Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meritokrasi, bebas rasuah tunjang utama pembangunan kepimpinan di S'pura: Chan Chun Sing

Membangunkan pemimpin berkebolehan tinggi yang memegang teguh nilai teras seperti meritokrasi dan tak makan suap merupakan bidang tumpuan utama pembangunan kepimpinan di Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Jumaat (29 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Meritokrasi, bebas rasuah tunjang utama pembangunan kepimpinan di S'pura: Chan Chun Sing

Menteri Chan Chun Sing berucap di forum ke-8 Singapura-China berhubung kepimpinan (Gambar: PSD)

Diterbitkan : 29 Oct 2021 08:55PM Dikemas Kini : 29 Oct 2021 09:02PM

SINGAPURA: Membangunkan pemimpin berkebolehan tinggi yang memegang teguh nilai teras seperti meritokrasi dan tak makan suap merupakan bidang tumpuan utama pembangunan kepimpinan di Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Jumaat (29 Okt).

Berucap di forum Singapura-China ke-8 mengenai kepimpinan, Encik Chan, yang juga Menteri Pendidikan, berkongsi tiga bidang tumpuan bagi pembangunan kepimpinan di Singapura.

Membangunkan pemimpin berkebolehan tinggi berpaksikan nilai teras adalah salah satu daripadanya, katanya.

“Sama seperti rakan sejawat kami di China, kami amat percaya bahawa nilai murni (dan) peranan mereka dalam membentuk tadbir urus adalah sangat penting,” kata Encik Chan dalam ucaptamanya.

"Memilih dan membangunkan bukan sahaja yang paling berkebolehan, tetapi juga individu yang paling komited untuk kepimpinan, kekal menjadi keutamaan kami."

Pengalaman Singapura dalam menguruskan pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa "ia bukan sekadar ketepatan teknikal tindak balas kami", tetapi sama ada rakyat mempercayai Pemerintah untuk "melakukan apa yang perlu untuk melindungi kepentingan awam" walaupun di tengah-tengah ketidakpastian, kata Menteri Pendidikan itu.

“Oleh itu, pemimpin harus berpegang teguh kepada nilai-nilai teras, seperti meritokrasi dan tak makan suap, dan sentiasa mengutamakan kepentingan awam melebihi diri sendiri,” sambungnya.

“Dalam dunia yang tidak menentu, nilai teras menjadi lebih penting, kerana keberkesanan kepimpinan bergantung kepada kepercayaan. Nilai-nilai ini tidak berubah. Inilah nilai yang kami cari apabila memilih pemimpin dan pasukan kepimpinan kami, dan kami terus memupuknya sepanjang perjalanan kepimpinan kami."

Memupuk kerencaman yang lebih meluas dalam "kolektif kepimpinan" Singapura juga diperlukan untuk membina daya tahan, kata Encik Chan.

“Kekuatan bersama pasukan kami lebih penting dalam dunia yang tidak menentu. Kita perlu membangunkan pasukan kepemimpinan yang berdaya tahan dengan gabungan kemahiran, sikap, kecekapan, pengalaman dan rangkaian peribadi yang baik.”

Dalam perkhidmatan awam Singapura, pemimpin terdedah kepada "domain yang berbeza", termasuk dasar, operasi, pengerahan dan perhubungan, katanya.

Selain meletakkan mereka di agensi-agensi Pemerintah yang berbeza secara bergilir, mereka juga terdedah kepada sektor swasta dan awam untuk "menimba pengetahuan dan membangunkan rangkaian", kata Encik Chan.

Beliau menambah bahawa pemimpin perlu bergerak menjangkaui "berkhidmat untuk rakyat kita" kepada "berkhidmat bersama rakyat kita", dan untuk "melakukan lebih banyak dan melakukan lebih baik bersama-sama" sambil mengurus jangkaan yang lebih tinggi.

“Kami berunding dengan orang ramai dan meminta pandangan, membolehkan Pemerintah menjadi lebih responsif kepada keperluan rakyat. Ini juga membolehkan kami memanfaatkan idea-idea dan cadangan alternatif semasa kami melakar dan menyampaikan bersama khidmat dengan perniagaan dan masyarakat,” kata Encik Chan.

"Dengan peranan pemerintah menjadi lebih rumit, kita perlu menyelaras dan memanfaatkan kolektif yang lebih meluas merentas sektor awam, orang ramai, swasta, untuk membangunkan dasar dan pendekatan yang lebih mampan dan lebih menyeluruh."

Encik Chan juga pengerusi bersama baru Singapura bagi forum itu. Naib menteri eksekutif Jabatan Pertubuhan Pusat Parti Komunis China Jiang Xinzhi mempengerusikan forum itu bersamanya.

Forum itu, yang pertama kali dianjurkan China pada 2009, adalah wadah bagi pemimpin politik dan pegawai kanan Singapura dan China untuk "berbincang dan bertukar-tukar pengalaman mengenai cabaran bersama berkaitan pembangunan kepimpinan", menurut Divisyen Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan