Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meraki Academy jadi yang pertama di Asia perkenalkan 'metaverse' dalam pendidikan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memberi lebih banyak peluang kepada semua pelajar, tidak mengira latar belakang mereka kepada teknologi 'metaverse' dalam pendidikan.

Itulah yang cuba dilakukan syarikat teknologi pendidikan, Meraki Academy dengan bayaran serendah S$30 sebulan dengan banyak akses bagi program-program lain juga disediakan secara percuma.

"Kami bertujuan untuk mendemokrasikan pendidikan supaya pelajar dari semua latar belakang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meraki Academy, Encik Khairul Helmi.


(Gambar: Meraki Academy/Facebook) 

'Metaverse' ialah ruang realiti maya di mana para pengguna boleh berinteraksi dengan pengguna lain dan membolehkan mereka "dibawa ke lokasi lain" bagi pengalaman belajar yang lebih menarik.

Dengan pelaburan sebanyak AS$500,000 oleh syarikat TotallyAwesome, Meraki Academy kini bakal menjadi hab pelajaran pertama di Asia untuk memperkenalkan 'metaverse' dalam pendidikan.

Di samping itu, Meraki Academy juga ingin mencabar cara-cara konvensional dalam pembelajaran di luar bilik darjah, buku teks dan platform online biasa.



Ini dengan memperkenalkan satu pengalaman yang interaktif menerusi 'metaverse' yang mudah diakses menerusi alat-alat digital seperti telefon bijak dan komputer.

Menurut Encik Khairul, ia sejajar dengan dengan tema Kementerian Pendidikan (MOE) iaitu 'Belajar Sepanjang Hayat: Keyakinan untuk Masa Hadapan Baharu'.

"Kini, kita berada di era pendidikan di mana golongan anak muda kita tidak janggal lagi dengan penggunaan teknologi sama ada untuk menimba ilmu mahupun untuk kehidupan seharian mereka," kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.

"'Metaverse' membolehkan para pelajar untuk meluaskan kreativiti mereka dan berkomunikasi dengan guru-guru dan murid-murid lain tanpa batasan fizikal dengan menempatkan diri mereka sebagai avatar di dalam dimensi lain," tambahnya lagi.

Buat masa ini, ia sedang menjalankan ujian beta buat platform itu sebelum ia dilancarkan secara rasmi.

PERBEZAAN PEMBELAJARAN 'METAVERSE' DAN PEMBELAJARAN ONLINE BIASA

Jadi apa sebenarnya perbezaan antara pendidikan menerusi alam metaverse dengan kaedah pembelajaran online biasa?

Encik Khairul menjelaskan bahawa perbezaannya terletak kepada elemen interaktif dan permainan untuk pengguna.



"Kami membolehkan nota interaktif dari segi gambar atau video yang dibina ke dalam dunia 'metaverse' secara kekal. Pelajar boleh berinteraksi dengan nota-nota demikian dalam masa sendiri," jelas ketua eksekutif berusia 36 tahun itu.


"Platform ini juga mempunyai elemen 'gaming' atau permainan di mana ia dapat menarik dan mengekalkan minat anak-anak kini. Jadi selain daripada mengajar dalam alam maya, platform ini juga boleh mempamerkan pelbagai informasi menerusi video ataupun nota pada waktu yang sama," tambah beliau.

Istimewanya juga, kandungan yang disediakan juga bukan setakat kandungan akademik tetapi juga berbentuk menyeluruh.

Ia bermakna kandungan yang disediakan bukan seperti tuisyen-tuisyen yang lain.

Meraki Academy juga bekerjasama dengan syarikat Kowabunga! Global untuk menawarkan subjek-subjek dalam bidang pembangunan mampan yang dianggap penting dalam pasaran ekonomi masa kini.



"Kita ingin pelajar-pelajar tahu sedikit sebanyak tentang subjek ini supaya mereka dapat bekerjasama dengan sekolah, dengan organisasi-organisasi yang lain supaya mereka dapat sokongan dalam bidang yang agak penting ini seperti pembangunan mampan," kongsi Heikal Yusope, Timbalan CEO Kowabunga! Global.

PENGALAMAN INTERAKTIF DENGAN PENGGUNAAN AVATAR DI ALAM MAYA

Dari segi pengalaman pengguna pula, para pelajar boleh menjangkakan sesuatu yang sangat interaktif dan seolah-olah berada dalam persekitaran itu sendiri atau 'immersive'.

"Mereka ada satu peluang untuk merasakan bahawa mereka itu bukan di alam fizikal tetapi diri mereka sebagai seorang avatar atau satu watak dalam alam maya dan mereka boleh berinteraksi dan mereka boleh pergi di bilik-bilik atau kawasan-kawasan yang berlainan dan mereka dapat meneroka secara 'immersive' " ujar Encik Heikal.

Malah, maklum balas yang diberikan oleh para pelajar yang terlibat ujian beta bagi platform baru itu juga menggalakkan.

TIDAK PERLU MENULIS DAN JIMATKAN MASA



Antaranya ialah Nur Zulrullaiqha Abdullah, 11 tahun yang menjalani kelas kemampanan dalam subjek Sains Alam Sekitar.

Kelas itu dikendalikan menerusi platform 'metaverse' di mana pelajar berada di sekolah, manakala jurulatih mereka pula berada di sebuah taman di lokasi berbeza.

"Ia adalah pengalaman yang baru dan ia amat bermanfaat bagi saya," kongsi Zulrullaiqha.

"Ia lebih senang kerana yang pertama, saya tidak perlu menulis dan ini menjimatkan masa. Yang kedua, pembelajaran online membantu saya untuk mendapat informasi melalui Internet," tambahnya lagi.



Buat masa ini, Meraki Academy ada bekerjasama dengan 13 sekolah serta badan lain juga, termasuk Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk membangunkan kandungan bagi topik-topik berkaitan dengan keusahawanan.

Platform 'metaverse' itu akan dilancarkan secara rasmi pada Mac atau April tahun depan.

Ia akan dilancarkan secara berperingkat, dimulakan dengan murid-murid sekolah rendah dahulu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan