Skip to main content

Singapura

Mesin layan diri Food Bank dilancar di Choa Chu Kang bagi penduduk memerlukan

Mesin layan diri bank makanan yang diisi dengan barang-barang seperti makanan dalam tin dan hidangan bento dilancarkan di Choa Chu Kang untuk para penduduk yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mesin layan diri Food Bank dilancar di Choa Chu Kang bagi penduduk memerlukan

Pelancaran mesin layan diri bank makanan di Choa Chu Kang (Gambar: CDC Barat Daya)

Diterbitkan : 18 Dec 2020 12:59PM Dikemas Kini : 18 Dec 2020 01:02PM

SINGAPURA: Mesin layan diri bank makanan yang diisi dengan barang-barang seperti makanan dalam tin dan hidangan bento dilancarkan di Choa Chu Kang untuk para penduduk yang memerlukan.

Kredit makanan yang kesemuanya bernilai S$10,000 akan diagihkan setiap bulan kepada 200 penduduk, yang akan diberikan kad untuk menggunakan mesin-mesin layan diri itu, menurut Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Barat Daya dalam kenyataan medianya pada Jumaat (18 Dis).

Ditempatkan di Blok 813A, Choa Chu Kang Avenue 7, matlamat daya usaha itu adalah untuk membantu "meringankan kesulitan yang dihadapi oleh para penduduk yang kurang bernasib baik dengan menyediakan makanan percuma" dan membolehkan "warga emas yang mengalami masalah mobiliti mendapatkan akses makanan dan makanan panas dengan cara yang lebih menyenangkan", menurut kenyataan itu.

"Setiap bulan, 200 penduduk yang kurang bernasib baik akan diberikan kad yang mengandungi kredit S$50 yang boleh digunakan untuk menerima barang makanan kering seperti makanan dalam tin dan beras dan hidangan bento yang boleh dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro yang disediakan," jelas CDC Barat Daya.

Mesin-mesin layan diri bank makanan dilancarkan pada 12 Disember oleh Cik Low Yen Ling, Datuk Bandar CDC Barat Daya, bersama dengan Encik Don Wee,Penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Chua Chua Kang (Brickland).

Inisiatif tersebut akan dijalankan sehingga 31 Disember 2021.

Program tersebut disokong oleh The Food Bank Singapore, Pusat Khidmat Keluarga Fei Yue @ Chua Chu Kang, Mendaki @ Choa Chu Kang, RC Keat Hong Axis Colors, Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Brickland dan Dana Pembangunan & Kesejahteraan Masyarakat.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita