Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri Pengangkutan S Iswaran ditangkap dan dibebas dengan ikat jamin sebagai sebahagian dari siasatan CPIB

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran ditangkap pada Selasa (11 Jul) dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Demikian menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Jumaat (14 Jul).

Agensi antirasuah tersebut mengumumkan pada Rabu bahawa Encik Iswaran sedang membantu dalam satu kes yang diselongkar agensi tersebut, meskipun ia tidak mendedahkan sifat siasatan yang dijalankan itu.

CPIB menyatakan demikian sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp mengenai penangkapan ahli perniagaan hartawan Ong Beng Seng yang ada kaitan dengan kes itu, yang didedahkan Hotel Properties Limited pada awal Jumaat.
Hartawan warga Malaysia yang berpangkalan di Singapura diminta CPIB untuk memberi maklumat berhubung interaksinya dengan Encik Iswaran.

CPIB menjelaskan bahawa Encik Ong juga ditangkap pada Selasa, dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

"Sebagai sebahagian daripada syarat dibebaskan dengan ikat jamin, pasport individu akan ditahan," jelas agensi tersebut. "Individu yang dibebaskan dengan ikat jamin bagaimanapun boleh membuat permintaan untuk melakukan perjalanan ke luar negara. CPIB akan menilai permintaan sedemikian mengikut kes."

CPIB menilai dan memenuhi permintaan Encik Ong untuk melakukan perjalanan ke luar negara, dan kuantum ikat jaminnya juga dinaikkan kepada S$100,000.

Biro itu bagaimanapun tidak mendedahkan kuantum ikat jamin Encik Iswaran.

"Sebaik sahaja beliau pulang ke Singapura, Ong dikehendaki melaporkan diri kepada CPIB dan menyerahkan pasportnya," tambah CPIB.

Menurut agensi tersebut, memandangkan siasatan masih dijalankan, ia tidak dapat memberi maklumat lanjut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan