Merpati Puteh 27 juara GeylangGang Dikir
(Gambar: Wisma Geylang Serai)
SINGAPURA: Kumpulan dikir barat Merpati Puteh 27 berjaya mengalahkan 12 pasukan lain untuk muncul sebagai juara pertandingan dikir barat GeylangGang Dikir.
Dengan tema 'Padam', acara itu diharap dapat menyemarakkan lagi semangat berkarya dalam bahasa Melayu dan memperkukuhkan identiti serta warisan Melayu.
Pertandingan yang diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (8 Sep) itu adalah sebahagian daripada kegiatan yang dijalankan sempena Bulan Bahasa 2023.
Antara kumpulan yang bersaing termasuk Ditu, Panjy, Ching Ching Ching, Si Anak Seni, Merpati Puteh 27, Dwi Durrah, Makyong Kedek, SKBL, Langgam Sukma Sari, Semangat Keris, Andika, Keponakan, Andika Kencana dan Neng Nyno.
Ketua kumpulan Merpati Puteh 27 Encik Muhammad Hakim Jamaludin berkata bahawa mereka tidak menyangka akan menang.
"Alhamdulillah, rezeki kami sekumpulan. Semestinya satu kemenangan yang tidak dijangkakan, memandangkan kebanyakan ahli kumpulan kami terdiri dari golongan belia. Banyak lagi harus dipelajari dan didalami dalam seni ini," kata Encik Muhammad Hakim, 30 tahun.
Merpati Puteh 27 membawa pulang piala dan wang tunai S$3,000.
Gelaran naib juara pula jatuh ke tangan kumpulan Semangat Keris manakala kumpulan Andika Kencana di tempat ketiga.
Encik Kamarul Ismail Zulhairi daripada kumpulan Ditu muncul sebagai Tok Juara Terbaik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.