Meski mencabar, MOT mahu pastikan rangkaian MRT kekal diyakini
Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata memastikan keandalan rangkaian MRT Singapura menjadi cabaran utama sedang ia terus berkembang dan menua.
Dalam adenda kepada ucapan Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa pembukaan Parlimen ke-15, Encik Siow menekankan, pemerintah akan bekerjasama dengan pengendali MRT dan para pekerja untuk melabur dalam sistem dan latihan yang lebih baik.
Langkah itu adalah untuk meningkatkan pemantauan, penyenggaraan dan pembaharuan aset.
Semasa menggariskan keutamaan Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Siow berkata rangkaian MRT akan terus berkembang dengan adanya rancangan untuk melengkapkan Laluan Circle, melanjutkan Laluan Downtown dan Thomson-East Coast serta membuka Laluan Daerah Jurong.
Hampir S$1 bilion juga akan dilaburkan untuk meningkatkan akses bas bagi penduduk di bandar HDB yang jauh dari pusat bandar.
Dengan dorongan terhadap kenderaan autonomi, lebih banyak pekerjaan seperti pengendali keselamatan, pembangun sofwe dan pereka radar akan dicipta.
Dalam bidang penerbangan pula, kecerdasan buatan (AI) akan digunakan untuk mengoptimumkan operasi di Terminal 5 Changi yang bakal dibuka.
AI juga akan menyokong operasi 24 jam di Pelabuhan Tuas sedang ia bersiap sedia untuk meningkatkan kapasiti pengendalian.
Ini sedang Singapura terus berusaha meletakkan diri sebagai sebuah hab penerbangan dan maritim yang mampan dan bertaraf global.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.