MESRA akan anjurkan Sesi Bina Rangkaian; bincang amalan terbaik, tangani keprihatinan relawan
SINGAPURA: Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) akan mengadakan beberapa siri Sesi Bina Rangkaian yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan sinergi dalam kalangan pemimpin akar umbi Melayu/Islam.
Inisiatif itu dimulakan dengan sesi untuk MAEC Daerah Timur Laut pada 30 Jun, diikuti oleh MAEC Daerah Tenggara pada 14 Julai.
Demikian diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman dalam ucapannya di acara MESRA Lebaran 2024 di Anjung, Wisma Geylang Serai pada Ahad (5 Mei).
Ia akan mengumpulkan lebih 200 Pemimpin Akar Umbi (GRL) untuk memanfaatkan kebijaksanaan dan sumber kolektif mereka untuk kebaikan yang lebih besar dalam mencapai misi, visi dan matlamat untuk MAEC.
Dengan mewujudkan platform untuk dialog dan pertukaran, MESRA berharap dapat memupuk rangkaian yang teguh dalam kalangan GRL, memudahkan perkongsian amalan terbaik, menangani kebimbangan para sukarelawan dan mengekalkan pemimpin Melayu/Islam.
Menurut Dr Maliki, dalam setengah dekad yang lalu, PA MESRA telah melalui transformasi, mengembangkan fungsi terasnya untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat Melayu melangkaui penggalakan budaya.
Daripada peranan tradisionalnya untuk menyelaras, menyokong dan membimbing MAEC, MESRA kini memainkan peranan utama untuk memupuk semangat warganegara yang aktif dalam masyarakat Melayu di bawah visi Masyarakat Muslim Gemilang.
Sepanjang lima tahun lalu, MESRA telah menganjurkan lebih daripada 190 program yang memanfaatkan lebih 610,000 penduduk.
Ia merangkumi pelbagai bidang, termasuk kesihatan, celik digital, pendidikan dan khidmat masyarakat.
"Kita akur bahawa cabaran yang kita hadapi hari ini begitu meluas jadi kita harus menyebarkan sayap untuk mendekati lebih ramai daripada mereka yang berpotensi untuk menyumbang kepada masyarakat. Di sini, salah satu tujuan MESRA ialah untuk mendekati para sukarelawan MAEC di peringkat daerah," kata Dr Maliki, yang juga Penasihat untuk M³ dan PA MESRA.
"Kita akan mengadakan sesi-sesi perbincangan di peringkat daerah bersama dengan para sukarelawan MAEC kita untuk mengenal pasti apakah cabaran mereka untuk membantu mereka dan memberi sokongan kepada mereka supaya mereka dapat terus memainkan peranan lebih aktif dalam masyarakat," tambahnya.
PORTAL SUMBER ONLINE BAHARU AKAN DILANCARKAN TAHUN INI; SOKONG MAEC
Sehubungan itu, MESRA juga akan memanfaatkan sumber-sumber digital untuk lebih menyokong MAEC melalui satu Portal Sumber online baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Dr Maliki akui akan cabaran yang dihadapi para relawan dalam mengakses sumber-sumber terutama sekali dana bagi program-program masyarakat.
Portal baharu itu akan memudahkan proses, menyediakan sokongan menyeluruh serta meningkatkan kesedaran tentang sumber komuniti dan peluang kerjasama dalam satu platform.
"Di portal ini, mereka dapat melihat apakah sumber-sumber sedia ada, misalnya sumber bagaimana untuk mendapatkan dana untuk mengadakan kegiatan-kegiatan bagi masyarakat. Kedua ialah sumber dari segi kepakaran dan juga rakan-rakan yang mereka boleh bekerjasama untuk melakarkan program-program baharu. Dengan arah tuju baru ini, kita harap para pergiat MAEC dan sukarelawan kita akan berasa lebih berupaya untuk menjalankan tugas mereka dan terus menyumbang kepada masyarakat," ujar Dr Maliki kepada BERITA Mediacorp.
PEMBAHARUAN KEPIMPINAN UNTUK SUKARELAWAN
Dr Maliki turut menekankan betapa pentingnya untuk terus menggalakkan penyertaan masyarakat Melayu/Islam dalam kerja-kerja sukarelawan dan kepimpinan masyarakat.
Menurutnya, keupayaan MAEC perlu dipertingkatkan dengan merekrut sukarelawan baharu secara strategik.
Untuk mencapai ini, beliau menggariskan beberapa strategi.
"Pertama, dengan bekerjasama dengan Rangkaian Penduduk (RN) dan Pertubuhan Akar Umbi (GRO) untuk mengenal pasti dan melantik anggota-anggota yang sesuai kepada MAEC. Kedua, MAEC kita juga boleh memanfaatkan M³ Bandar dan rangkaian-rangkaian Profesional M³ untuk mengenal pasti para individu yang berpotensi tinggi untuk mengambil peranan kepimpinan dalam MAEC," kata Dr Maliki.
Menurutnya, sejak M³ dimulakan lima tahun lalu, 850 profesional karyawan sudah melangkah ke hadapan dengan melibatkan diri dalam pelbagai program yang dijalankan.
Strategi ketiga, adalah untuk mempelbagaikan pengalaman para relawan dengan menyediakan lebih banyak peluang "ad hoc" untuk golongan belia.
Ini boleh dilakukan menerusi kerjasama dengan kumpulan-kumpulan belia atau belia daripada Institut Pengajian Tinggi (IHL) untuk sama-sama melakarkan program yang menepati kekuatan dan minat golongan itu..
"MAEC kita juga boleh mempertingkatkan lagi platform pengambilan yang sedia ada untuk relawan dengan melengkapi diri mereka dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan dan memanfaatkan pemasaran yang disasarkan kepada belia dalam platform media sosial yang dilanggani belia," tambahnya.
RAIKAN SUMBANGAN DAN DEDIKASI MAEC
Perjumpaan Hari Raya semalam turut meraikan sumbangan dan dedikasi para relawan MAEC.
Antara yang diraikan termasuk Naib Pengerusi PA MESRA, Erisham Abdul Rashid.
"Penyertaan saya dalam MESRA merupakan sambungan semula jadi daripada kerja-kerja sukarelawan ataupun kemasyarakatan yang telah pun saya lakukan di kawasan kejiranan saya. MESRA juga turut memberikan saya kesempatan untuk menjalinkan hubungan dengan ramai lagi para sukarelawan dan badan-badan sukarelawan sambil belajar amalan terbaik dalam mendekati sambil membantu keluarga-keluarga yang memerlukan," kongsi Encik Erisham, 47 tahun, kepada BERITA Mediacorp.
"Salah satu peranan anggota MESRA ialah untuk membantu anggota MAEC kami di serata Singapura dalam usaha mereka untuk menjayakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan akar umbi mereka. Sebagai contoh, MESRA menyokong dan memberi bantuan bagi aktiviti-aktiviti seperti Saham Kesihatan untuk berkongsi tip kesihatan kepada semua lapisan masyarakat dan menyebarkan mesej kesepaduan sosial dalam musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali. Sebagai salah satu tunggak utama M³, MESRA juga turut menyokong dan menjayakan program-program di bawah naungan," tambah beliau.
ANAK MUDA DIHARAP DAPAT TAMPIL KE HADAPAN TERUSKAN USAHA
"MESRA akan terus memperkasakan anggota MAEC kami dengan memadankan mereka dengan badan-badan yang relevan sewaktu mereka merencanakan aktiviti-aktiviti mereka atau dalam usaha pendanaan. Dalam pada itu, dengan rangkaian kerja kami yang luas, MESRA berharap agar lebih ramai sukarelawan termasuk anak-anak muda yang akan tampil ke hadapan untuk menyumbang dan meneruskan usaha usaha kami," ujarnya.
Turut hadir untuk acara itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Rahayu Mahzam, yang juga penasihat kepada PA MESRA Belia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.