Skip to main content

Singapura

Meski majlis persandingan terpaksa ditunda, pasangan ini teruskan hasrat bernikah ikut garis pandu pemerintah

Bayangkan, $35,000 sudah dibelanjakan oleh pasangan ini untuk majlis persandingan mereka yang sepatutnya berlangsung hari ini (29 Mac). Malah, 1,200 tetamu juga sudahpun dijemput.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Mar 2020 12:19PM Dikemas Kini : 29 Mar 2020 09:27PM

BERITAmediacorp: Bayangkan, $35,000 sudah dibelanjakan oleh pasangan ini untuk majlis persandingan mereka yang sepatutnya berlangsung hari ini (29 Mac). Malah, 1,200 tetamu juga sudahpun dijemput.

Tiba-tiba muncul arahan bahawa majlis itu tidak boleh melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan kemudian arahan lebih ketat dikuatkuasakan, dengan jumlahnya dihadkan kepada tidak lebih 10 orang sahaja.

Akibatnya, majlis persandingan mereka terpaksa dibatalkan.

Inilah yang dialami Cik Nur Deeqa Natasha Rahadi dan Encik Abdul Aziz Ayob yang dijadual bersanding hari ini (29 Mac) selepas setahun bertunang.

Related article image
Pasangan suami isteri Cik Nur Deeqa Natasha Rahadi dan Encik Abdul Aziz Ayob. 

Malah hari ini juga bagi menyambut dua hari istimewa serentak - majlis perkahwinannya dan hari lahir Cik Deeqa bagi menambah lagi keceriaan.

Bagaimanapun niat mereka untuk menjadi raja sehari dengan meriah bersama saudara-mara dan sahabat handai terputus di tengah jalan.

Ini apabila pemerintah mengumumkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang lebih ketat minggu ini.

Related article image

Cik Deeqa berkongsi: "Sejak pengumuman had 250 orang itu, kami rasa amat sedih tapi kami fikir masih ada harapan untuk kami jalankan majlis kahwin.

"Tiba-tiba minggu ini kami dapat berita tentang had 10 orang itu, kami rasa macam tak ada harapan lagi nak buat majlis bawah blok."

Akibatnya, majlis perkahwinan gabungan keluarga pihak pengantin perempuan dan lelaki dengan jemputan 1,200 tetamu - terpaksa ditangguhkan.

Rancangan mereka berbulan madu ke Thailand juga terpaksa dibatalkan.

MUJUR WANG TIDAK 'HANGUS'

Mujur, bayaran yang sudah dibuat bagi katering, dekorasi dan baju pengantin berjumlah lebih S$35,000 tidak 'hangus' begitu sahaja, selepas setiap pengendali bertolak ansur dan membolehkan nilai khidmat itu digunakan pada masa hadapan.

Encik Aziz turut meluahkan rasa syukurnya: "Dari mula memang rasa sedih sangat, tapi dengan berita yang kita dapat tahu, bukan kita sahaja yang terjejas, orang lain juga terjejas, dan lagi teruk daripada kita.

Related article image

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Contohnya, sehari selepas pengumuman itu, mereka sepatutnya adakan nikah dan majlis, tiba-tiba Majlis Bandaran dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) suruh mereka turunkan pelamin semua. Mungkin itu satu hikmah untuk kami, supaya ada masa lagi merancang dan untuk selamatkan."

Sungguhpun demikian, pasangan ini tetap bernikah hari ini demi memenuhi impian bernikah pada hari lahir Cik Deeqa, tetapi dengan majlis yang sangat kecil.

Related article image

(Ihsan: Pihak Nur Deeqa Natasha)

Hari bersejarah ini turut mereka rakamkan secara langsung di Instagram bagi tatapan saudara-mara dan sahabat handai.

Related article image

(Ihsan: Pihak Nur Deeqa Natasha)

"Kalau wabak ini dah baik, dan mudah-mudahan membenarkan, insya Allah kami akan membuat persiapan untuk masa akan datang," ujar Encik Aziz. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita