulan, 50 peratus MAEC telah memohon geran ini, dengan program yang dicadangkan dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk. Saya menggalakkan MAEC untuk terus memanfaatkannya bagi membangunkan program-program inovatif yang mengukuhkan ikatan masyarakat dan memberi impak berkekalan," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan