Skip to main content

Singapura

Menyingkap agensi perisikan SG: 3 mantan pemimpin SID berkongsi pengalaman

Anggaran Waktu Membaca:
Menyingkap agensi perisikan SG: 3 mantan pemimpin SID berkongsi pengalaman

(Dari kiri) Mantan Pengarah SID Eddie Teo, Mantan Ketua Staf Kevin Santa Maria dan Mantan Pengarah Kanan Antipengganasan Ng Kah Meng pada 13 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 05 Sep 2026 03:15PM
  • SID, agensi risikan di bawah MINDEF, memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan Singapura sejak 1966, dengan pegawai seperti Encik Eddie Teo dan Encik Kevin Santa Maria berkongsi pengalaman mereka.
  • SID menjalankan operasi sulit, menyediakan analisis geopolitik, dan bekerjasama dengan agensi lain seperti ISD untuk menangani ancaman seperti pengganasan dan radikalisasi.
  • Pengorbanan peribadi pegawai, termasuk masa bersama keluarga, menjadi lumrah dalam kerjaya mereka, namun mereka berbangga berkhidmat demi negara.
  • Keterbukaan SID sejak 2021 melalui laman web meningkatkan permohonan kerja, memperkaya bakat agensi, dan membolehkan pegawai dari pelbagai latar belakang menyumbang kepada misi keselamatan negara.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kebanyakan pegawai tentera menyematkan pingat pada bahagian dada.

Namun, seperti yang pernah diberitahu seorang pegawai pemerintah kepada Encik Kevin Santa Maria, pegawai Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) memakai pingat mereka di bahagian dalam jaket – tersembunyi daripada pandangan, sama seperti tugas yang mereka lakukan.

Mantan Ketua Staf SID tersebut menghabiskan lebih dua dekad berkhidmat di sebuah agensi sulit di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF). Encik Santa Maria berkata para pegawainya berbangga menjalankan tugas penting di sebalik tabir demi memastikan Singapura kekal selamat.

Mereka berpuas hati mengetahui bahawa mereka merupakan sebahagian daripada sebuah pasukan yang berusaha mencapai matlamat yang lebih besar daripada kepentingan diri sendiri.
Related article image
Presiden Tharman Shanmugaratnam bersama Encik Eddie Teo semasa upacara angkat sumpah dan pelantikan semula Encik Teo sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Presiden pada 29 September 2023. (Gambar: Facebook/Tharman Shanmugaratnam)
Bulan lalu, mantan Pengarah SID Eddie Teo dianugerahkan Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian), iaitu anugerah awam tertinggi Singapura, dalam Anugerah Hari Kebangsaan.

Beliau diberi penghormatan tersebut atas khidmat awamnya selama 56 tahun, termasuk 24 tahun di SID. Beliau menyertai agensi itu pada 1970 dan kemudian menjadi pengarahnya yang paling lama berkhidmat, dari 1979 hingga 1994.

Sepanjang tempoh beliau menerajui SID, para pegawai tidak menerima anugerah mereka dalam acara awam sedemikian – sesuatu yang dikesalinya sehingga hari ini.

"Untuk tempoh yang sangat lama, itu satu kesilapan yang saya lakukan. Saya tidak membenarkan mereka menerima Anugerah Hari Kebangsaan kerana saya berpendapat ia menimbulkan risiko keselamatan," kata Encik Teo, yang kini berusia 79 tahun.

"Namun, para pengarah yang lebih bijaksana selepas saya mengubah dasar itu dan saya gembira kini pegawai SID yang cemerlang boleh menerima Anugerah Hari Kebangsaan."
Related article image
(Dari kiri) Mantan Pengarah Kanan Antipengganasan SID Ng Kah Meng, Mantan Ketua Staf Kevin Santa Maria dan Mantan Pengarah Eddie Teo pada 13 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Ditubuhkan pada 1966, SID bermula sebagai sebuah pasukan kecil yang menyediakan analisis geopolitik sebelum berkembang menjadi sebuah agensi perisikan.

Selain menyediakan risikan kepada pemerintah, SID menyokong perbincangan berhubung isu-isu strategik utama dan menganalisis perkembangan global yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.

Seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat dan Perkhidmatan Perisikan Rahsia Britain, yang lebih dikenali sebagai MI6, SID menjalankan fungsi "dalam kategori yang sama" dari segi pengumpulan maklumat, kata Encik Santa Maria.

Sejak ia ditubuhkan, agensi itu beroperasi di sebalik tabir dan diselubungi kerahsiaan demi memastikan Singapura selamat daripada ancaman luar. Hanya sebilangan maklumat mengenai agensi tersebut diterbitkan online.

Namun pada 2021, SID mengambil langkah yang jarang dilakukan dengan menampilkan agensi tersebut kepada umum menerusi pelancaran sebuah laman web bagi memikat lebih ramai golongan karyawan pertengahan kerjaya untuk menyertainya.

Agensi itu menyambut ulang tahunnya yang ke-60 tahun ini. Encik Teo, Encik Santa Maria dan Mantan Pengarah Kanan Antipengganasan Ng Kah Meng bercakap kepada para wartawan buat julung-julung kalinya mengenai tugas yang mereka lakukan di sebalik tabir.

TUGAS SID

Pertama sekali, mereka bukan perisik, kata Encik Santa Maria. Rancangan televisyen dan filem mungkin membentuk tanggapan orang ramai terhadap tugas perisikan, terutama sekali memandangkan SID jarang menjadi perhatian umum.

"Namun sebenarnya, ia jauh berbeza. Ia tidak sedramatik seperti yang digambarkan; ia mungkin menarik untuk filem dan rancangan televisyen, tetapi tugas sebenar kami agak berbeza," kata beliau.

Encik Santa Maria menambah bahawa perkataan "perisik" membawa konotasi negatif.

"Kami sebuah agensi perisikan yang menyediakan maklumat ... Perkataan 'perisik' terlalu didramatisasikan dan saya tidak mahu agensi ini ditakrifkan sedemikian," kata beliau.
Related article image
Mantan Ketua Staf SID Kevin Santa Maria pada 13 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Sepanjang 60 tahun lalu, ancaman yang dihadapi agensi tersebut sudah berubah.

Apabila Encik Teo menyertai agensi tersebut pada 1970, antara isu pertama yang ditanganinya ialah Parti Komunis Malaya, yang mahu menggulingkan pemerintah menerusi revolusi bersenjata dan menubuhkan sebuah negara komunis di Malaya.

Rusuhan di Kuala Lumpur ketika itu menjadi satu isu yang mendesak. "Perkara itu menjadi perhatian utama kami kerana politik perkauman semakin penting dan kami bimbang kesannya akan merebak ke Singapura," kata Encik Teo.

Beliau juga menjangkakan ancaman pengganasan akan meningkat, lalu menubuhkan sebuah kumpulan kecil dalam SID untuk mengkaji isu tersebut.

Agensi-agensi lain kemudian turut menyertai usaha berkenaan, termasuk Kementerian Ehwal Luar dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD). Kumpulan yang lebih besar itu diterajui Encik Ng.

Selepas para pengganas merampas empat pesawat penumpang komersial pada 11 September 2001 dan merempuh menara Pusat Dagangan Dunia menggunakan dua pesawat di New York, para pemimpin kanan pemerintah Singapura sedar bahawa pengganasan "bukan lagi sekadar suatu masalah bagi polis", kata Encik Ng.

"Ia merupakan masalah yang membawa kesan strategik. Jadi di SID, kami mengambil inisiatif untuk melaksanakan beberapa siri penilaian bagi menjelaskan kepada Kabinet tentang isu tersebut. Apa puncanya? Mengapa ia berlaku sedemikian?

"Itulah titik permulaan bagi kami untuk meningkatkan dengan pesat usaha pemantauan terhadap ancaman pengganasan," kata Encik Ng sambil menambah bahawa usaha tersebut merupakan tanggungjawab bersama yang digalas beberapa pemimpin kanan agensi itu.

Pada tahun yang sama, Singapura berdepan antara ancaman pengganasan rentas sempadan paling serius apabila kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) menyasarkan negara ini.

Pihak berkuasa melancarkan operasi yang melumpuhkan rangkaian JI di Singapura dan menggagalkan beberapa rancangan serangan pengganas terhadap negara.

"Apabila kami menangani ancaman JI, kami benar-benar merasakan betapa dekatnya ancaman tersebut kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa," kata Encik Santa Maria.

"Kami berdepan sesuatu yang boleh menyerang kami pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Bayangkan jika ia berlaku di Singapura – kesannya boleh membawa malapetaka – dan perkara itu benar-benar membuatkan kami sentiasa berjaga-jaga."

Tugas SID adalah untuk menilai dari mana datangnya ancaman luar dan bekerjasama rapat dengan ISD, kata Encik Santa Maria, 66 tahun.

"Saya akan sentiasa mengingatinya kerana ... usaha itu mengambil masa lebih dari sekadar dua minggu; ia memerlukan kerja keras selama bertahun-tahun untuk akhirnya mengesan mereka dan membawa mereka pulang, selain penyelarasan profesional yang sangat rapi."

Sejak awal 2000-an, landskap pengganasan sudah berubah dengan kemunculan pelaku bersendirian sebagai ancaman yang semakin meningkat, di samping serangan terancang oleh kumpulan pengganas. Individu yang menjadi radikal dengan sendirinya juga menjadi suatu kebimbangan besar, termasuk di Singapura.

Pada akhir Julai, ISD menyatakan ia menahan tiga remaja yang menjadi radikal dengan sendirinya.

Dua daripada mereka merancang serangan terhadap sekolah-sekolah di Singapura. Seorang daripada mereka pula hampir melaksanakan rancangan pembunuhannya dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Kewaspadaan kita terhadap ancaman-ancaman ini tidak boleh dilonggarkan sepenuhnya, meskipun keutamaan sumber dan perhatian mungkin berubah dari semasa ke semasa mengikut perubahan keadaan," kata beliau.

"Selagi terdapat kawasan konflik di dunia dan kawasan-kawasan itu menjadi tarikan bagi mereka yang mahu pergi ke sana untuk menjalani latihan, mereka kemudian menjadi lebih berani kerana sudah mempunyai keupayaan untuk melakukan sesuatu apabila kembali ke rantau ini.Justeru, kita perlu terus berwaspada terhadap ancaman sedemikian."
Related article image
Mantan Pengarah Kanan Antipengganasan SID Ng Kah Meng pada 13 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Ketiga-tiga mereka bersetuju bahawa misi asas SID kekal tidak berubah – memastikan para penggubal dasar mendapat maklumat secukupnya mengenai ancaman terhadap Singapura serta menyediakan penilaian risikan yang objektif dan tepat.

Encik Teo berkata: "Penilaian risikan kami berdasarkan fakta yang kami ketahui. Kami amat sedar bahawa kami tidak boleh sesekali memutarbelitkan atau mengubah penilaian kami agar ia menjadi selaras dengan dasar yang ada.

"SID bukanlah jabatan yang menggubal dasar. Ia menyediakan penilaian risikan yang objektif kepada para penggubal dasar dan kami tidak akan sesekali membenarkan risikan dipolitikkan."

Pada 2021, apabila SID melancarkan laman webnya dan menjadi lebih terbuka kepada umum, agensi tersebut menerima peningkatan 50 peratus dalam jumlah permohonan daripada para graduan muda dan golongan karyawan pertengahan kerjaya, kata Encik Santa Maria.

Selepas 2021, lebih ramai golongan pertengahan kerjaya mula menyertai SID, tambah beliau.

"Ia sedikit sebanyak mengubah DNA SID," kata beliau, dengan para pegawai membawa pandangan yang berbeza-beza daripada pelbagai bidang seperti undang-undang, media dan komunikasi.

"Ia memberi kami perspektif yang sangat luas tentang apa yang berlaku di luar sana dan saya fikir SID telah memperkayakan kumpulan bakatnya, sekali gus membolehkan kami menjalankan tugas dengan lebih baik."

Mereka yang menyertai agensi tersebut perlu benar-benar berminat dalam bidang perisikan, tambah beliau. "Kami berdepan banyak tekanan. Tugasnya sangat mencabar. Ada kalanya ia menjejas emosi. Ia memenatkan," kata beliau.

Para pegawai kadangkala bekerja antara 12 dengan 15 jam sehari. Meskipun tuntutan tugasnya tinggi, semangat dan tujuan untuk berkhidmat kepada Singapura dalam sebuah "pertubuhan yang sangat istimewa" menjadi pendorong untuk mereka terus menjalankan tugas, tambah Encik Santa Maria.

BEKERJA BERSAMA ENCIK LEE KUAN YEW

Apabila Encik Teo menjadi pengarah SID pada 1979, Encik Lee Kuan Yew merupakan Perdana Menteri. Encik Lee bekerja secara langsung dengan agensi tersebut dan akan menghubungi Encik Teo.

"Saya boleh katakan bahawa hanya segelintir kakitangan awam mendapat keistimewaan seperti itu ... Pengalaman bekerja di bawah tokoh-tokoh legenda ini sukar untuk saya jelaskan kepada anda. Anda sendiri perlu mengalaminya," tambah beliau.

Sikap Encik Lee yang sangat teliti meninggalkan kesan mendalam kepada Encik Ng, yang mengimbas kembali bagaimana Perdana Menteri pengasas itu akan memulakan perbincangan dengan mengajukan beberapa soalan sebelum mendalami perkara-perkara yang sangat terperinci.

"Sebahagiannya memang kerana beliau mahu mengetahui jawapannya, tetapi pada masa yang sama, beliau mahu memastikan anda benar-benar tahu apa yang diperkatakan dan bukan sekadar mereka-reka jawapan. Barulah beliau akan memandang serius apa yang anda katakan," kata Encik Ng.

"Sebenarnya, mengadakan perbincangan dengan beliau sangat menyeronokkan kerana pandangan beliau sangat luas, tetapi beliau boleh terus menumpukan perhatian kepada perkara yang sangat terperinci, kemudian melihat semula gambaran yang lebih luas sebelum beralih kepada proses membuat keputusan berdasarkan fakta dan penilaian yang kami berikan."

Encik Teo turut mengimbas kembali bagaimana beliau pernah menerima panggilan telefon daripada Encik Lee pada tengah malam atau diarahkan untuk melancarkan operasi pada Jumaat atau Sabtu.

"Hujung minggu anda memang habis," kata mantan Pengarah SID itu. "Meskipun begitu, segala masa yang saya luangkan dalam perkhidmatan awam memang berbaloi.

"Ia begitu menarik dan menginspirasikan saya. Mereka yang bekerja bersama saya menunjukkan kepada saya bahawa Singapura berada dalam keadaan yang baik kerana mereka melakukan semua perkara ini – bukan demi wang, bukan demi kuasa, tetapi untuk meningkatkan kesejahteraan Singapura dan berkhidmat kepada rakyat Singapura.

"Apabila ketua anda sendiri bersikap begitu, anda juga akan bersikap sedemikian."

Encik Teo mengambil alih jawatan pengarah daripada Encik S R Nathan, yang kemudian dipilih sebagai Presiden Singapura.

Encik Teo berkata beliau memikul tanggungjawab besar apabila mengambil alih jawatan tersebut, sambil menambah bahawa terdapat beberapa pegawai yang lebih kanan daripadanya ketika itu.

Antara sifat Encik Nathan yang dikaguminya ialah kebolehan beliau menjalin persahabatan dan mengekalkan hubungan tersebut selama bertahun-tahun.

"Beliau menulis kad setiap tahun kepada mereka yang ditemuinya 30 atau 40 tahun lalu, dan kebolehannya untuk meyakinkan serta memenangi hati orang – itu sesuatu yang sangat saya hormati.

"Saya terhutang budi kepada S R dan saya akan sentiasa mengingatinya atas apa yang telah dilakukannya untuk saya," kata Encik Teo, yang kemudiannya berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Presiden.

"Saya harap cara saya menerajui SID menepati wawasannya tentang bagaimana SID seharusnya berkembang," tambah beliau.
Related article image
Encik Eddie Teo (kiri) dan Encik S R Nathan semasa lawatan rasmi ke Milford Sound, New Zealand, pada 1972. (Gambar: Eddie Teo)
PENGORBANAN DAN PERSARAAN

Memandangkan mereka sering berdepan situasi yang begitu genting, bagaimana mereka mencari masa untuk berehat?

Mereka berkata lama-kelamaan mereka membiasakan diri dengan tuntutan tugas dan belajar untuk memisahkan urusan kerja daripada kehidupan peribadi.

"Anda tidak boleh membiarkannya menjejas kehidupan anda sehingga separuh masa anda asyik menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang memerhatikan anda atau bimbang tentang apa yang berlaku di dunia – itu bukan cara untuk menjalani kehidupan," kata Encik Santa Maria.

Namun, memastikan urusan kerja tidak menjejas kehidupan peribadi bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Encik Ng mengingati sekurang-kurangnya tiga kejadian apabila beliau terpaksa meninggalkan majlis perkahwinan selepas menerima panggilan berhubung kemungkinan berlakunya ancaman.

"Ia bukan sekadar, katakanlah, 'Saya terpaksa meninggalkan majlis makan malam'. Saya benar-benar mahu pergi dan melakukan sesuatu mengenainya," kata beliau.

Meskipun sesuatu panggilan akhirnya didapati sebagai amaran palsu, sebarang maklumat mengenai ancaman perlu dipandang serius, tambah beliau.

Bagi Encik Teo, puluhan tahun yang dilaluinya sebagai pegawai dan kemudian pengarah menuntut pengorbanan dalam kehidupan berkeluarga – sesuatu yang kini cuba ditebusnya selepas bersara.

"Dari satu segi, lega rasanya apabila beban tanggungjawab itu sudah terangkat daripada bahu saya. Selepas 56 tahun, kini saya bebas," kata beliau.

Anaknya menandakan persaraan beliau dengan satu catatan penghargaan di Facebook, sambil menyifatkannya sebagai satu permulaan lembaran baharu.

"Saya sangat tersentuh kerana saya tahu saya kurang meluangkan masa bersamanya ketika dia masih kecil. Saya tidak meluangkan masa yang sepatutnya dengan beliau. Tetapi begitulah kehidupan. Anda memilih apa yang mahu dilakukan dan anda tidak boleh kembali ke masa lalu untuk mengubahnya," kata beliau

"Jadi sekarang, saya cuba menebusnya dengan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga."
Related article image
Mantan Pengarah SID Eddie Teo pada 13 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Bagi Encik Ng dan Encik Santa Maria, persaraan membuka ruang untuk mereka meneroka pelbagai kegiatan baharu.

Encik Ng, yang bersara 10 tahun lalu, kini meluangkan masanya mendalami minat dalam bidang seni. Meskipun beliau sesekali melukis ketika masih berkhidmat, beliau kini mempunyai lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada seni dan mendapatkan pelbagai peralatan melukis sejurus selepas bersara.

"Ia benar-benar memberi kepuasan kerana entah bagaimana, beberapa perkara yang tidak dirancang membawa hasil yang baik dalam perjalanan seni saya," kata beliau.

Lukisan beliau pernah dipamerkan dalam majlis makan malam gala bagi mengumpul dana amal untuk warga emas.

Beliau juga mula mempelajari tai chi.

Encik Santa Maria pula bersara pada November lalu dan sejak itu menyediakan latihan kepimpinan serta menerbitkan sebuah buku mengenai bidang tersebut. Beliau juga kembali meluangkan masa membaca dan meneroka sesuatu yang baharu baginya – LinkedIn.

Tidak menghairankan, profil beliau sengaja dikekalkan secara sederhana dan tidak banyak mendedahkan maklumat, namun beliau seronok menggunakan platform tersebut.

"LinkedIn merupakan dunia yang luar biasa. Sudah tentu saya tidak mengetahuinya sebelum ini, tetapi saya seronok dapat berinteraksi dengan mereka yang mempunyai minat yang sama dan sebagainya," kata beliau.

Mengimbas kembali kerjayanya, beliau berkata: "Adakah saya merindui SID? Ya dan tidak. Ya, kerana tiada apa yang dapat memberikan anda debaran seperti itu. Tetapi akan tiba masanya anda perlu berhenti.

"Saya agak merindui tugas tersebut, tetapi pada masa yang sama tidak, kerana sekarang saya jauh lebih bebas untuk melakukan perkara yang saya mahu dan mengejar apa yang saya inginkan dalam fasa kehidupan seterusnya."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita