Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri Pengangkutan S Iswaran didakwa atas 27 tuduhan termasuk rasuah dan halang undang-undang

Menteri Pengangkutan S Iswaran didakwa atas 26 tuduhan rasuah dan 1 tuduhan menghalang perlaksanaan undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Pengangkutan S Iswaran didakwa atas 27 tuduhan termasuk rasuah dan halang undang-undang

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 18 Jan 2024 09:42AM Dikemas Kini : 18 Jan 2024 10:23AM
SINGAPURA:
Menteri Pengangkutan S Iswaran didakwa di mahkamah pada Khamis (18 Jan) atas beberapa tuduhan termasuk menerima rasuah dan ganjaran sebagai seorang pegawai awam, beberapa bulan selepas siasatan terhadapnya diumumkan kepada khalayak ramai.

Beliau mengaku tidak bersalah ke atas 27 tuduhan keseluruhannya - dua bagi tuduhan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, satu tuduhan kerana menghalang undang-undang dan lagi 24 kerana menerima ganjaran sebagai pegawai awam di bawah Kanun Keseksaan.

Satu sesi sebelum perbicaraan telah ditetapkan pada 1 Mac depan.

Encik S Iswaran tiba di mahkamah sekitar 8:15 pagi diiringi peguam Davinder Singh.

Beliau tidak menjawab pertanyaan media dan tuduhan-tuduhan ke atasnya dibacakan oleh Ketua Pendakwaraya Tan Kiat Pheng.

Encik Iswaran diberkas pada 11 Julai tahun lalu sebagai sebahagian daripada siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Sejak itu, beliau diletakkan di bawah cuti tidak kehadiran.

Berita penangkapannya itu dilaporkan pada 14 Julai tahun lalu, meskipun tiada butiran didedahkan mengenai siasatan yang dijalankan.

Namun apa yang diketahui ialah hartawan Ong Beng Seng juga diberkas dan diminta memberi maklumat berhubung interaksinya dengan Iswaran.

Ong memiliki hak kepada Grand Prix Singapura dan merupakan pengurus promosi acara perlumbaan Singapore GP.

Encik Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan terlibat secara aktif dalam rundingan pemerintah dengan F1, termasuk membuat kemunculan di sidang media di mana pengumuman mengenai masa hadapan acara itu diadakan.
Sumber : CNA/AA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan