Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mesej WhatsApp tentang keracunan kerang-kerangan di Bedok tidak benar: SFA, MOH

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Khabar angin yang tersebar di WhatsApp mengenai penularan keracunan kerang-kerangan di Bedok tidak benar.

Demikian menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (8 Apr).

"Setakat 8 Apr, 2024, tiada laporan berkaitan penularan keracunan kerang-kerangan di Singapura. Kementerian Kesihatan dan Agensi Makanan Singapura menggesa orang awam agar tidak menghantar atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kesahihannya," jawab pihak berkuasa kepada pertanyaan Mediacorp.

Pada Sabtu (6 Apr), SFA menyatakan ia dimaklumkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) bahawa kupang yang ditemui di perairan Port Dickson dicemari biotoksin dan tidak selamat untuk dimakan.
Pihak berkuasa Singapura menyatakan ia sedang bekerjasama dengan pengimport untuk mengesahkan sumber import kupang, dan menyekat sebarang bekalan serta penjualan kupang dari Port Dickson.

Tidak lama kemudian, mesej WhatsApp mula disebarkan bahawa "Bedok sedang mengalami penularan keracunan kerang-kerangan akibat neurotoksin".

Selain itu, mesej tersebut menyatakan terdapat beberapa pesakit dalam keadaan kritikal di hospital, dan menggesa orang ramai agar tidak makan kerang-kerangan seperti kupang, kepah, kekapis, tiram atau siput belalai gajah.

Selain Malaysia, Singapura mengimport kupang dari negara lain seperti China, Jepun dan Vietnam.

MOH dan SFA menyatakan bahawa keracunan kerang-kerangan boleh tercetus daripada kerang-kerangan yang dicemari bakteria, virus atau toksin dihasilkan mikroorganisma laut.

"Orang ramai boleh melindungi diri mereka dengan tidak mengambil dan memakan kerang-kerangan liar, kerana ia mungkin mengandungi toksin yang tidak boleh dihapuskan ketika dimasak," dedah pihak berkuasa.

"Orang ramai dinasihatkan membeli kerang-kerangan daripada syarikat diluluskan SFA, dan elak memakan kerang-kerangan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya, terutama golongan muda, tua, mereka yang kurang sihat atau hamil."

Mereka yang rasa tidak sihat selepas memakan kerang-kerangan dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan perubatan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan