Skip to main content

Singapura

Mesin layan diri di Serangoon ini jual ubat-ubatan tanpa preskripsi

Mesin-mesin layan diri yang diletakkan di kolong blok flat HDB bukan sesuatu yang baru.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mesin-mesin layan diri yang diletakkan di kolong blok flat HDB bukan sesuatu yang baru.

Namun, mesin layan diri di Blok 536 Serangoon North Avenue 4 pula boleh dianggap lain daripada yang lain.

Jika lazimnya mesin sedemikian menjual minuman atau makanan ringan, berbeza pula dengan mesin layan diri tersebut.

Ini kerana ia menjual ubat-ubatan seperti paracetamol dan krim hidrokortison serta barangan pertolongan kecemasan atau first-aid.

Diletakkan pada Jun tahun lalu, mesin layan diri berkenaan yang dilancarkan oleh syarikat pemaju SmartRx dan Essentials Pharmacy - menjual pelbagai jenis ubat kepada penduduk kawasan itu.

Semasa Mediacorp melakukan tinjauan pada Selasa lalu (9 Mei), hampir 70 jenis produk farmaseutikal tersenarai dalam katalog digital mesin berkenaan, yang mana dua sudah habis terjual, iaitu ubat sakit tekak dan pil melegakan cirit-birit.

Malah, kesemua ubat-ubatan yang dijual itu boleh diperolehi daripada kaunter, yang bermakna ia tidak memerlukan sebarang preskripsi doktor.

Harga ubat-ubatan yang dijual juga setanding dengan kedai-kedai farmasi yang lain seperti Watsons dan Guardian.

Dalam sesetengah kes, produk-produk yang dijual di mesin layan diri itu lebih murah.

Misalnya, harga bagi sekotak pil Panadol Cold Relief dijual pada $10.60.

Harganya lebih murah berbanding Guardian, yang menjualnya pada $11.

Walaupun wartawan Mediacorp tidak melihat sesiapa menggunakan mesin layan diri itu semasa kunjungannya, pengurus besar Essentials Pharmacy Simone Tan berkata syarikat itu menerima purata lima hingga 10 urus niaga setiap hari di mesin tersebut.

Jumlahnya meningkat semasa musim selesema, katanya, sambil menambah bahawa bekalan ubat-ubatan di mesin itu ditambah sekali atau dua kali dalam seminggu.

Selain menjual ubat-ubatan setiap masa, mesin itu juga dilengkapi dengan ciri-ciri berhubung menerusi panggilan telefon bagi para pengguna yang ingin menghubungi pakar farmasi dan mendapatkan maklumat mengenai ubat mana untuk dibeli dan bagaimana menggunakannya dengan betul.

Namun, ciri-ciri itu dihentikan buat sementara waktu disebabkan oleh kekangan tenaga kerja, menurut syarikat itu.

SmartRx, syarikat pembuat mesin itu, memberitahu Mediacorp bahawa ia merancang untuk melancarkan 50 unit menjelang hujung tahuni ni, dengan sesetengah dipasang di tempat-tempat seperti pasar raya, stesen mengisi minyak dan pusat ActiveSG.

Sejauh ini, ia sudah memasang lima mesin layan diri seumpamanya di seluruh Singapura bagi tujuan berbeza.

Misalnya, di ibu pejabat Singapore Chung Hwa Medical Institution di Toa Payoh, mesin layan diri di sana menjual ubat-ubatan tradisional Cina.

Di Pusat Pergigian Kebangsaan Singapura pula, mesin layan diri di sana menjual produk berkaitan pergigian seperti berus gigi, benang gigi dan pencuci mulut.

MENGELAKKAN SALAH GUNA

Menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA), mesin layan diri yang membekalkan ubat-ubatan dalam senarai jualan am - iaitu yang tidak memerlukan sebarang preskripsi mahupun lesen.

Namun, bagi mesin-mesin layan diri yang menjual ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi atau hanya boleh diperolehi menerusi pakar farmasi atau kedai farmasi berlesen, ia tertakluk kepada lesen.

Pengarah pengurusan SmartRx Tong Ping Heng berkata mesin-mesin layan dirinya hanya menjual ubat-ubatan preskripsi setelah para pengguna berjumpa doktor.

Bagi mengelakkan salah guna, sistem SmartRx juga menyimpan maklumat mengenai apa yang diberikan kepada para pengguna dan jenis ubat yang dibeli.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita