Skip to main content

Singapura

Menteri pertahanan China beri amaran terhadap penubuhan pakatan 'seperti NATO' di Asia-Pasifik

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri pertahanan China beri amaran terhadap penubuhan  pakatan 'seperti NATO' di Asia-Pasifik

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 04 Jun 2023 12:45PM Dikemas Kini : 04 Jun 2023 04:20PM
SINGAPURA: Menteri Pertahanan China pada Ahad (4 Jun) memberi amaran terhadap penubuhan pakatan tentera "seperti NATO" di Asia-Pasifik, dengan berkata ia akan menjerumuskan wilayah itu ke kancah konflik.

"Pada dasarnya, percubaan untuk mendesak diadakan perikatan seperti NATO di Asia-Pasifik adalah satu cara untuk 'merampas' negara-negara serantau dan membesar-besarkan konflik dan konfrontasi, yang hanya akan menjerumuskan Asia-Pasifik ke dalam kancah pertikaian dan konflik," kata Li Shangfu di sidang puncak keselamatan Dialog Shangri-La yang sedang berlangsung di negara ini.

"Asia-Pasifik pada hari ini memerlukan kerjasama yang terbuka dan inklusif, bukan membentuk pakatan dengan kelompok kecil. Kita tidak harus melupakan kesan teruk akibat dua perang dunia kepada rakyat semua negara, dan kita tidak boleh membenarkan sejarah tragik itu berulang."

Encik Li tidak menamakan mana-mana negara secara khusus tetapi jelas merujuk kepada Amerika Syarikat, yang telah meningkatkan usaha membentuk pakatan dan kerjasama di rantau itu.

Amerika Syarikat adalah anggota perikatan AUKUS, yang menghimpunkannya dengan Australia dan Britain.

Washington juga adalah kumpulan QUAD, yang termasuk Australia, India dan Jepun.

DUNIA "CUKUP BESAR" UNTUK CHINA DAN AS

Encik Li berkata dunia ini cukup besar untuk China dan AS berkembang bersama.

"China dan AS mempunyai sistem yang berbeza dan berbeza dalam banyak cara lain," katanya dalam ucapan antarabangsa penting pertamanya sejak beliau dilantik sebagai ketua pertahanan China pada Mac.

“Bagaimanapun, ini tidak seharusnya menghalang kedua-dua pihak mencari titik persamaan dan kepentingan bersama untuk mengembangkan hubungan dua hala dan mengeratkan kerjasama,” katanya.

"Tidak dapat dinafikan bahawa konflik atau konfrontasi yang teruk antara China dan AS akan menjadi satu bencana besar bagi dunia."

Hubungan antara Washington dan Beijing semakin tegang berhubung pelbagai isu, termasuk Taiwan yang ditadbir secara demokratik, pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan sekatan Presiden Joe Biden terhadap eksport cip semikonduktor.

Dalam perbalahan terbaru mereka, tentera China mengkritik Amerika Syarikat dan Kanada kerana "sengaja menimbulkan risiko" selepas tentera laut negara itu mengadakan pelayaran bersama yang jarang berlaku melalui Selat Taiwan yang sensitif pada Sabtu.

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin dalam ucapannya pada Sabtu, menegur China kerana enggan mengadakan rundingan ketenteraan, menyebabkan kuasa besar itu buntu berhubung perbezaan mereka.

Bercakap di luar persidangan itu, dua pegawai tentera China berkata bahawa Beijing mahu Washington memberi isyarat jelas mengenai pendekatan yang kurang konfrontasi di Asia - termasuk membatalkan sekatan terhadap Encik Li - sebelum rundingan peringkat tentera antara kedua-dua negara boleh disambung semula.
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita