Meskipun tidak lagi diwajibkan, kebanyakan jemaah masih lagi memakai pelitup muka di masjid & bawa sejadah sendiri

Gambar: Masjid Maarof
SINGAPURA: Meskipun tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka di dalam masjid mulai hari ini (29 Ogos), kebanyakan jemaah masih lagi mengenakan pelitup.
Di Masjid Maarof misalnya, kebanyakan daripada kira-kira 150 jemaah yang menunaikan solat Zohor secara berjemaah di masjid itu masih lagi mengenakan pelitup.
"Saya perhatikan bahawa 60 peratus jemaah yang datang masih membawa sejadah sendiri. Ramai juga yang masih memakai pelitup, Jadi itu semestinya sudah menjadi satu kebiasaan bagi mereka," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Maarof, Ridwan Alwi.
Selain sudah terbiasa, ada juga yang terus memakainya kerana ke masjid menaiki pengangkutan awam.
"Tadi saya datang naik bas. Dalam bas mesti hendak pakai pelitup. Tidak tanggalkan walaupun sudah ke sini," kata seorang jemaah, Encik Umar Sukandar.
"Saya alu-alukan juga tapi kalau boleh kita hendak pakai pun lagi baik. Untuk keselamatan juga," kata seorang lagi jemaah, Encik Jamal Mahmud.

Selain kekal memakai pelitup, jemaah seperti Cik Rodiah Haji Idris, turut membawa sejadah sendiri.
"Sejadah masih dibawa pasal takut. Jaga juga kebersihan. Sekarang pun virus itu tidak boleh kelihatan. Jadi rasanya lebih suka bawa sendiri," kata Cik Rodiah Haji Idris, 64 tahun.
Masjid yang terletak di Jurong West itu juga mengambil langkah-langkah untuk menjaga kebersihan masjid.
Ini termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang masih dijalankan sebanyak tiga kali sehari mengikut protokol yang ditetapkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
MUIS juga berharap masyarakat akan terus mengamalkan kebersihan diri yang baik meskipun pemakaian pelitup tidak lagi diwajibkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.