Meski dimamah usia, relawan warga senja ini sanggup papah jiran uzur ke pusat vaksinasi
Beliau sendiri dimamah usia tetapi ia tidak menghalang Encik Osman, 69 tahun, daripada menyingsing lengan, malah lebih dari itu, untuk membantu rakan sebayanya melakukan perjalanan ke pusat vaksinasi COVID-19.
Encik Osman (kiri) menolak kerusi roda Encik Hamza menaiki bas awam untuk ke pusat vaksinasi. (Gambar-gambar: Persatuan Rakyat/Facebook)
SINGAPURA: Beliau sendiri dimamah usia tetapi ia tidak menghalang Encik Osman, 69 tahun, daripada menyingsing lengan, malah lebih dari itu, untuk membantu rakan sebayanya melakukan perjalanan ke pusat vaksinasi COVID-19.
Encik Osman, seorang sukarelawan Jawatankuasa Penduduk (RC) Marine Terrace Breeze, tampil untuk menghulurkan bantuan apabila RC dimaklumkan tentang kesulitan yang dihadapi Encik Hamza, 76 tahun, menurut catatan Facebook Persatuan Rakyat (PA).
Encik Hamza sangat berterima kasih kepada Encik Osman, yang sudah menetap di Marine Parade selama 20 tahun, kerana sudi menemani dan membawanya hingga ke pusat vaksinasi.
Selepas Encik Hamza mengalami keuzuran lapan bulan lalu dan kehilangan pekerjaan sebagai penolong kedai kopi, Encik Hamza bergantung kepada tiub untuk membuang air dan tidak lagi berupaya berjalan jauh.
Mujur insan seperti Encik Osman merelakan diri untuk menolak kerusi roda Encik Hamza menaiki bas awam. Tentu sekali usaha Encik Osman itu benar-benar menguji daya tahannya yang sudahpun mencapai usia senja.
Bahkan, ketika salah satu roda kerusi roda itu tertanggal semasa dalam perjalanan ke pusat vaksinasi, Encik Osman tetap cekal hati demi memastikan rakannya itu selamat tiba di pusat vaksinasi.
Meskipun tiada pertalian darah antara kedua-dua lelaki itu, Encik Osman sentiasa prihatin terhadap keadaan Encik Hamza.
"Saya bimbang jika tiada seorang pun yang tahu akan keadaannya. Encik Hamza mempunyai nombor telefon saya dan saya berharap beliau akan ingat untuk menelefon saya jika berlaku kecemasan," kata Encik Osman.
Dengan sikap pedulinya itu, Encik Osman juga adalah seorang ketua keluarga yang amat menyayangi keluarganya.
Menurut Encik Osman, beliau mempunyai seorang cucu perempuan berusia 22 tahun, yang didiagnosis menghidap barah otak dan sedang dirawat di hospital.
Bagi menambah mata pencarian keluarga, baru-baru ini Encik Osman kembali bekerja selepas lima tahun.
Sungguhpun demikian, Encik Osman masih meluangkan masa sebagai seorang sukarelawan RC dan wakil blok.
Beliau reda dengan keadaannya dan berkongsi bahawa beliau akan terus menyumbang tenaga selagi ada kelapangan masa.
"Saya suka bersahabat. Saya berasa gembira kerana dapat membantu jiran tetangga," ujar Encik Osman.
Buat masa ini, Encik Osman turut membantu mengagihkan makanan dan menyokong inisiatif-inisiatif peringkat nasional termasuk usaha pendampingan bagi vaksinasi COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.