Meratap dalam diam: Kurang sistem sokongan bagi lelaki yang kematian anak, isteri keguguran
Ada yang 'sembunyi-sembunyi' kerana tidak mahu dilihat isteri mereka bersedih. Ada yang ditegur, kononnya lelaki sejati tidak patut menangis. Namun kata seorang pakar, perasaan kehilangan anak itu makin sukar terungkai jika seorang bapa tidak dapatkan sokongan.
SINGAPURA: Di ruang online, beliau dikenali sebagai Xiao Ming dan sering menghiburkan hati ramai penonton menerusi videonya di laman SGAG. Namun hakitkatnya Adrian Ang, 34 tahun, bergelut dengan "kemarahan yang amat sangat" setelah isterinya mengalami keguguran tahun lalu.
Pasangan itu mendapat tahu tentang kehamilan tersebut ketika kandungan isterinya berusia enam minggu. Namun hanya tiga minggu kemudian, doktor tidak dapat mengesan denyutan nadi janin itu semasa pemeriksaan rutin.
"Setelah ia berlaku, saya sambung bekerja dan cuba melupakannya. Pada masa yang sama, saya jauhkan diri dari orang. Saya tidak mahu keluar, kerana apabila nampak sebarang keluarga bahagia, saya akan teringatkan kehilangan. Jika saya tidak melihat sesiapa, saya tidak akan rasa semua itu," kongsinya secara jujur kepada Mediacorp.
Encik Ang malah enggan bertemu dengan rakan-rakan karibnya. Sebarang khabar mengenai kehamilan akan mencetus "emosi sangat negatif", kongsi beliau.
"Emosi-emosi itu berlarutan hingga enam bulan selepas isteri saya mengalami keguguran tersebut, terutamanya apabila tiba musim perayaan seperti Krismas, dan Tahun Baru Cina. Orang ramai berhimpun, berbual tentang keluarga dan cara membesarkan anak. Saya tidak mahu mendengar itu semua."
(Gambar fail: AFP/Philippe Huguen)
Isteri Encik Ang akhirnya perasan yang suaminya itu diselubungi kesedihan, kerana mereka pada awalnya kurang berbual tentang emosi mereka beberapa minggu setelah keguguran.
“Setelah dia berbual dengan saya, saya luahkan dengan sejujurnya. Saya beritahunya, 'Saya tidak rasa saya sedang tangani (isu ini) dengan baik. Saya perlukan bantuan. Saya perlu teman untuk berbual'," katanya.
Setelah, meluahkan perasaan kepada isterinya dan seorang rakan baik membantu Encik Ang menangani kesedihan yang dialami. Namun menurutnya, beliau berhasrat untuk mendapatkan sokongan profesional kerana tidak tahu bagaimana untuk menangani emosinya lagi.
RASA MARAH, TIDAK ADIL, KEMURUNGAN
Bagi Encik Chris Chan, 47 tahun, beliau hanya mula meluahkan perasaannya yang terpendam semasa berbual dengan Mediacorp di hujung temu bual tentang anaknya yang mati ketika lahir pada Mac 2020.
"Setelah bayi lelaki saya meninggal dunia, saya tidak tahan melihat orang yang mengandung. Saya tidak tahan melihat orang yang ada anak, walaupun semasa menaiki MRT dengan isteri saya, apabila saya melihat bayi dalam kereta sorong. Saya begitu marah dan saya tidak tahu mengapa," kata Encik Chan, jujur.
(Gambar hiasan)
Encik Chan teringat lagi keadaan isterinya yang ketika berada "di ambang kemurungan pranatal" dua minggu setelah anak mereka dilahirkan tidak bernyawa. Maka itu, beliau rasa perlu menangani sendiri kesedihannya sambil menjaga isteri beliau.
"Dia memberitahu saya, ketika itu berada di tingkap dan rasa ingin bunuh diri. Saya rasa tidak tentu arah. Apabila saya mahu menangis, saya akan jauhkan diri dan pastikan dia tidak nampak saya."
Ibu Encik Chan yang "bersikap tradisional" pula memarahi Encik Chan apabila beliau menangis, kerana padanya seorang lelaki tidak patut menitiskan air mata.
Namun Encik Chan belajar bahawa menangis itu adalah "proses pemulihan dan membolehkan emosi dan segala perasaan negatif itu keluar, dan ia tidak bermakna beliau kurang 'lelaki'."
Katanya: "Ia membuat saya rasa lebih bebas, dan saya kini tidak rasa bersalah untuk menangis."
Beberapa bapa lain yang dihubungi Mediacorp bercakap tentang kehilangan anak mereka dengan cara yang berbeza, namun cara mereka mengendalikan emosi tetap sama: Secara diam, tanpa pengetahuan orang.
RATAP DALAM DIAM, EMOSI YANG SUKAR
Lelaki "kurang menunjukkan perasaan" ketika bersedih, jelas Cik Valerie Lim, yang mengasaskan kumpulan sokongan Child Bereavement Support Singapore (CBSS) pada 2005. Namun ini tidak bermakna mereka tidak bersedih.
Beliau teringatkan seorang ayah yang sedang meratap, yang ditemuinya menerusi CBSS. Lelaki itu meratapi pemergian mendiang anak lelakinya yang dewasa tanpa diketahui oleh isterinya.
"Dia secara diam-diam mencuri waktu untuk mendengar set muzik anaknya. Secara senyap, dia akan memainkannya tanpa diketahui oleh isterinya. Itulah cara dia 'berhubung' dengan anaknya. Bukan secara terbuka, tetapi dengan caranya sendiri, pada waktunya sendiri,” katanya.
Akur bahawa terdapat lebih banyak wadah sokongan bagi wanita dibandingkan dengan lelaki, Cik Lim berkata golongan ibu "lebih kelihatan terjejas" atas kehilangan semasa keguguran dan kelahiran bayi tidak bernyawa, setelah mengandungkan anak itu. Mereka juga cenderung memikul beban rasa bersalah, kerana bayi itu berada di dalam tubuh mereka.
“Namun, bagi ayah, keperitan yang dialaminya melibatkan kehilangan anak serta 'kehilangan' isterinya yang berduka. Ia menjadi seperti kesedihan berganda. Perasaannya sebagai seorang pelindung atau penyara keluarga, seorang wira dalam unit keluarga, benar-benar hancur. Sekiranya ia dipendam dan diabaikan, ia menjadi emosi yang sangat sukar untuk diatasi," jelas Cik Lim.
SOKONGAN PRAKTIKAL
Memahami bagaimana golongan lelaki menangani emosi dan kesedihan adalah kunci untuk menawarkan pertolongan, kata Cik Lim.
Lelaki biasanya mengambil "pendekatan menyelesaikan masalah" apabila sesuatu terjadi, katanya.
"Bagaimana dia menangani kesedihannya sangat fizikal. Dia melakukan sesuatu. Dia bekerja. Dia menyiapkan barang. Dia bergerak sepanjang masa, tetapi menanggung kesedihannya dalam diam-diam."
Beliau menambah bahawa wanita, berbanding lelaki, menunjukkan "lebih emosi dan lebih memahami perasaan mereka sendiri".
Cik Lim, yang anak perempuannya sendiri meninggal dunia pada usia 16 bulan, telah membantu ibu bapa yang bersedih selama 16 tahun. Beliau menemui sekitar 15 anggota setiap bulan, dan dua atau tiga orang adalah lelaki yang kebanyakannya hadir hanya untuk menyokong isteri mereka.
Namun kata beliau, ia tidak bermakna kaum lelaki tidak mahu memproses kesedihan mereka bersama orang lain. Caranya adalah dengan menggunakan strategi yang berbeza.
"Elakkan bertanya 'apa khabar?', kerana kebanyakan lelaki tidak akan duduk bersama anda dan memberitahu anda perasaan mereka dari minggu lalu dan sebagainya. Mereka tidak banyak meluahkan kata-kata. Tetapi anda dapat menunjukkan bahawa anda peduli melalui sokongan dan kasih sayang anda kepada ayah itu dengan cara praktikal, ”katanya.
(Gambar hiasan: Unsplash)
Misalnya, suami beliau sendiri mengajak seorang rakan keluar makan tengah hari setelah rakannya itu kehilangan anak lelakinya yang dewasa. Niat suami Cik Lim ialah berbual tentang kerja sambil memberi ruang yang selamat bagi rakannya itu meluahkan perasaan sekiranya dia merasa selesa.
“Membuat janji temu makan tengah hari pada hari kerja adalah perkara yang selamat. Ini adalah slot waktu makan tengah hari yang memang ditetapkan. Selepas itu anda boleh kembali bekerja. Anda tidak perlu meluahkan emosi begitu lama,” nasihat beliau.
"Nanti setelah makan tengah hari, jika dia berasa selesa dengan anda, dia boleh menghubungi anda lagi."
Lambat laun, menjadi lebih mudah bagi suami Cik Lim dan rakannya untuk berbual tentang mendiang anak masing-masing sambil meluangkan masa bersama.
Encik Jacob Lim, yang anak perempuannya berusia enam bulan meninggal dunia pada Jun, bersetuju bahawa langkah praktikal adalah cara yang baik untuk membantu, seperti mempunyai rakan yang membeli makanan untuknya dan isteri beliau. Beliau juga menghargai mereka yang memberi mereka ruang untuk bersedih dengan cara sendiri.
"Mereka menghantar SMS kepada kami, 'Kami mengingati anda dalam doa. Sekiranya anda mempunyai masa, balas pesanan kami dan kongsilah dengan kami. Sekiranya tidak, kami benar-benar faham.' Ini membolehkan kami tidak rasa seperti terpaksa untuk sentiasa memaklumkan keadaan kami kepada orang lain," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.