Mereka yang layak boleh dapatkan vaksin COVID-19 tanpa buat janji temu terlebih dahulu
(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Mulai Kamis (17 Mac), sesiapa yang layak bagi vaksinasi COVID-19, tidak kira umur merek, boleh datang ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan tanpa membuat temu janji.
Mereka boleh datang pada mana-mana hari sebelum pukul 7.00 malam untuk mendapatkan suntikan vaksin asas atau dos penggalak.
Kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun boleh datang bersama ibu bapa or penjaga mereka ke sebarang pusat vaksinasi kanak-kanak, sementara bagi yang berusia 12 hingga 17 tahun boleh datang di mana-mana pusat yang menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty.
Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas boleh datang ke mana-mana pusat yang menawarkan vaksin mRNA, menurut Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dalam satu kenyataan pada lewat Rabu malam.
KEMAS KINI TENTANG VAKSINASI KANAK-KANAK
Setakat 13 Mac, sekitar 250,000 kanak-kanak berumur lima hingga ke 11 tahun sudah mendaftar untuk divaksin, menurut pihak berkuasa.
Sebanyak 444,000 dos sudah disediakan, dengan 248,000 kanak-kanak menerima sekurang-kurangnya satu dos, sementara 196,000 sudah menerima dos kedua.
Sekitar 83 peratus murid sekolah rendah sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama, sementara 69 peratus sudah menerima kedua-dua dos.
Lebih 29,000 kanak-kanak yang dilahirkan pada 2016 dan 2017 sudah berdaftar dalam Sistem Temu Janji Kebangsaan MOH. Sebanyak 28,000 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, sementara 17,000 sudah menerima dos kedua.
Semua kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun mesti ditemani oleh ibu atau bapa atau penjaga semasa di pusat vaksinasi. Mereka harus membawa kad pengenalan pelajar atau sebarang pengenalan lain untuk pengesahan. Mereka juga harus mendapatkan tandatangan ibu bapa mereka pada borang persetujuan.
"Kanak-kanak yang mempunyai rekod rasmi jangkitan COVID-19 mereka akan dianggap sudah lengkap divaksin selepas menerima satu dos vaksin selepas jangkitan," menurut pihak berkuasa.
"Kanak-kanak yang sudah pulih daripada COVID-19 dan belum melengkapkan siri vaksinasi asas, mereka digalakkan untuk menerima satu dos vaksin sekurang-kurang tiga bulan selepas tarikh jangkitan untuk melengkapkan vaksinasi mereka."
"Kanak-kanak yang diuji positif menerusi ujian pantas antigen (ART) kendiri, atau melalui ART yang tidak dilakukan di tempat ujian yang diluluskan, tidak akan mempunyai rekod rasmi jangkitannya."
"Kanak-kanak ini perlu menerima dua dos vaksin untuk dianggap sudah lengkap divaksin. Ia adalah selamat untuk melakukannya."
KEMAS KINI SUNTIKAN DOS PENGGALAK BAGI UMUR 12 TAHUN DAN KE ATAS
Setakat Selasa (15 Mac), 70 peratus penduduk Singapura sudah menerima suntikan dos penggalak.
Ia digalakkan bahawa semua yang berumur 12 tahun dan ke atas harus mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin mRNA, yang ditawarkan di bawah program vaksinasi kebangsaan, lima bulan selepas melengkapkan siri vaksinasi asas mereka.
"Mereka dianggap sudah lengkap divaksin selama 270 hari selepas dos terakhir daripada siri vaksinasi asas mereka dan perlu untuk mendapatkan suntikan dos penggalak untuk mengekalkan status vaksinasi mereka selepas itu," menurut pihak berkuasa.
Bagi mereka yang sudah pulih daripada COVID-19 dan sudah memenuhi rejim vaksinasi yang digalakkan boleh mendapatkan suntikan dos penggalak dalam tempoh 28 hari selepas jangkitan, walaupun mereka digalakkan untuk membuat demikian tiga bulan selepas jangkitan dan sekitar lima bulan selepas dos terakhir daripada siri vaksinasi asas mereka, mana-mana yang lebih lewat, untuk kesan yang lebih baik.
"Kami mengalu-alukan individu dan ibu bapa atau penjaga untuk mengambil kesempatan sepenuhnya bagi kapasiti dan pusat-pusat vaksinasi yang berada di merata lokasi, sebelum lebih banyak lagi pusat akan ditutup pada minggu-minggu akan datang," menurut pihak berkuasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.