Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Mereka jaga kita macam anak mereka': penghuni RKM hargai jasa pegawai

Sebagai seorang kakitangan penjaga di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Encik Johari Abu perlu bertugas hampir 12 jam sehari.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebagai seorang kakitangan penjaga di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Encik Johari Abu perlu bertugas hampir 12 jam sehari.

Selain menguruskan persiapan persekolahan anak-anak di bawah jagaannya, Encik Johari juga memberi mereka nasihat dan bimbingan agama.



Pada bulan Ramadan yang lalu misalnya, Encik Johari menganjurkan aktiviti bagi membantu para penghuni berusia lapan hingga 20 tahun itu menghafal surah-surah Al-Quran dan doa-doa.

Meskipun sibuk, beliau tidak pernah mengeluh kerana menjaga sekitar 43 anak-anak di RKM itu memberinya kepuasan yang tidak ternilai bagi dirinya.

"Saya gembira untuk melihat mereka gembira. Kita kirakan salah satu anggota keluarga mereka. Yang paling penting yang saya selalu beritahu mereka, mereka adalah sebahagian daripada keluarga saya, seperti anak saya," kata Encik Johari kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)

SAMBUT HARI RAYA PERTAMA BERSAMA ANAK-ANAK YANG TIDAK PULANG BERAYA

Selain bersahur, berbuka puasa dan mendirikan solat tarawih bersama, para pegawai sepertinya juga perlu menyiapkan persiapan Hari Raya untuk anak-anak RKM yang dapat pulang beraya.

Namun, bagi lagi 13 penghuni yang beraya di RKM sahaja, Encik Johari sanggup berkorban untuk menyambut Aidilfitri bersama mereka.

"Kita akan bawa anak-anak ke daerah pantai di Pasir Ris. Selepas itu kita akan bawa mereka bermain permainan komputer dan 'PS5'. Itu yang buat mereka betul-betul gembira dan akan lupa apa-apa yang duka untuk mereka.

"Saya pun macam mereka juga anak yatim jadi untuk buat saya gembira ialah untuk berjumpa mereka, meraikan Hari Raya dengan mereka, itulah yang buat saya gembira bila bertemu dengan mereka pada Hari Raya pertama," tambahnya.

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)

Antara penghuni yang cukup terkesan dengan bimbingan daripada para pegawai seperti Encik Johari ialah 'Rafi', bukan nama sebenar.

Bagi penghuni berusia 15 tahun itu, dia bersyukur kerana sokongan yang diterima di RKM memberikan kesan positif terhadap dirinya.

"Bila dekat luar saya tidak puasa. Jadi bila saya masuk sini (RKM), 'cikgu-cikgu' dekat sini ajar saya macam mana nak puasa, ajar saya macam mana nak solat, baca Iqra'. Jadi saya menghargai sebab saya rasa yang saya boleh lagi dekat dengan Allah," kata 'Rafi' yang sudah bersama RKM sejak 16 bulan lalu.



Di RKM, para pegawai lebih mesra dipanggil 'cikgu' oleh para penghuni.

Layanan serta kasih sayang yang diberikan oleh 'cikgu-cikgu' di RKM memang cukup dirasakan 'Rafi' dan ia memberinya lebih semangat untuk menjadi individu yang berguna.

"Untuk saya (mereka seperti) contoh sebab cara mereka marah saya kalau saya buat benda salah, cara mereka didik saya dengan baik, sama seperti macam mak saya. Saya pun juga rasa yang mereka jaga kita macam anak mereka," kata 'Rafi' yang mempunyai tujuh adik-beradik.

SUMBANGAN PARA PEGAWAI DIHARGAI

Dedikasi serta sifat penyayang 45 pegawai seperti Encik Johari dipuji Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam ucapannya semasa majlis sambutan Hari Raya bersama keluarga RKM pada Jumaat (26 Apr).

Menurut Dr Faishal, para pegawai memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai positif dalam diri para penghuni.

"Dengan adanya komitmen, semangat dan juga kasih sayang diberikan oleh mereka yang juga diterapkan dari segi apa yang diberikan kepada anak-anak kita di sini, mereka dapat merasakan kasih sayang, mereka juga dapat merasakan mereka disokong, diberikan laluan untuk membangunkan kehidupan mereka dengan lebih baik dan positif," kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri.

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)

Beliau berharap agar usaha-usaha murni yang telah lama dilakukan dapat diteruskan agar dapat memberikan keyakinan kepada anak-anak di RKM.

"Saya yakin ia akan mendatangkan sesuatu impak yang positif dalam kehidupan anak-anak ini apabila mereka membangun dan juga mereka dapat menjadi contoh individu-individu yang mempunyai contoh-contoh positif dalam kehidupan mereka pada masa akan datang," tambahnya.

Majlis tahunan Hari Raya RKM dihadiri sekitar 120 tetamu termasuk para penghuni dan anggota keluarga mereka.

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan