Skip to main content

Singapura

Mesin layan diri bijak strategi baharu peniaga makanan perkenal makanan warisan dan perkukuh penjenamaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam usaha meluaskan pasaran dan kekal relevan, para peniaga makanan kini meneroka strategi baharu dengan menawarkan juadah warisan melalui mesin layan diri pintar.

Antara yang terawal melangkah ke arah itu ialah Warong Pak Sapari dan Springleaf Prata Place, yang melihat platform ini bukan sahaja sebagai saluran jualan tambahan, tetapi juga medan pemasaran bagi memperkenalkan identiti makanan tradisional kepada generasi baharu.

KENALKAN MAKANAN WARISAN MENERUSI TEKNOLOGI, BUKAN KEJARKAN PENDAPATAN

Jika sebelum ini, hidangan seperti mee rebus, lontong, nasi lemak atau soto hanya dapat dinikmati di gerai, warung atau restoran, kini makanan itu boleh didapati melalui mesin layan diri pintar.

Langkah berani itu diambil oleh pemilik gerai Warong Pak Sapari, Encik Sumadi Sapari hasil kerjasama dengan syarikat teknologi makanan ChefGenie.
Related article image
Pemilik gerai Warong Pak Sapari, Encik Sumadi Sapari (kiri) bersama Pengurus Pemasaran ChefGenie, Encik Crono Lee (kanan) (Gambar: Petikan Gambar Mediacorp)
Related article image
Kedai Springleaf Prata Place (Gambar: Mediacorp)
Menerusi kerjasama itu, beliau dapat menjual beberapa juadah menarik seperti Nasi Soto Ayam di dalam mesin-mesin ChefGenie.

Bagi Warong Pak Sapari, yang telah lebih lima dekad menjadi sebahagian daripada landskap makanan tempatan, kerjasama itu bukan sekadar soal menambah pendapatan.

"Makanan warisan ini penting bagi saya. Bukan kerana wang, tetapi kerana warisan kita yang mesti dijaga. Bila makanan itu masuk ke mesin layan diri, rasanya tetap sama, keharumannya masih ada. Saya sendiri pun terkejut ia boleh jadi begini. Malah, dengan cara ini kita boleh simpan dan perkenalkan lebih banyak makanan warisan melalui mesin ini."
Related article image
Menu Warong Pak Sapari di mesin ChefGenie (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Kini, Warong Pak Sapari beroperasi menerusi tiga gerai iaitu di Pusat Makanan Adam Road, Lau Pa Sat dan PLQ Mall di Paya Lebar.

Dengan adanya kerjasama dengan ChefGenie, beliau juga dapat memperluaskan lagi jenama gerainya itu kepada lebih ramai pelanggan.

Encik Sumadi mendedahkan bahawa menu kedainya kini terdapat di lebih 10 daripada 120 mesin ChefGenie yang ditempatkan di bangunan-bangunan seperti sekolah dan pejabat di serata negara.

"Mesin ini beri akses yang mudah. Bayangkan orang nak pergi kerja, tetapi musim hujan susah nak keluar. Kalau mesin terletak dekat pejabat atau sepanjang laluan mereka, lebih senang untuk orang ramai dapatkan makanan," jelas Encik Sumadi.

JUALAN BELUM SETANDING GERAI, TETAPI TETAP BERMAKNA, PENJIMATAN KOS OPERASI LEBIH 50 PERATUS

Dari segi jualan, jumlah yang diperoleh melalui mesin layan diri memang tidak setinggi operasi gerai tradisional.

Di gerainya-gerainya Encik Sumadi boleh menjual kira-kira 300 hingga 400 pinggan setiap hari.
Related article image
Bungkusan ChefGenie (Gambar: Nurhelmy Hakim)
"Di mesin-mesin Instachef ini boleh letak sebanyak 100 juadah makanan. Tetapi bukan hanya gerai saya sahaja yang ada di dalam mesin itu, tapi ada makanan dari gerai-gerai yang lain. Jadi, makanan saya, satu hari sekurang-kurangnya boleh menjual 30 pinggan. Kalau seminggu, 200 pinggan. Kalau sebulan, kira-kira 800 pinggan."

Namun bagi pemilik Warong Pak Sapari, angka itu bukan ukuran utama.

“Walaupun jualan di mesin tak seindah macam di gerai, tapi ia bukti yang makanan warisan kita boleh dijual di mesin. Orang tetap suka, orang percaya dengan makanan kita. Itu sudah cukup untuk saya,” jelasnya.

Salah satu kelebihan besar projek itu menurut Encik Sumadi adalah penjimatan kos operasi.

Tanpa perlu membayar sewa premis mahal atau menggaji ramai pekerja, pemilik hanya perlu menanggung kos sewa mesin sekitar S$150 hingga S$250 sebulan serta sedikit kos elektrik.

“Kalau mesin layan diri, kita hanya perlukan tenaga kerja untuk masak di dapur pusat dan hantar ke mesin. Itu saja. Dari segi kos keseluruhan, kita boleh jimat lebih 50 peratus berbanding operasi biasa,” kata Encik Sumadi.

MUTU JUADAH DIJAGA

Penjimatan itu membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada kualiti juadah.

Pengurus Pemasaran ChefGenie, Encik Crono Lee berkata bahawa makanan di dalam mesin layan diri itu juga dipastikan segar setiap hari.
Related article image
Mesin-mesin layan diri di bangunan Mediacorp
Encik Lee berkata: "Setiap hari, makanan akan disediakan terlebih dahulu di dapur pusat sebelum dibungkus dengan rapi. Setelah siap, ia akan dihantar untuk diisi semula ke dalam mesin. Proses pengisian semula ini dilakukan dengan kerap, iaitu setiap tiga hingga empat hari, kerana makanan yang digunakan adalah segar.

"Begitu juga dengan Warong Sapari — mereka menyediakan sendiri hidangan mereka di dapur pusat. Selepas siap dimasak, makanan segar itu dihantar kepada kami, dan pada hari yang sama ia akan dimasukkan ke dalam mesin untuk memastikan kualiti terjamin. Dengan cara ini, mereka tidak perlu mengurus keseluruhan operasi mesin," kata Encik Lee.

Meskipun ia kali pertama meletakkan menu gerainya di dalam mesin layan diri, Encik Sumadi merasakan bahawa rasa juadahnya tetap terjaga.

“Kalau nak bandingkan dengan gerai, perbezaannya tak jauh. Saya kata dalam 95 peratus sama. Kualiti terjaga, keharuman makanan pun ada. Saya sendiri pun pelik pada awalnya, boleh ke jadi begini? Alhamdulillah, ternyata boleh. Bukan kerana wang, tapi kerana warisan makanan ini yang penting,” katanya.

Encik Lee berkata bahawa tidak seperti mesin layan diri tradisional yang memanaskan makanan beku dengan microwave, mesin ChefGenie sebaliknya menggunakan dapur induksi untuk memanaskan hidangan.

Makanan dipanaskan sebaik sahaja pesanan dibuat, sekali gus mengekalkan rasa segar dan mutu juadah.

ChefGenie turut menjenamakan mesin mereka sebagai Dapur Bijak yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI).

Melalui sistem ini, data pesanan pelanggan dianalisis setiap hari. AI akan menentukan menu yang paling digemari, menghantar pesanan ke dapur pusat secara automatik, dan mengurus penggantian makanan tanpa banyak campur tangan manusia.

Hasilnya, pembaziran dapat dikurangkan ke tahap yang lebih rendah daripada purata industri.

SPRINGLEAF PRATA PLACE SATU LAGI PERNIAGAAN YANG BERKOLABORASI DENGAN CHEFGENIE

Setakat ini, ChefGenie berkolaborasi dengan lapan perniagaan tempatan untuk menjual produk-produk mereka di dalam mesin ChefGenie.

Salah satunya adalah Springleaf Prata Place, yang terkenal dengan hidangan kreatif India.
 
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Menerusi mesin-mesin ChefGenie, syarikat itu menjual produk seperti Nasi Biryani Ayam.

Menurut Pengarah syarikat itu, Encik S.V Gunalan, kerjasama itu bukan sahaja menambah pendapatan, bahkan membantu meningkatkan jumlah pelanggan yang datang ke kedai-kedai fizikalnya sebanyak 10 peratus.

Encik Gunalan berkata: "Dari awal, kita hanya jual sekitar 100 kotak sehari, angka kini mencecah 200 hingga 250 kotak sehari. Ini menjadi peluang untuk orang ramai mencuba makanan kami walaupun mereka tidak berada berdekatan (kedai-kedai fizikal). Ia juga sangat baik dari segi pemasaran.”

“Kami mempunyai cawangan hampir di seluruh Singapura, tetapi masih ada orang yang tidak mempunyai masa atau kemampuan untuk datang ke kedai fizikal kami. Jadi ini adalah peluang untuk mereka mencuba produk kami. Mungkin mereka suka, dan dari situ mereka terdorong untuk datang mencuba menu lain pula di kedai fizikal. Itu memang berlaku, dan sebab itulah jualan kami meningkat sedikit.”
Related article image
Ini meskipun beliau merasakan pengalaman makan dari mesin layan diri tidak akan dapat menggantikan sekitaran makan di restoran atau gerai makanan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita