Meskipun Hyflux hadapi cabaran, model Kerjasama Awam-Privet tidak boleh ditolak: Masagos
Situasi yang dihadapi sekarang berhubung masalah kewangan firma rawatan air Hyflux tidak bermaksud Singapura patut menolak Model Perkongsian Awam-Swasta sama sekali, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli pada Isnin (1 Apr).

(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Situasi yang dihadapi sekarang berhubung masalah kewangan firma rawatan air Hyflux tidak bermaksud Singapura patut menolak Model Perkongsian Awam-Swasta sama sekali, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli pada Isnin (1 Apr).
Beliau memberi respons di Parlimen kepada soalan yang dikemukakan AP Seah Kian Peng, yang bertanya mengenai kesan cabaran-cabaran Hyflux ke atas bekalan air Singapura, dan sama ada sebarang penilaian semula patut dilaksanakan setelah apa yang berlaku.
Di bawah model PPP, Encik Masagos menjelaskan bahawa Pemerintah bekerjasama dengan sektor privet untuk mereka, membangun dan mengendalikan beberapa loji penyulingan dan NEWater di Singapura. Sekarang, katanya, Singapura mempunyai lima loji NEWater dan tiga loji penyulingan. Daripada itu, tiga loji NEWater dan dua loji penyulingan adalah berdasarkan model PPP.
Encik Masagos menekankan bahawa projek-projek PPP Singapura yang lain dikendalikan dengan baik, dan agensi air negara PUB sudah menyertakan syarat-syarat perlindungan ke dalam kontrak-kontrak PPP untuk memastikan keselamatan air tidak pernah terjejas.
Encik Masagos menambah bahawa model PPP berguna dalam membenarkan Singapura untuk memanfaatkan inovasi dan keberkesanan kos sektor swasta bagi menyediakan khidmat air dengan lebih cekap.
TINDAKAN PUB TIDAK RUGIKAN PELABUR
Encik Masagos menekankan langkah perlindungan sudah ditetapkan dalam Perjanjian Pembelian Air dengan Tuaspring Pte Ltd (TPL), yang memiliki Projek Air dan Tenaga Bersepadu Tuaspring (TIWPP).
Ini merupakan satu daripada dua projek PPP yang melibatkan Hyflux. Satu lagi projek - Loji Penyulingan SingSpring - dimiliki SingSpring Trust. Majoriti saham SingSpring Trust dimiliki Keppel Infrastructure Trust, manakala Hyflux memegang saham minoriti.
Menggariskan latar belakang situasi Hyflux, Encik Masagos berkata bahawa pada 2010, agensi air kebangsaan PUB membuka tender terbuka bagi loji penyulingan yang menghasilkan 70 juta gelen air sehari yang dijangka siap menjelang 2013. Dalam bidaannya, Hyflux menyarankan model perniagaan berbeza - yang menggabungkan loji penyulingan dan penjana kuasa dan membuat keputusan perniagaan untuk membina penjana kuasa yang berkapasiti jauh melebihi keperluan loji penyulingan itu dengan tujuan menjual tenaga berlebihan kepada grid tenaga negara.
Bidaan Hyflux memenuhi syarat PUB bagi pembinaan dan operasi loji penyulingan dan merupakan yang paling berdaya saing. PUB juga mengambil kira kemahiran dan rekod baik Hyflux, lantas menawarkan tender itu kepada PUB pada 2011.
Namun menurut Encik Masagos, TPL menghadapi masalah memenuhi kewajipan kontrak sejak 2017, termasuk kegagalan untuk memastikan loji tersebut beroperasi seperti yang diperlukan.
Ia juga gagal menunjukkan bukti kewangan bagi menunjukkan keupayaannya memastikan loji tersebut boleh kekal beroperasi bagi enam bulan mendatang, menteri itu menerangkan lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.