Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Menyanyi Bersama Mishall' usaha Art Fazil teroka potensi muzik dalam pendidikan awal anak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Potensi seni dan muzik sebagai bahan pengajaran dwibahasa masih belum diterokai sepenuhnya, terutamanya untuk peringkat prasekolah, selaras dengan pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Siapa lagi yang lebih arif tentang perkara ini kalau bukan jauhari yang mengenal manikam?

Komposer, penyanyi, dan anggota kumpulan Rausyanfikir, Art Fazil, mengambil inisiatif menghasilkan bahan pembelajaran dwibahasa dengan memanfaatkan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew yang diperkenalkan sejak 2011.

Album lagu dan buku berjudul 'Menyanyi Bersama Mishall' yang dihasilkannya bertujuan mengisi kekosongan dalam bahan pengajaran dwibahasa yang masih kurang tersedia. Ia dilancarkan di Pusat Seni Aliwal pada Jumaat (29 Nov)
PENDEKATAN KREATIF BANTU KANAK-KANAK KUASAI BAHASA INGGERIS DAN MELAYU

Menyanyi dwibahasa dengan ceria—pendekatan kreatif ini diharap membantu kanak-kanak prasekolah menguasai bahasa Inggeris dan Melayu.

Usaha tiga tahun oleh seniman Art Fazil, melalui lagu dan buku berilustrasi, bertujuan mempersiapkan kanak-kanak untuk pembelajaran dwibahasa sebelum memasuki Darjah 1.

MUZIK & NYANYIAN BERKESAN MERANGSANG PENGGUNAAN DWIBAHASA

Usaha Encik Art didorong oleh kesedaran bahawa keluarga muda Melayu semakin cenderung menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, termasuk di rumah.

Untuk itu, beliau menerbitkan album itu dengan konsep mirip gaya lagu 'Baby Shark' tetapi lebih moden, rancak, dan kontemporari.
 
Menurutnya, pendekatan itu memberikan nafas baru dari segi produksi, seni kata, dan rentak, menjadikannya lebih segar dan relevan.

"Muzik memang cepat menembusi kesedaran anak-anak. Jadi apabila mendengar lagu-lagu seperti dalam dwibahasa ini, mereka mungkin dapat mempelajari secara langsung dua bahasa dalam sekali gus. Tapi apabila kita membuat persembahan, saya rasa itu lebih mesra dan mereka boleh nyanyi sama-sama dan mereka boleh belajar sama-sama," ujar Encik Art Fazil selaku penerbit, komposer, penyanyi, penulis lirik dan buku 'Menyanyi Bersama Mishall'.

Lagu-lagu dalam 'Menyanyi Bersama Mishall' diterbitkan dengan gaya pop kontemporari, menampilkan lirik ringkas dan berulang.

Nyanyian merdu bakat cilik berusia 12 tahun, Mishall Kiara Mohammad Marhan, menjadi tarikan utama album itu.
"Mishall memang suka bernyanyi dan menari. Jadi, bila Mishall dapat peluang untuk menyanyi di studio, Mishall berasa sangat seronok sebab Mishall dapat bernyanyi di mikrofon. Sangat teruja dapat bekerjasama dengan Pakcik Art Fazil. Beliau seorang yang sangat tenang dan santai apabila mengajar Mishall dan banyak ilmu yang dikongsinya."

Tetamu terhormat, Encik Zhulkarnain, Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang, mengenang kembali pengalaman zaman kanak-kanaknya, di mana beliau mempelajari bahasa Melayu bukan sahaja melalui buku, tetapi juga melalui kaca televisyen, radio, dan menyanyi bersama.

"Dengan adanya bahan-bahan seperti ini, mungkin lebih seronok bagi anak-anak kita untuk memahami dan mempelajari bahasa Melayu. Dan mereka tidak kekok menggunakan bahasa Melayu supaya mereka lebih seronok dengan cara menyanyi bersama dan membaca buku bersama."
Tambahnya, "Menggunakan wadah seperti muzik, pendekatan yang lebih mesra kanak-kanak
akan memberangsangkan bagi anak-anak kita supaya mereka fasih mengguna kedua-dua bahasa dan sekali gus memahami secara mendalam apa itu bahasa Melayu dan juga nilai-nilai teras dalam bangsa kita."

BUKU BERISI ALBUM AKAN DIEDARKAN KEPADA 1960 PRASEKOLAH SERATA NEGARA

Album berisi 10 lagu dan buku 'Menyanyi Bersama Mishall' dihasilkan dengan sokongan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Sebanyak 1,960 naskhah buku itu akan diedarkan ke semua prasekolah oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan