Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Mereka kata saya makan gaji buta saja," kata pekerja pembersihan

Budaya mengembalikan dulang di pusat penjaja masih memerlukan lebih banyak kerjasama masyarakat, menurut para pekerja pembersihan di Pusat Penjaja Geylang Serai yang ditemui BERITAmediacorp pada Ahad (27 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Budaya mengembalikan dulang di pusat penjaja masih memerlukan lebih banyak kerjasama masyarakat, menurut para pekerja pembersihan di Pusat Penjaja Geylang Serai yang ditemui BERITAmediacorp pada Ahad (27 Jun).

Ini meskipun peraturan baru itu sudah dimulakan sejak awal bulan ini dan orang ramai boleh makan di luar walau hanya berdua, sejak 21 Jun lalu.

Ketika BERITAmediacorp meninjau suasana di pusat penjaja popular itu, terdapat sekitar 30 peratus pelanggan sahaja yang bersikap bertanggungjawab dengan memulangkan dulang atau pinggan dan cawan digunakan serta membersihkan meja mereka sendiri selepas selesai makan.

Hanya sekitar 30 peratus memulangkan dulang mereka. 

Langkah pelanggan sedemikian sedikit sebanyak membantu meringankan beban pekerja pembersihan di sana yang kebanyakannya merupakan warga emas.

DITUDUH MAKAN GAJI BUTA?

Namun begitu, pekerja pembersihan berkongsi bahawa masih ramai lagi pelanggan yang tidak memulangkan dulang mereka dan hanya berbuat demikian setelah ditegur pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Malah, seorang pegawai yang ditemui BERITA berkata, dari pagi sehingga tengah hari Ahad, lebih 50 individu dinasihati tentang peraturan baru itu.

"Apabila pegawai NEA datang, bahasa semua baik. Pergi meja cakap 'Abang, jangan marah nanti lepas makan angkat'. Semua okay tetapi pegawai pergi, mereka lari. Jadi siapa hendak angkat," kata Cik Sahdiah Ahmad Daud, 75 tahun, yang sudah bekerja sebagai pekerja pembersihan selama 13 tahun.

Seorang lagi pekerja pembersihan Cik Jamilah Asnawi berkongsi: "Saya sudah cakap minta mereka angkat tetapi mereka tidak mahu angkat. Mereka kata kepada saya macam saya ini makan gaji buta saja, bekerja tetapi tidak ada kerja, saya ini releks saja."

Keluhan Cik Jamilah rata-rata serupa dengan apa yang dialami majoriti rakan sekerja beliau di pusat penjaja yang kerap dikunjungi masyarakat Melayu.

"Yang ada okay, yang ada tidak begitu gembira. Yang tidak beberapa gembira itu akan cakap belakang saya 'Ini sepatutnya kerja pekerja pembersihan yang angkat semua ini'," kata Cik Marina Omar, 62, seorang lagi pekerja pembersihan di sana.

TIDAK DAPAT JALANKAN KERJA DENGAN BAIK

Sikap yang ditonjolkan sebilangan pelanggan itu amat membimbangkan, kata pekerja pembersihan lebih-lebih lagi di tengah-tengah penularan COVID-19, dan mereka lebih mudah terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit.

Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan membersihkan meja yang tidak kosong walaupun para pelanggan sudah selesai makan. Ini supaya dapat mengurangkan kontak rapat dengan individu-individu tidak dikenali.

Lantaran itu, para pekerja pembersihan tersebut meluahkan harapan kerjasama yang lebih kukuh serta sikap saling memahami antara satu sama lain.

"Saya kalau boleh minta kerjasama, angkat sama-sama jadi kita bersatu hati. Daripada didenda lebih baik angkat. Selepas makan, angkat. Bukan susah sangat," ujar Cik Jamilah.

Cik Marina pula lebih selesa dengan pendekatan memberi nasihat kepada orang ramai: "Saya juga tegur. Saya cakap 'Encik, yang ini senang saya angkat tetapi nanti kalau tiba masanya Encik angkat sendiri'. Saya cakap macam begitu saja. Kadang-kadang ada yang akan cakap okay."

NEA menyatakan lebih 4,500 amaran nasihat dikeluarkan pada 21 Jun iaitu hari pertama makan di luar dibenarkan semula.

Mulai 1 September pula, mereka yang tidak mematuhi peraturan itu akan diberi amaran bertulis manakala pesalah kali kedua akan didenda sebanyak S$300.

Pesalah berulang pula boleh dikenakan saman lebih tinggi, jika didapati bersalah di mahkamah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa