Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen beri amaran padah perang di Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2023 01:02PM Dikemas Kini : 18 Feb 2023 09:47PM

MUNICH: Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, pada Jumaat (17 Feb) memberi amaran peperangan di Asia bukan sahaja akan membinasakan benua ini, malahan seluruh dunia. 

Semasa berucap di Meja Bundar Keselamatan Maritim di Persidangan Keselamatan Munich yang ke-59, Dr Ng menekankan kuasa-kuasa dunia semakin meningkatkan kehadiran tentera mereka di Asia, sekali gus menggambarkan bahawa "terdapat usaha untuk membuat persiapan awal pencegahan".

Beliau memberi contoh penubuhan kumpulan-kumpulan strategik seperti Quad (Amerika Syarikat, India, Australia dan Jepun) serta AUKUS (AS, Australia dan United Kingdom), betapa AS kini mempunyai lebih akses kepada pangkalan-pangkalan di Filipina dan latihan pertahanan peluru berpandu di Korea Selatan sebagai apa yang ditafsirkan China sebagai "langkah persediaan". 

Beijing juga turut meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau ini, kata Dr Ng - daripada rondaan di Laut China Selatan yang dipertikaikan kepada jet China yang kerap melintasi garis tengah di Selat Taiwan. 

Sungguhpun begitu, "tanda-tanda peperangan belum jelas kelihatan", kata Dr Ng. 

ISU TAIWAN

Meskipun kedua-dua pihak tidak mahu konflik fizikal berlaku, Dr Ng berkata Taiwan akan menjadi faktor penentu yang kuat. 

Beliau menarik perhatian kepada dua naratif: Pertama, meletakkan Taiwan sebagai "modal utama persaingan antara autokrasi dengan demokrasi" dan kedua, sebagai perjuangan untuk sumber strategik, serupa dengan cara negara-negara sebelum ini berbalah untuk rempah ratus dan minyak. Dalam konteks hari ini, sumber-sumber tersebut merupakan cip mewah yang dibekalkan Taiwan kepada seluruh dunia.

Tambah Dr Ng, China akan mengambil tindakan ataupun terpaksa bertindak sekiranya terdapat sebarang langkah yang memperjuangkan kemerdekaan Taiwan. 

"Ia akan dilihat sebagai satu lagi bab perjanjian tidak sama rata yang dipaksakan ke atas China dan tiada pemimpin China yang boleh menerimanya," ujar Dr Ng. 

Insiden-insiden kecil juga boleh mencetuskan konflik, kata Dr Ng, sambil menyentuh tentang bagaimana Perang Dunia Pertama berlaku. Beliau turut memetik beberapa insiden yang berlaku lewat kebelakangan ini seperti pesawat tentera China dan AS yang mendekati satu sama lain di Laut China Selatan serta belon perisik China yang berlegar di ruang udara AS. 

Menggulung ucapannya, Dr Ng memberi amaran tentang padah perang di Asia dan bahawa terdapat "alternatif lain yang berdaya maju" di luar sana. 

"Kami bukan di kedudukan yang selesa," kata Dr Ng. 

"Keadaan tidak teruk, tetapi sememangnya semakin tegang. Kami harus melakukan segalanya untuk meredakannya." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan