Mercy Relief rancang hantar bekalan kedua bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin
Mercy Relief akan menghantar makanan dalam tin untuk 4,800 pelarian Palestin bagi bekalan selama dua minggu.
SINGAPURA: Mercy Relief merancang memberi pusingan kedua bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin di Mesir pada bulan Ramadan ini, menurut badan kemanusiaan setempat itu pada Khamis (14 Mac).
Mercy Relief merancang untuk menghantar bantuan tersebut dari 15 hingga 17 Mac ini.
Ia akan mengagihkan makanan dalam tin kepada 4,800 pelarian Palestin bagi bekalan selama dua minggu. Bantuan itu disasarkan kepada keluarga dan individu yang mengalami kekurangan zat makanan.
Jenis makanan dipilih dengan teliti untuk memenuhi keperluan pemakanan harian mereka, pada masa yang mencabar sekarang.
Selain itu, Mercy Relief juga akan mengadakan majlis iftar dan mediadakan makanan sahur untuk pelarian Palestin di Al Arish dan Ismailia di Mesir.
Pengerusi Mercy Relief Satwant Singh, Anggota Lembaga Pengarah Mercy Relief Chairul Fahmy dan Pengarah Eksekutifnya, Muhammad Ashik akan menjadi sebahagian daripada pasukan Mercy Relief di lapangan.
Encik Muhammad Ashik memberitahu BERITA Mediacorp bahawa makanan iftar dan sahur akan disediakan bagi seribu pelarian setiap hari di Al Arish manakala bagi 200 orang di Ismailia.
Kehadiran anggota barisan pemimpin Mercy Relief menekankan lagi komitmen pertubuhan tersebut terhadap pelibatan secara langsung dan hubungan yang dijalin dengan masyarakat di sana.
"Dalam ajaran Islam, iftar mempunyai kepentingan yang istimewa semasa bulan Ramadan dan kami ingin berkongsi perpaduan ini melalui majlis berbuka puasa ini. Melibatkan diri dengan masyarakat-masyarakat yang terjejas secara langsung juga akan membolehkan kami untuk memahami keperluan dan cabaran mereka dengan lebih baik dan memastikan usaha bantuan kami berkesan dan responsif terhadap keadaan yang unik," kata Encik Satwant Singh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.