Skip to main content

Singapura

Mesin pengisi picagari di beberapa pusat vaksinasi COVID-19, ringankan tugas petugas kesihatan

Sebuah mesin automatik pengekstrak vaksin diletakkan di beberapa pusat vaksinasi COVID-19, menggantikan kaedah manual untuk mengisi picagari dengan cecair dos vaksin.

Anggaran Waktu Membaca:
Mesin pengisi picagari di beberapa pusat vaksinasi COVID-19, ringankan tugas petugas kesihatan

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 30 Sep 2021 04:15PM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 04:16PM

SINGAPURA: Sebuah mesin automatik pengekstrak vaksin diletakkan di beberapa pusat vaksinasi COVID-19, menggantikan kaedah manual untuk mengisi picagari dengan cecair dos vaksin.

Ia direka untuk meringankan tugas penyedia jagaan kesihatan dan meningkatkan ketepatan dan daya pengeluaran, menurut Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) dalam satu kenyataan media hari ini (30 Sep).

Mesin-mesin itu diletakkan di tujuh pusat vaksinasi, termasuk Kelab Masyarakat Senja-Cashew dan Kelab Masyarakat Bishan.

Walaupun ia kini hanya digunakan bagi vaksin Pfizer-BioNTech, setting mesin itu boleh disesuaikan bagi dos-dos Moderna atau vaksin-vaksin lain yang menggunakan faktor bentuk dan proses pengekstrakan serupa.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI

Mesin itu yang bernama 'Automated Vaccine Inoculation Dispenser (AVID)', menggunakan gabungan bahagian robot, sensor bijak dan teknologi digital, menurut A*STAR.

Para pengkaji daripada Pusat Teknologi dan Pengilangan Semula A*STAR dan Institut Teknologi Pengilangan Singapura (SIMTech), menciptanya dengan kerjasama penyepadu sistem tempatan Sysmatic Global.

Sebelum menggunakan mesin itu, para pekerja jagaan kesihatan akan mencairkan vaksin Pfizer-BioNTech dan melarutkannya dalam bebuli.

Lazimnya, para pentadbir vaksin akan mengeluarkan dos vaksin daripada bebuli menggunakan picagari, dengan setiap bebuli mengandungi enam dos vaksin setelah ia dilarutkan. Mereka juga akan menghilangkan buih dalam picagari itu.

Langkah-langkah tersebut boleh mengambil masa sehingga 20 hingga 30 saat bagi setiap individu yang akan divaksin, menurut pengurus jururawat Thomson Medical Nellie Tan, kepada Mediacorp semasa sesi demonstrasi di pusat vaksinasi Senja-Cashew.

Namun mesin itu mengubah proses tersebut menjadi automatik. Ia juga membuka dan memasang semula penutup picagari setelah vaksin dipindahkan daripada bebuli ke dalam picagari.

"Mudah untuk digunakan hanya dengan menekan beberapa butang, hanya memerlukan latihan asas tanpa sebarang kelayakan khas diperlukan," menurut A*STAR.

Selain daripada meringankan tugas para pekerja jagaan kesihatan, mesin itu membolehkan mereka memberi tumpuan kepada interaksi dan berbualpbual dengan individu yang akan mendapatkan vaksin, menurut A*STAR.

Ia juga mengurangkan risiko berlaku silang pencemaran dan pembaziran vaksin serta meningkatkan keselamatan bagi para pekerja jagaan kesihatan yang tidak perlu memegang picagari tajam semasa proses mengekstrak vaksin, menurut agensi itu.

"Dengan saiz yang kecil dan berat kurang daripada 25 kilogram, ini bermakna mesin itu boleh diletakkan di mana-mana pusat vaksinasi," menurut A*STAR.

Mengulas tentang bagaimana vaksin itu membantunya dalam menjalankan tugas, Cik Tan berkata ia "menghapuskan beberapa proses yang melibatkan manusia".

"Sebagai seorang jururawat, kami hanya perlu melakukan tugas menjaga pesakit," katanya. Ini termasuk menjelaskan tujuan vaksin kepada mereka yang menerima vaksin dan memaklumkan kepada mereka tentang kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Beliau menganggarkan dengan adanya mesin itu, beliau boleh berjumpa dua kali ganda lebih banyak pesakit dalam sehari.

Dalam catatan Facebook hari ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata beliau melihat pada awal tahun ini bagaimana para jururawat secara manual mengeluarkan 0.3 mililiter vaksin ke dalam setiap picagari, sambil menyifatkannya sebagai "langkah intensif" yang memerlukan "kemahiran tinggi dan ketelitian".

Beliau kemudian "mencabar" pasukan A*STAR dalam satu lawatan agar mencipta satu huraian bagi meringankan tugas pasukan vaksinasi.

"Kurang dua bulan sejak lawatan saya itu, pasukan A*STAR menghasilkan sistem AVID," kata Encik Heng.

"Ini merupakan salah satu daripada pelbagai cara, yang mana inovasi dalam sains dan teknologi menyumbang kepada perjuangan Singapura dalam menentang COVID-19 dan mengatasi cabaran yang dihadapi."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita