Mereka disabit kesalahan di bawah Seksyen 377A boleh mohon agar rekod dihapuskan: Shanmugam

Gambar hiasan: iStock
SINGAPURA: Golongan lelaki yang disabit kesalahan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang kini dimansuhkan, boleh memeriksa sekiranya rekod jenayah mereka sudah dihapuskan. Jika tidak, mereka boleh memohon untuk rekod mereka dilakukan sedemikian.
Apabila mempertimbangkan permohonan sedemikian, Pesuruhjaya Polis akan mengambil kira fakta-fakta kes, termasuk sama ada ia adalah kegiatan peribadi dan antara orang dewasa yang rela.
Demikian menurut Menteri Undang-Undang merangkap Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (9 Jan) dalam jawapan bertulis Parlimen.
AP Louis Ng (PAP-Nee Soon) memfailkan soalan parlimen bagi sidang pada Selasa, memohon kemas kini bagi pertimbangan pemerintah mengenai bagaimana rekod jenayah melibatkan Seksyen 377A akan dihapuskan.
Sabitan yang dihapuskan bermakna individu itu tidak lagi mempunyai rekod jenayah bagi kesalahan tersebut. Seseorang boleh menjawab "tidak" secara sah jika ditanya sama ada mereka mempunyai rekod jenayah.
Seksyen 377A, iaitu undang-undang zaman penjajahan yang menjadikan hubungan seks sesama lelaki satu jenayah, dimansuhkan pada November 2022.
Tidak lama kemudian, Kementerian Ehwal Dalam Negeri menyatakan bahawa 17 orang disabit kesalahan antara tahun 1988 dengan 2007 atas perbuatan homoseksual saling merelakan dan privet antara orang dewasa yang masih hidup, menurut rekod kementerian.
Pada Selasa, Encik Shanmugam berkata bahawa sabitan bagi seseorang akan dihapuskan secara automatik selepas lima tahun bebas jenayah, tetapi tidak jika orang tersebut hilang kelayakan di bawah syarat-syarat tertentu dalam Akta Pendaftaran Penjenayah.
Syarat-syarat tersebut termasuk hukuman yang dikenakan melebihi penjara selama tiga bulan dan denda S$2,000.
Kesalahan di bawah Seksyen 377A, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, merupakan hukuman yang boleh didaftarkan.
Ini bermakna seseorang yang disabit kesalahan sedemikian akan mempunyai rekod jenayah melainkan jika ia dihapuskan, kata Encik Shanmugam.
Jika rekod sabitan seseorang tidak boleh dihapuskan secara automatik, mereka boleh memohon kepada Pesuruhjaya Polis - yang berkhidmat sebagai ketua Pasukan Polis Singapura (SPF) - untuk memastikan rekod mereka dianggap sebagai dihapuskan. Ini termasuk mereka yang disabit kesalahan di bawah Seksyen 377A.
Mereka yang ingin membuat permohonan boleh menghantar emel kepada SPF_Spent_Application [at] spf.gov.sg dengan butiran peribadi mereka, maklumat untuk menghubungi mereka dan sebab-sebab untuk dipertimbangkan rekod sabitan mereka sebagai dihapuskan.
Mereka yang sebelum ini disabit kesalahan di bawah Seksyen 377A boleh menyemak sama ada status rekod mereka tertera sebagai sudah dihapuskan di laman SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.